PERHATIAN

Kami mengalu-alukan sebarang informasi dan juga timbal balas daripada anda sekalian terutamanya mengenai isu-isu setempat di Pulau Pinang.

Mari kita sama-sama bongkar dan dedahkan pembohongan Lim Guan Eng dan DAP Pulau Pinang !!

Emelkan ke penang.umb@gmail.com

Terima kasih.

Wednesday, September 29, 2010

Siapa sebenarnya MUNAFIK ??


Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN

1. KETUA Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini memandang sinis cabaran Pemuda UMNO yang mendesaknya menjelaskan dakwaan bahawa kerajaan negeri menggunakan sumber perjudian untuk diagihkan kepada warga emas di Pulau Pinang.

2. Bukan sahaja memperlekehkan cabaran itu, Guan Eng bersungguh- sungguh mahu meyakinkan rakyat bahawa dana yang diperuntukkan bagi program kebajikan di negeri itu adalah hasil dasar berjimat-cermat yang diamalkan pentadbirannya. Malah, Setiausaha Agung DAP itu secara terbuka menyifatkan cabaran Pemuda UMNO berhubung dakwaan tersebut sebagai kerja orang munafik! Setiausaha politiknya, Ng Wai Aik pula berkobar-kobar mempertahankan bosnya dengan hujah dangkal menyatakan kerajaan negeri tidak mungkin menggunakan sesen pun dana perjudian kerana Pulau Pinang merupakan negeri pertama membantah pemberian lesen judi bola.

3. Bagaimanapun, pendedahan sepucuk surat mengenai penerimaan wang RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang baru-baru ini ternyata memberi tamparan cukup hebat kepada kepimpinan Guan Eng yang berulang kali menafikannya sebelum ini. Pendedahan itu menyebabkan Guan Eng tidak mempunyai pilihan selain membuat pengakuan pihaknya menerima wang daripada kelab berkenaan tetapi memberi alasan bahawa dana berkenaan sudah diasing-asingkan.

4. Persoalannya, kenapa kerajaan negeri sebelum ini sanggup berbohong mengatakan tidak pernah mendapat dana daripada mana-mana sumber perjudian? Kenapa fakta ini mahu disembunyikan dan hanya membuat pengakuan selepas bukti didedahkan? Jika sebelum ini Guan Eng bertegas menyatakan wang yang diagihkan bagi program kebajikan di negeri ini adalah hasil penjimatan poket kerajaan negeri, bagaimana pula timbul soal kerajaan negeri mendapat dana daripada pihak lain?

5. Wajar juga ditanya, kalau betul pun dana berkenaan sudah diasingkan, adakah rata-rata orang bukan Islam boleh menerima hakikat bahawa wang pemberian kerajaan negeri kepada mereka merupakan hasil perjudian? Peliknya, kerajaan negeri begitu 'mulia' apabila menjadi negeri pertama membantah cadangan pemberian lesen judi bola sebelum ini, tetapi seolah-olah menyokong pula aktiviti perjudian - malah mendapat manfaat kewangan setengah juta ringgit daripadanya. "Tindakan Guan Eng sering menuduh musuh politiknya dijangkiti sindrom penafian nampaknya semakin memakan diri sendiri apabila satu persatu penafian yang dibuatnya sebelum ini seolah-olah bertukar menjadi episod pembohongan.

6. "Rakyat mula bertanya inikah pemimpin yang begitu megah memperjuangkan prinsip ketelusan dalam pentadbirannya? Orang juga mempersoalkan kredibiliti Guan Eng di sebalik ungkapan-ungkapan amar makruf nahi mungkar yang sering dilaung-laungkan," kata seorang pemerhati politik ketika dihubungi. Guan Eng wajar menerima hakikat bahawa rakyat semakin menyedari bahawa perjuangan membela nasib mereka tidak lagi boleh dinilai berlandaskan slogan-slogan yang sekadar sedap didengar sebaliknya diukur berlandaskan amalan dan tindakan.

7. Ironinya, kepimpinan Guan Eng mempunyai pilihan untuk bersikap lebih telus dalam melaksanakan dasar pentadbirannya tetapi sikap suka menyalahkan orang lain dan menafikan fakta dan kebenaran menyebabkan satu persatu episod krisis kredibiliti kepimpinannya terbongkar. Rakyat Pulau Pinang tidak lupa bagaimana Guan Eng menafikan tentang wujudnya arahan oleh kerajaan negeri membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasul pada Februari lalu sehingga terdedahnya surat yang membuktikan pembatalan program itu.

8. Begitu juga isu peruntukan hal ehwal Islam yang kononnya meningkat sehingga RM24 juta dan dihebohkan jauh lebih tinggi berbanding ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) sedangkan jumlah itu didakwa termasuk peruntukan rutin tahunan bagi kos emolumen dan pentadbiran yang berjumlah RM13 juta. Kalau dihitung, peruntukan sebenar kerajaan negeri dalam hal ehwal agama Islam hanyalah RM11 juta iaitu lebih rendah berbanding era pentadbiran BN iaitu sebanyak RM12 juta.

9. Sama halnya dengan fakta kontraktor Melayu mendapat lebih 50 peratus tender yang ditawarkan kerajaan negeri kononnya dibuat secara telus tetapi sehingga hari ini nilai sebenar tender kepada kontraktor Melayu dan bukan Melayu tidak didedahkan walaupun didesak banyak pihak.

10. Rakyat Pulau Pinang juga tidak lupa bagaimana Guan Eng menafikan ada mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Pegawai Kemajuan Negeri, Nik Ali Mat Yunus sehinggalah perkara itu didedahkan secara meluas di Internet. Apa pun, perkembangan terbaru di Pulau Pinang sekali lagi menimbulkan keresahan umat Islam dan ini diakui Pengerusi Biro Agama UMNO Pulau Pinang, Shabudin Yahaya yang berpendapat, butiran terperinci bagaimana dana judi itu diagihkan perlu didedahkan.

11. "Kalau benar dana judi ini diasingkan, kita minta tunjuk statistik jumlah keseluruhan bagi program basmi kemiskinan, isytihar berapa dana daripada sumber judi dan dari mana pula sumber dana yang diagihkan untuk orang Islam. "Guan Eng begitu lantang sehingga sanggup menuduh orang lain sebagai munafik kerana membangkitkan isu ini, kita mahu tanya bagaimana pula surat pengesahan penerimaan duit judi itu boleh timbul? Siapa yang munafik sebenarnya?" tegasnya.

Tuesday, September 28, 2010

Dr Asri - Tindakan Lim Guan Eng DAP Guna Judi Untuk Basmi Kemiskinan Tidak Wajar.


KUALA LUMPUR 27 Sept. – Tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan di negeri itu sama ada untuk masyarakat bukan Islam dan Islam adalah tidak wajar.

Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (gambar) berkata, walaupun miskin, golongan tersebut mempunyai maruah dan seharusnya bantuan untuk membasmi kemiskinan itu diperoleh daripada sumber yang halal.

“Jangan kita menjadikan sumber kewangan daripada aktiviti judi sebagai amalan untuk membantu masyarakat miskin kerana dibimbangi ia menimbulkan suasana kebanggaan di kalangan syarikat judi kelak.

“Kita tidak mahu suatu hari nanti, masyarakat pun ‘terdidik’ dengan pandangan bahawa judi pun halal kerana sudah terbiasa mendapat bantuan daripada sumber judi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengenai kenyataannya dalam sebuah akhbar tabloid bahawa bantuan daripada sumber judi yang diterima rakyat miskin sebagai tidak haram, Mohd. Asri menjelaskan, beliau tidak mahu golongan berkenaan gusar.

Katanya, memang benar rakyat yang menerima bantuan tersebut tidak berdosa kerana yang menanggung dosa berkenaan adalah kerajaan negeri dan dalam konteks Pulau Pinang, exconya yang beragama Islam.

“Rakyat tidak mengetahui daripada sumber mana sumbangan itu diperoleh jadi mereka tidak berdosa, pihak yang berdosa adalah kerajaan negeri kerana mereka mengetahui daripada mana duit tersebut diperoleh,” jelasnya. (si Mansor Othman, Malik Kassim dll)


Ditanya dalam aspek manakah hasil judi boleh dimanfaatkan oleh kerajaan, beliau berkata, sumber daripada cukai judi boleh digunakan untuk tujuan pembangunan fizikal.

Menurutnya, bagi negara berbilang agama seperti Malaysia, aktiviti judi hanya boleh dibenarkan dalam jumlah kecil dan terkawal kerana aktiviti tersebut tidak berdosa ke atas penganut bukan Islam.

“Jangan pula kita terlalu ghairah untuk mendapat hasil daripada aktiviti judi.

“Judi tetap haram kepada umat Islam tetapi dalam sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia, ia dibolehkan secara bersyarat,” katanya.

Monday, September 27, 2010

Azhar Ibrahim bidas Guan Eng bohong kepada rakyat PP


Ketua pembangkang Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim mendakwa kerajaan negeri itu menipu berhubung sumber kewangannya bagi membiayai program membantu golongan miskin termasuk untuk masyarakat Islam.

Azhar berkata Ketua Menteri, Lim Guan Eng seringkali 'memutar-belitkan katan-kata' sehingga bukti dikemukakan. Katanya, apabila ketua penerangan Umno negeri itu, Datuk Reezal Merican Naina Merican memberikan bukti bahawa kerajaan negeri menggunakan wang dari sumber perjudian untuk program membasmi kemiskinan, Lim secara tergesa-gesa mengakuinya tetapi mendakwa wang berkenaan hanya disalurkan kepada penduduk bukan Melayu. ADUN Penaga itu merujuk kepada pendedahan oleh Reezal Merican di Kepala Batas di mana beliau mengemukakan surat yang dialamatkan kepada pengarah Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang berhubung baki sumbangan RM500,000. Menurut Reezal Merican, surat bertarikh 9 Julai itu ditandatangani oleh setiausaha sulit Lim, - Farida Hani M Yacob yang mengesahkan sumbangan itu telah diterima oleh kerajaan negeri.

Menurut Azhar, beliau menerima surat berkenaan daripada sumber yang tidak diketahui di Kuala Lumpur dan memilih mendedahkannya kerana isu berkenaan menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat Islam.

"Ini gaya dia (Lim); pada mulanya dia akan menafikannya, tetapi apabila kita tunjukkan bukti, dia kemudian akan mengakuinya,” kata Azhar kepada
Malaysiakini. "Ingat lagi, Lim juga membuat kecoh dia tidak diberikan kerusi VIP pada majlis di Penang Hill tahun lalu?" soalnya.


"Tetapi apabila gambar menunjukkan dia duduk di kerusi VIP, dia persalahkan media pula,” kata Azhar dengan sinis. Lim dibidas oleh Umno kerana baru-baru ini mengakui bahawa dana kerajaan yang diperolehi dari sumber perjudian ada digunakan bagi membantu golongan miskin di Pulau Pinang.

Tetapi beliau memberi jaminan wang itu hanya disalurkan kepada golongan bukan Islam yang miskin. "Kita tidak tahupun wang berkenaan datang dari perjudian lumba kuda. Saya tidak tahu kerana kerajaan negeri tidak pernah meluluskan sebarang lesen judi. "Hanya kerajaan persekutuan yang meluluskan lesen berkenaan, jadi mengapa tidak tanya mereka,” kata Lim pada ucapannya di karnival sukan di Pulau Pinang pada Sabtu lalu. Sebelum ini, seorang penulis blog memuat-naikkan sebuah artikel di Pisau.net mendakwa wang RM100 yang diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas sebagai penghargaan kepada golongan itu datangnya dari sumber judi.

Lim berkali-kali menafikan dakwaan itu, manakala setiausaha politiknya yang juga ADUN Komtar Ng Wei Aik membuat laporan ke atas penulis blog itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. "RM100 untuk warga emas adalah dividen anti-rasuah. Kerajaan negeri yang ini yang tidak mengamalkan rasuah mampu memberi wang kepada rakyatnya,” Lim dilaporkan berkata.

Guan Eng terus cakap berbelit lagi


KUALA LUMPUR 26 Sept. – Pengakuan Ketua Menteri DAP Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam bahawa pihaknya menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu telah mendedahkan pembohongan yang dibuatnya sebelum ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pengakuan berkenaan bertentangan dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP itu sebelum ini yang menafikan sama sekali wang judi digunakan untuk tujuan berkenaan.

”Sebelum ini Guan Eng menyifatkan kita sebagai munafik kerana membuat tuduhan tidak benar dan nampaknya beliau yang sebenarnya mempunyai sifat sedemikian,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas pengakuan Guan Eng dalam laman sosial Twitter semalam bahawa pihaknya menggunakan dana sumbangan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu.

Guan Eng bagaimanapun berkata, wang itu hanya digunakan untuk membantu penduduk miskin tegar bukan Islam.

Kelmarin, Reezal Merican mendedahkan surat bertarikh 9 Julai 2010 yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani M. Yacob yang dihantar kepada Pengurus Besar kelab itu, Leow Khin Ming bagi mengesahkan baki sumbangan RM500,000 sudah diterima oleh kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, beliau dimaklumkan bahawa Guan Eng telah membuat pengakuan terbaru hari ini bahawa keseluruhan sumbangan daripada kelab berkenaan adalah sebanyak RM2 juta.

Katanya, penduduk kaum Melayu negeri itu tidak lagi percaya dengan jaminan terbaru Guan Eng bahawa wang hasil judi hanya diberikan kepada bukan Islam dengan alasan wujud akaun berasingan untuk tujuan itu.

”Sejak awal lagi beliau telah berbohong dan tidak mustahil dia juga akan berbuat demikian berhubung dakwaan wujud dua akaun berasingan,” katanya.

”Sejak awal lagi beliau telah berbohong dan tidak mustahil dia juga akan berbuat demikian berhubung dakwaan wujud dua akaun berasingan,” katanya.

Tambah Reezal Merican, golongan bukan Islam di negeri itu juga sudah pasti akan merasa terhina apabila mendengar pengakuan Guan Eng bahawa wang yang diterima mereka adalah hasil perjudian.

Mengulas isu sama, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim meragui dakwaan Guan Eng bahawa wujud pengasingan dana bagi membantu miskin tegar orang Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa tidak wujud pengasingan akaun kewangan seperti yang didakwa itu sebaliknya ia hanya kenyataan terdesak Ketua Menteri itu bagi menutup kesilapan yang telah dilakukan.

”Saya ingin mengingatkan Guan Eng bahawa orang Melayu di Pulau Pinang sebenarnya sudah bijak berfikir dan tidak akan menerima bulat-bulat segala apa yang diperkatanya,” kata beliau.

Tambah beliau, kepimpinan Pas di negeri itu seharusnya menasihatkan Setiausaha Agung DAP berkenaan mengenai soal halal dan haram bagi mengelaknya meneruskan perbuatan yang menghiris hati umat Islam di negeri itu.

Sementara itu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus berdolak-dalik apabila mengelak untuk membuat sebarang ulasan mengenai tindakan DAP menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Nik Aziz yang ditemui di pejabatnya di sini hari ini hanya menjawab ‘tidak tahu’ mengenai tindakan DAP itu sebelum berlalu.

Nik Aziz yang ditemui di pejabatnya di sini hari ini hanya menjawab ‘tidak tahu’ mengenai tindakan DAP itu sebelum berlalu.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar pernah menyokong tindakan Ahli Parlimen Taiping daripada DAP, Nga Kor Ming membaca ayat al-Quran ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Perak, April tahun lalu.

Beliau turut mempertahankan Elizabeth Wong apabila gambar separuh bogel anggota Exco Selangor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tersebar pada umum, malah menyifatkannya sebagai pencerobohan peribadi.

Nik Abdul Aziz turut bersetuju dengan tindakan Ahli Parlimen Serdang daripada DAP, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan ‘tazkirah’ tanpa menutup aurat di ruang solat Surau Al-Huda pada bulan lepas.

Hari ini, akhbar melaporkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang daripada DAP, Lim Guan Eng yang mengakui bahawa pihaknya menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu.

Pengakuannya itu bertentangan dengan penafiannya sebelum ini iaitu peruntukan untuk membasmi kemiskinan diperoleh hasil penjimatan yang diamalkan oleh kerajaan negeri menerusi prinsip ketelusan dalam pentadbiran.

Bagaimanapun, Guan Eng masih menafikan dakwaan bahawa wang ihsan dan sumbangan kepada golongan miskin tegar untuk umat Islam di negeri itu juga diambil daripada dana yang diperolehi melalui kegiatan lumba kuda.

Guan Eng mengaku juga terima duit JUDI !!



KUALA LUMPUR 25 Sept. - Selepas pelbagai pendedahan dibuat, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akhirnya mengakui bahawa pihaknya menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu.

Pengakuannya itu bertentangan dengan penafiannya sebelum ini iaitu, kos untuk membasmi kemiskinan diperoleh hasil daripada penjimatan yang diamalkan oleh kerajaan negeri menerusi prinsip ketelusan dalam pentadbiran.

Bagaimanapun, Guan Eng masih menafikan dakwaan bahawa wang ihsan dan sumbangan kepada golongan miskin tegar untuk umat Islam di negeri itu juga diambil daripada dana yang diperolehi melalui kegiatan lumba kuda.

"Kerajaan negeri mengasingkan dana yang diterima daripada kelab lumba kuda, terdapat juga masyarakat bukan Islam yang miskin tetapi untuk umat Islam, ia tiada kaitan dengan sumber judi," katanya dalam laman sosial twitter, hari ini.

Beliau menjawab pendedahan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam mengenai sepucuk surat kerajaan negeri yang dihantar kepada Pengarah Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang berhubung baki sumbangan RM500,000.

Menurut Reezal Merican, surat bertarikh 9 Julai 2010 yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani M. Yacob itu mengesahkan bahawa sumbangan tersebut sudah diterima oleh kerajaan negeri walaupun sebelum ini dinafikan.

Sebelum ini, sebuah blog, Pisau.net turut mendakwa bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas termasuk masyarakat Islam di negeri itu adalah dari sumber perjudian.

Dalam pada itu, Guan Eng berang dengan pendedahan isu tersebut apabila mempersoalkan kenapa Pemuda UMNO dan beberapa blog sengaja buat 'bising' berhubung isu sumbangan kepada warga emas.

"RM100 kepada warga emas adalah dividen anti-rasuah. Kerajaan negeri tak makan duit itu sebab ia boleh diberi kepada rakyat. Dulu Barisan Nasional (BN) tidak bagi duit masa memerintah, jadi mengapa bising?," soalnya.

Saturday, September 25, 2010

Pemuda UMNO dedah bukti dana dari judi lumba kuda


KEPALA BATAS 24 Sept. – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mendedahkan sepucuk surat yang didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program berkenaan.

Bertarikh 9 Julai 2010, surat itu yang ditandatangani Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Farida Hani M. Yacob, mengesahkan bahawa sumbangan tersebut sudah diterima kerajaan negeri.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, surat itu dihantar oleh seseorang yang tidak dikenali ke rumahnya di ibu negara Rabu lalu, kira-kira seminggu selepas beliau membuat kenyataan berhubung isu berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, surat tersebut membuktikan bahawa kenyataan beberapa pemimpin kerajaan negeri sebelum ini bahawa pentadbiran mereka tidak pernah menerima dana bersumberkan hasil perjudian adalah satu pembohongan.

‘‘Kalau sebelum ini kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng bermati-matian menafikan pernah menerima duit hasil perjudian untuk membiayai program mereka, saya cabar kerajaan negeri untuk tampil memberi penjelasan berhubung surat ini.

‘‘Kalau beliau (Guan Eng) gagal menjelaskan pembohongan ini, maka beliau akan dikenang sebagai bapa segala pembohongan. Kalau tidak betul pun, sila tampil beri penjelasan kerana surat ini dikeluarkan oleh pejabat beliau sendiri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Reezal Merican baru-baru ini mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog, Pisau.net bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri ini adalah dari sumber hasil perjudian.

Guan Eng bagaimanapun menafikan dakwaan itu sebaliknya menjelaskan bahawa wang kerajaan negeri yang dinikmati adalah hasil penjimatan melalui prinsip ketelusan yang diamalkan pentadbirannya selama ini.

Reezal Merican bagaimanapun berkata, isi kandungan surat tersebut jelas bertentangan dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng dan pemimpin kerajaan negeri berhubung isu itu.

‘‘Kita tidak pernah membuat tuduhan melulu tetapi kita meminta penjelasan kerana kita percaya ia turut melibatkan dana untuk orang Islam. Malah, surat itu menyebut sumbangan (RM500,000) merupakan ‘baki’ dana yang disalurkan, bermakna kelab berkenaan sudah menyalurkan sejumlah dana lain sebelum ini.

‘‘Justeru, sekali lagi kita tuntut penjelasan. Anda (media) perlu bertanya kepada beliau (Guan Eng) sendiri atau tanya kepada kelab (lumba kuda) berkenaan. Kita harap ia akan memberi perspektif baru kepada rakyat yang inginkan kebenaran,” jelasnya.

Menjawab persoalan mengenai pendedahan blog pisau.net yang sebenarnya berkisar soal pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas, Reezal Merican berkata, ia tidak menjadi satu isu kerana program membasmi miskin tegar juga melibatkan masyarakat Islam.

‘‘Saya timbulkan perkara ini kerana ia menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam mengenai sumber pemberian wang oleh kerajaan negeri. Kalau untuk miskin tegar sekalipun, bukankah ada orang Islam di negeri ini yang mengalami miskin tegar dan perlu dibantu?

‘‘Bagi orang Islam, kalau ia (sumbangan) daripada sumber tidak halal, mereka lebih rela susah daripada menerima sumbangan daripada perjudian kerana ia adalah haram. Lumba kuda ini bukankah satu bentuk perjudian?,” tegasnya.

Wednesday, September 22, 2010

Lee Kuan Yew cetus persepsi kaum Cina




Oleh DR. NOVANDRI HASAN BASRI

PENULIS ingin merujuk kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang kenyataan Lee Kuan Yew di dalam akhbar The New York Times. Mahathir telah menjawab balik beberapa dakwaan Kuan Yew. Jawapan Mahathir mudah difahami oleh sesiapa sahaja dan boleh dibaca di dalam blog beliau.

Yang menimbulkan rasa tidak sedap hati penulis ialah artikel Kuan Yew dijadikan e-mel berangkai dan disebarkan dengan meluasnya terutamanya kepada orang bukan Melayu. Respons mereka tentunya tidak sedap dibaca lebih-lebih lagi apabila mereka mula mempersoalkan isu-isu yang menyentuh Perlembagaan Negara.

Kuan Yew dipuja sebagai mangkin utama kepada pencapaian negara dan rakyat yang 75 peratus terdiri daripada kaum Cina. Tidak boleh dinafikan kaum Cina Malaysia mungkin pernah membandingkan 'nasib' mereka dengan Cina Singapura yang kelihatan lebih hebat.

Persepsi inilah yang dibaca di dalam e-mel berangkai dan para pembacanya terdiri daripada mereka yang berpelajaran dan tidak pernah merasai susah senang generasi sebelum mereka.

Mereka tidak mahu tahu maksud jus soli, kontrak sosial atau quid pro quo melalui Perkara 14-18 berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang bukan Melayu dan juga Perkara 153 yang memberikan hak istimewa kepada kaum bumiputera. Maksudnya, sejarah pembentukan Malaysia mahu dilupakan dan negara ini mesti seperti Singapura.

Bagaimana pun, apakah mereka patut dipersalahkan atau pun sistem pendidikan dan kenegaraan yang tidak menitik beratkan kesedaran tulen tentang sejarah negara Malaysia ini?

Mahathir telah menjelaskan bahawa kaum Cina yang merangkumi 75 peratus penduduk Singapura menguasai 95 peratus ekonomi negara itu. Peratusan tersebut ternyata jauh berbeza jika dibandingkan dengan peratusan kaum-kaum di negara Malaysia yang dilihat sebagai negara berbilang kaum yang tulen.

Malah beberapa kajian yang dijalankan di Singapura telah mendedahkan konflik perkauman dari segi ketidaksamarataan tahap pelajaran dan ekonomi yang sangat signifikan di Singapura. Pokoknya, konflik etnik di Singapura tidak lari jauh daripada pemahaman kita tentang diskriminasi kaum di negara tersebut.

Di dalam The Economic Marginality Of Ethnic Minorities: An Analysis Of Ethnic Income Inequality In Singapore tulisan William Keng Mun Lee, beliau mendedahkan berlakunya diskriminasi kaum dalam perbezaan pendapatan di antara kaum-kaum di Singapura.

Di dalam artikel Assimilation As Multiracialism: The Case of Singapore's Malays tulisan Michael D. Barra & Jevon Low, mereka mendedahkan perlakuan asimilasi kaum yang mungkin menyebabkan berlakunya krisis menafikan identiti kaum Melayu di Singapura.

Lebih membimbangkan apabila Singapura hari ini dilihat terlalu liberal yang berkemungkinan mewujudkan konflik pluralisme dek kerana modenisasi dan globalisasi. Kebimbangan ini ditulis oleh Suzaina Kadira dalam artikel beliau yang bertajuk Islam, State And Society In Singapore.

Justeru, Singapura tidak boleh mendabik dada konon ia adalah negara pelbagai kaum, sebaliknya ia adalah negara kaum Cina di mana penduduk minoriti tidak mendapat layanan yang sama. Tidak ada kebebasan bersuara dan tidak ada erti demokratik yang sebenarnya di Singapura.

Penulis ialah Pengerusi Sekretariat Media Maya, Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang.

Monday, September 20, 2010

Wang Ehsan Sumber Judi : Guan Eng Mula Putar Belit



KUALA LUMPUR 20 Sep – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini diminta agar tidak memutarbelit isu dan cuba lari dari tanggungjawab berhubung dakwaan sebuah blog kononnya pemberian wang ehsan untuk warga emas di negeri itu menggunakan wang daripada sumber judi.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata tindakan Guan Eng yang enggan memberi penjelasan berhubung perkara itu menjadi tanda tanya.

“Kita bukan fitnah cuma kita minta penjelasan kerana perkara ini menimbulkan kegelisahan dan rasa kurang senang segelintir penerima wang ehsan itu, terutama yang beragama Islam.

“Kenapa takut dan cuba lari dari persoalan sebenar. Kalau ini fitnah dari blog tersebut (pisau.net), Guan Eng patut ambil tindakan bukan putar belit isu. Apa yang kita lihat Guan Eng cuba lari dari tanggungjawab, tak telus…usah cakap hari mulia, bulan mulia tak baik fitnah kalau dia sendiri takut bercakap benar”, katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online sebagai mengulas tindakan Lim Guan Eng yang enggan memberi penjelasan berhubung dakawaan sebuah blog kononnya pemberian wang ehsan untuk warga emas di negeri itu menggunakan wang daripada sumber judi.

Reezal yang juga Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas seterusnya berkata sikap Guan Eng enggan memberi penjelasan serta mengambil tindakan terhadap blog tersebut memperlihatkan seolah-olah ada kebenaran berkenaan dakwaan tersebut.

“Perkara ini penting diberi penjelasan. Saya ada banyak mendengar keluhan dan kegelisahan penerima wang ehsan ini yang mahu kepastian adakah benar ia datang dari sumber judi.

“Mereka (penerima) sanggup hidup susah dari terima duit haram. Guan Eng tak perlu takut…bukan susah beri penjelasan atau saman saja blog tersebut kerana buat fitnah”, ujarnya. – MediaUMNO

Saturday, September 18, 2010

Pemuda UMNO desak kerajaan PP beri penjelasan wang ehsan RM 100






Pergerakan Pemuda Umno mahu kerajaan negeri Pulau Pinang memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog kononnya pemberian wang ehsan iaitu RM100 setahun kepada warga emas dan RM1,000 kepada waris keluarga warga emas meninggal dunia menerusi program penghargaan warga emas adalah menggunakan wang daripada sumber judi.

Ketua Penerangannya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng perlu segera memberi penjelasan kerana dakwaan dalam blog "Pisau.Net" itu telah menimbulkan kegelisahan dan rasa kurang senang segelintir penerima wang ehsan itu, terutama yang beragama Islam.

"Saya terima banyak panggilan daripada warga emas yang bertanyakan mengenai perkara itu dan mereka bimbang serta gelisah kerana sudah menerima wang RM100 dan RM1,000 terbabit sejak kerajaan negeri melaksanakan program penghargaan warga emas.

"Mereka sangat bimbang dengan dakwaan wang berkenaan dari sumber duit judi yang haram bagi umat Islam...penjelasan berkenaan bagi menghilangkan keraguan orang ramai di mana sehingga kini masih belum ada sebarang penjelasan walaupun sudah beberapa hari blog berkenaan membuat dakwaan terbabit," katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya bukan menuduh kerajaan negeri menggunakan wang judi untuk melaksanakan program penghargaan warga emas sebaliknya hanya mahu penjelasan berhubung dakwaan itu bagi menghilangkan keraguan.

"Kami tidak buat menuduh mereka (kerajaan negeri ) berbuat demikian...cuma mahu penjelasan selepas blog berkenaan (Pisau.Net) membuat dakwaan baru-baru ini kerana ia membabitkan orang ramai terutama warga emas beragama Islam yang turut sama menerima wang berkenaan.

"Ambil tindakan terhadap blog berkenaan sekiranya dakwaan dibuat tidak benar, jangan hanya berdiam diri seperti dilakukan mereka sekarang sehingga menyebabkan rakyat merasa gelisah," katanya.

Reezal yang juga Ketua Pemuda Umno Kepala Batas berkata sebagai sebuah kerajaan negeri yang mengaku mengamalkan CAT (Kompeten, Akauntabiliti dan Telus), kerajaan negeri harus telus dan menyatakan sumber kewangan bagi program pemberian wang ehsan berkenaan.

--Bernama

KISAH BENAR 3: Menemui anda di Bayan Lepas, Pulau Pinang

Semua dijemput hadir terutama yang tinggal di kawasan Bayan Lepas. Cerita Benar 3 akan menampilkan penceramah-penceramah yang cukup hebat. Antaranya Y.Bhg. Dato Mohd Ghazali Ahmad yang merupakan bekas Ketua Dewab Ulama PAS Terengganu. Beliau telah meninggalkan PAS bukan kerana PAS berkawan baik dengan DAP. Ditinggalkan PAS sejak bertahun-tahun dulu lagi.


Tentulah ada sebab yang menarik kenapa beliau yang mengetuai Dewan Ulama PAS sanggup meninggalkan PAS. Takut juga pemimpin-pemimpin PAS dan penyokong PAS untuk datang mendengarnya. Datanglah untuk mendengar cerita yang sebenarnya, mengapa dan bila Dato' Mohd Ghazali Ahmad meninggalkan PAS.



Di samping itu, Sdr Lokman Adam bekas pemimpin PKR dan bekas tahanan ISA kini menjadi exco pemuda UMNO Malaysia. Orang yang lantang berhujah di atas pentas politik boleh menyebabkan penyokong-penyokong Anwar Ibrahim kecut perut. Cerita Anwar Ibrahim sudah ada dalam poketnya. Mereka tahu cerita sebenarnya, bukan fitnah seperti yang dimain-mainkan oleh pembangkang kepada BN. Datanglah beramai-ramai esok (Sabtu) jam 8.00 mlm di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Sumber:Suarasatuduaumno

Friday, September 17, 2010

Berjuang tawan semula Pulau Pinang - YB Farid Saad


BALIK PULAU – Pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu bersatu untuk berjuang menawan semula Pulau Pinang dan membebaskan negeri itu dari pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, pemimpin muda dan veteran sewajarnya bergabung sebagai sebuah keluarga untuk memastikan impian itu dapat dicapai.

“Pemimpin pelbagai generasi dari muda sehinggalah veteran sewajarnya berusaha untuk meraih kembali kerusi di dalam pilihan raya yang akan datang.

“Strategi perlu disusun dan selain itu, kita perlu meningkatkan semangat setia kawan dan bersatu untuk meneruskan perjuangan ini,” katanya ketika ditemui di majlis jamuan Aidilfitri di Dataran Tok Sudin, Kampung Jalan Bahru, semalam.

Terdahulu, media melaporkan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr Teng Hock Nan menyatakan bahawa BN tidak mampu merampas kembali kepercayaan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Muhamad Farid berkata, pemimpin senior tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan sedemikian malah sewajarnya berusaha membangkitkan kembali semangat perjuangan BN.

“Malah, saya sendiri sebagai pemimpin muda tidak berhenti berjuang untuk meningkatkan keyakinan rakyat agar misi menakluk negeri ini dapat diteruskan,” katanya.

Monday, September 13, 2010

Pak Ali buka pekung sebenar DAP yang kaki pembohong !!


Masih ingat tak lagi Pak Ali yang terkenal di suratkhabar kerana menepuk bahu Khalifah Guan Eng kesayangan Pas di parking kereta Komtar ?? Ternyata apa yang Pak Ali cakap mengenai kebenaran penindasan dan pembohongan kerajaan DAP terhadap bangsa Melayu dulu memang benar .

Kali ini Pak Ali mendedahkan pembohongan dan penipuan pemimpin –pemimpin DAP di bulan Ramadhan yang kononnya prihatin dan memberi bantuan kepada kebanyakkan masjid di Pulau Pinang . Ia berlaku di Dun Komtar di mana Pak Ali mendakwa Masjid Khairi di Jalan Pahang tidak perna h menerima sebarang bantuan raya oleh Adun Komtar Ng Wei AIk dan kerajaan negeri Pakatan .

Laporan Sinar Harian yang melaporkan Ng Wei memberi bantuan raya kepada 10 buah masjid termasuk Masjid Khairi sejak dua tahun lalu walhal tiada satu sen pun bantuan oleh pemimpin DAP ini . Jelas sekali , puak-puak DAP ini memang pakar dalam melakukan pembohongan terhadap orang Melayu sepertimana Ketua Menteri berlidah biawak mereka .

Apabila orang PAS baca Ng Wei bagi bantuan raya kepada masjid di Sinar Harian , mesti mereka akan menyanjung terus pemimpin DAP ini sedangkan beliau tidak beri pun bantuan seperti yang didakwa . Ini menunjukan pemimpin DAP di Pulau Pinang tidak ikhlas memberi bantuan dan hanya mahu mengaburi mata orang Melayu untuk meraih sokongan politik .Akhbar Sinar Harian juga sewajarnya melaporkan berita ini yang benar dan telus bukannya berita picisan seperti ini yang mengangkat dan bodek pemimpin DAP ini !! Berapa DAP bayar untuk berita bohong dan putar belit ini ??

Mujur lah Pak Ali yang juga bilal di Masjid Khairi ,Jalan Pahang telah membuka pekung sebenar DAP dan kerajaan Pakatan disebalik program Ihya Ramadhan yang kononnya member bantuan raya kepada masjid-masjid di PP . Jika tidak siapa pun tidak tahu cerita sebenar bahawa ada masjid yang tidak menerima langsung bantuan oleh kerajaan negeri mahupun MAIPP .

DAP memang pakar dalam memutar belit dan berbohong kepada orang Melayu di PP ditambah lagi sokongan padu dari puak-puak kopiah putih PAS dan PKR . Di bulan Ramadhan lepas DAP diketuai Guan Eng jelas begitu agresif melakukan roadshow ke masjid-masjid dan surau untuk berbuka puasa dan member hamper RM 20 bagi mengaburi mata rakyat terutama orang PAS kononnya mereka bersikap baik dan prihatin terhadap umat Islam di negeri ini . Orang PAS seperti biasa la akan canang di kedai kopi, blog ,tazkirah dan ceramah2 bahawa Islam terbela di bawah pemerintahan Guan Eng dan 50 tahun BN perintah tak pernah bagi apa pun bantuan .

Berbekalkan sedikit sumbangan , turun berbuka puasa,dan memberi hamper saja sudah boleh kencingkan puak-puak PAS dan PKR ini . Cukup mudah sekali kan puak2 kopiah putih ini kena kencing sedangkan mereka tidak tahu bahawa ada yang tidak terima bantuan pun .

Parti Gerakan Pulau Pinang Berpaling Tadah ?

Sebuah portal berita telah menyiarkan satu laporan berita yang pastinya akan mengundang pelbagai komen, kemarahan dan kekecewaan terutamanya kepada jentera politik Barisan Nasional di Pulau Pinang.


Apa tidaknya, Teng Hock Nan telah 'mengibar bendera putih' dan menyerah kalah kepada parti DAP Pulau Pinang walau pun pilihanraya umum ke-13 belum lagi bermula. Tarikhnya pun belum diketahui dan difahami tidak dalam masa terdekat ini !


Di antara laporan tersebut:-

GEORGE TOWN, 12 Sept – Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nan mengakui (conceded) DAP boleh mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) satu lagi penggal dengan memenangi pilihan raya umum ke-13, tetapi parti komponen BN ini meramalkan peluang lebih baik untuk menawan semula selepas itu.

Teng juga meramalkan yang kerajaan negeri pimpinan PR tidak akan kekal berkuasa untuk tempoh yang lama.

Katanya, Ketua Menteri Lim Guan Eng yang popular tidak akan mampu untuk menerajui negeri itu selepas pilihan raya umum ke-14 ekoran pendekatan dan caranya menguruskan Pulau Pinang...
seterusnya.

Kenyataan Teng Hock Nan itu sangat memalukan Barisan Nasional Pulau Pinang. Dan juga menimbulkan pelbagai persoalan yang mesti dijawab segera :-

1. Apakah kejatuhan morale Hock Nan turut dikongsi oleh pemimpin-pemimpin Gerakan yang lain seperti, Koh Tsu Khoon, Teng Chang Yeow,Dr. Thor Teong Gee,Mark Ooi,Mohan, Ang Chai Kooi, Oh Tong Keong, Hng Chee Wey, Goh Yew Jin, Teoh Hang Chong, Tan Yeow Joo dan Hartini Tan bt. Abdullah?

2. Apakah 13 koordinator DUN dan 4 koordinator Parlimen parti Gerakan Pulau Pinang perlu dibantu kewujudan mereka jika mereka sudah mengaku kalah hari ini?

3. Apakah perlu lagi diletakkan calon parti Gerakan di Pulau Pinang untuk pilihanraya umum yang akan datang?


Di dalam pelbagai usaha untuk memenangi kembali Pulau Pinang daripada kepimpinan Lim Guan Eng dan exco-exconya yang tidak kompeten, tidak efesien, tidak berpengalaman dan rasis, Ketua Gerakan Pulau Pinang itu membuat satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab, tidak komited dan 'chicken out' biarpun belum 'berperang' lagi.

Malah, kenyataan 'mengaku kalah' Teng Hock Nan itu juga seperti menjawab kepada ketidakseriusan dan kelembapan parti Gerakan selama ini di dalam mengatur program-program politik untuk menawan kembali hati rakyat Pulau Pinang.

Parti tersebut dilihat sudah tidak bermaya dan malu berdepan dengan rakyat walau pun pilihanraya sudah lama berlalu.

Tetapi laporan berita itu juga melaporkan sesuatu yang pelik dan amat meragukan :-

Bagaimanapun Teng meminta rakyat Pulau Pinang agar memberikan Gerakan satu lagi peluang dalam pilihan raya umum akan datang untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif di Dewan Undangan Negeri.

“Dalam mana-mana pentadbiran... mana-mana kerajaan, kuasa mutlak akan membawa kepada elemen salah guna. Kita menuju kepada kuasa mutlak.

“Jika anda mahu kekalkan Guan Eng lebih lama, kami merayu kepada rakyat meletakkan beberapa orang daripada kami di Dewan Undangan Negeri,” katanya.
“Kami mahu rakyat percaya pada rekod prestasi kami dan
meletakkan beberapa orang daripada kami di Dewan Undangan Negeri untuk memantau kerajaan negeri agar pentadbiran Guan Eng tidak reput dengan cepat. Ia akan reput, tetapi tidak dalam waktu terdekat,”

Apakah parti Gerakan Pulau Pinang mahu berpaling tadah dan akan bekerjasama dengan parti DAP untuk memastikan 'Lim Guan Eng tidak reput dengan cepat'?

Apakah parti Gerakan mahukan Lim Guan Eng bertakhta terus di Pulau Pinang ini?

Banyak persoalan dan kekeliruan pasti timbul akibat kenyataan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang ini.

Maka untuk mengelak sebarang kesulitan di masa depan, Parti Gerakan dituntut untuk memberi penjelasan dengan kadar segera!

Atau pun, jangan letakkan sebarang calon parti Gerakan di Pilihanraya Umum kelak !

Tuesday, September 7, 2010

Hapus kampung tradisional tindakan merbahaya - Khoo Kay Kim


PULAU PINANG 6 Sept. - Tindakan menghapuskan kampung- kampung tradisional semata-mata berkiblatkan wang ringgit sangat berbahaya kerana ia akan melenyapkan identiti sesuatu kaum.

Pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, sebarang pembangunan yang hendak dilaksanakan di kawasan tersebut perlu mengambil kira faktor budaya dan warisan.

Beliau menambah, kerakusan pihak tertentu merobohkan kampung sedemikian atas nama pembangunan merupakan tindakan berbahaya.

"Sepatutnya kampung- kampung tradisional dipelihara. Kalau tidak dapat dielakkan, tidak mengapa tapi sebarang langkah yang diambil perlulah menimbangkan antara budaya dan warisan dengan wang ringgit.

"Kalau kerana wang kampung-kampung tradisional dihapuskan, ini sangat berbahaya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas nasib 52 keluarga dari Kampung Permatang Tepi Laut, Batu Maung di sini yang diarah oleh pemaju mengosongkan rumah masing-masing pada 31 Oktober ini.

Kampung nelayan yang dihuni sepenuhnya oleh orang Melayu itu telah wujud sejak 70 tahun lalu.

Kampung-kampung tradisional lain di negeri ini yang mungkin menerima nasib sama adalah Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong dan Kampung Tengah terletak bersebelahan.

Menurut Kay Kim, di negara maju lain, keadaan seperti itu tidak berlaku.

Sebagai contoh, katanya, di England banyak tempat yang telah wujud sejak ratusan abad lamanya dipelihara dengan baik.

"Mereka bangga dengan warisan mereka tapi kita lebih mementingkan materialisme sehinggakan padang bola pun didirikan rumah.

"Sebab itulah orang Malaysia mempunyai pengetahuan cetek tentang negara sendiri, kebanyakan penduduk ibu negara sendiri pun tidak tahu asal usul Kuala Lumpur," katanya.

Beliau memberitahu, memelihara warisan juga menggalakkan kedatangan pelancong luar.

Saturday, September 4, 2010

Dakwaan UMNO lemah agenda jahat pembangkang



KUALA LUMPUR 3 Sept – Peningkatan sokongan rakyat terutama golongan Melayu terhadap UMNO menyebabkan parti yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional (BN) itu menjadi bahan iri hati kepada parti pembangkang.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, lantaran itu pelbagai fitnah dan kata-kata yang tidak masuk akal dilontarkan terhadap UMNO dalam usaha menanam kebencian berterusan di kalangan rakyat sehingga menjelangnya pilihan raya umum ke-13.

Justeru beliau menyifatkan kenyataan bahawa UMNO lemah dan semakin ditolak rakyat adalah satu kenyataan yang tidak boleh diterima akal kerana saban hari parti itu mendapat kepercayaan daripada rakyat atas komitmen dan kesungguhan Datuk Seri Najib dalam menerajui kepimpinan negara.

“Dasar-dasar yang telah diperkenalkan dan yang sedang di dalam perancangan sudah pastinya mengambil kira kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Baik Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain di negara ini sememstinya menjadi tumpuan kerajaan.

“Berbanding dengan pembangkang, mereka sehingga hari ini masih kabur dan lintang pukang hala tuju perjuangan serta dasar yang ingin diterapkan di dalam struktur pemerintahan. Satu pihak mahu laksanakan negara Islam, satu pihak lagi tidak mahu dan satu pihak lagi lain pula bunyi dasar perjuangan.”

“Berbanding dengan pembangkang, mereka sehingga hari ini masih kabur dan lintang pukang hala tuju perjuangan serta dasar yang ingin diterapkan di dalam struktur pemerintahan. Satu pihak mahu laksanakan negara Islam, satu pihak lagi tidak mahu dan satu pihak lagi lain pula bunyi dasar perjuangan.

“Perkara-perkara pokok seumpama inilah yang dilihat menjadi punca pembangkang makin merundum dan BN khususnya UMNO terus mendapat kepercayaan rakyat. Cuba kita teroka pula di negeri yang dikuasi pembangkang. Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan sebagainya. Difahamkan rakyat makin meluat dan tidak yakin dengan kepimpinan yang ada hari ini,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam temubual eksklusif dengan umno online hari ini menyanggah persepsi yang menyatakan UMNO kini sebuah parti lemah dan bukan lagi menjadi pilihan orang Melayu.

UMNO, tegas beliau, masih terus menjadi parti dominan dalam Barisan Nasional (BN) tetapi pada waktu yang sama tetap menjadi suara mutlak memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

Reezal seterusnya menambah, kepimpinan Istiqamah Datuk Seri Najib menyebabkan rakyat tanpa mengira latar belakang memberi kepercayaan dan pengharapan yang cukup tinggi kepada beliau untuk memacu negara ke tahap yang lebih cemerlang.

“Walkbout, transformasi di dalam kerajaan, Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh dan pelbagai dasar lain termasuk mengutamakan kepentingan rakyat dalam apa jua keadaan dilihat menjadi daya penarik kepada peningkatan sokongan kepada UMNO dan BN hari ini.

“Justeru kepada mana-mana pihak yang terus memainkan cerita karut-marut ini, hentikanlah kerana ianya langsung tidak berfaedah sebaliknya menyerlahkan hakikat yang sebenar bahawa UMNO semakin kuat makin kuat dan tidak lesu sebaliknya terus bangkit mempertahankan serta merencana dengan lebih gemilang apa yang telah dikecapi hari ini,” katanya. – MediaUMNO

Friday, September 3, 2010

Malik Kassim PKR Exco Agama Islam Tak Kompeten...

GEORGE TOWN, 1 Sept — Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) mengambil tindakan drastik dalam isu khatib membaca khutbah Jumaat di Pulau Pinang dengan melarang semua masjid di negeri tersebut daripada mengundang khatib-khatib jemputan.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat majlis itu pada 26 Ogos lalu.

Dalam pekeliling yang diedarkan awal minggu ini yang diperoleh The Malaysian Insider, Setiausaha MAIPP, Sazali Hussein berkata majlis memutuskan untuk melarang pihak pentadbiran masjid membawa mana-mana khatib jemputan bagi menyampaikan khutbah berkuat kuasa mulai 26 Ogos lalu.

Larangan itu terpakai sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, kata Sazali.

Pekeliling itu ditandatangani oleh Sazali dan diedarkan kepada kesemua 212 masjid di Pulau Pinang.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang memberitahu, “khutbah hendaklah disampaikan oleh imam-imam yang telah dilantik atau yang diberi kebenaran oleh MAIPP.”
- Malaysian Insider
Penulis mengalu-alukan tindakan MAIPP itu. Langkah tersebut adalah salah satu cara terbaik untuk mengawal institusi masjid daripada disalahgunakan untuk tujuan politik sempit sesetangah parti politik.

Maka, tiada lagi khatib-khatib luar yang membuat kontroversi seperti isu mendoakan Lim Guan Eng dan melupakan nama Ketua Islam negeri dan negara kita.


Dalam masa yang sama, penulis juga mengharapkan agar teks khutbah yang disediakan tidak berbau politik tetapi menyeru kepada kebaikan, pengukuhan iman dan segala yang positif untuk umat Islam.

Malik Kassim, Exco Agama Islam kerajaan Lim Guan Eng DAP pula perlu meminta maaf kepada rakyat Pulau Pinang kerana membuat kenyataan yang tidak tepat, terburu-buru dan tidak profesional. Secara tidak langsung, ketidakefisienan Malik tersebut sebenarnya menunjukkan betapa beliau telah gagal di dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepada beliau.

Persoalannya, apakah sudah tiba masanya Malik Kassim PKR meletakkan jawatan dan jawatan itu diberikan kepada yang lebih layak, contohnya kepada pemimpin PAS Pulau Pinang?

Penyokong-penyokong PAS Pulau Pinang tentu akan bersetuju !