PERHATIAN

Kami mengalu-alukan sebarang informasi dan juga timbal balas daripada anda sekalian terutamanya mengenai isu-isu setempat di Pulau Pinang.

Mari kita sama-sama bongkar dan dedahkan pembohongan Lim Guan Eng dan DAP Pulau Pinang !!

Emelkan ke penang.umb@gmail.com

Terima kasih.

Tuesday, May 31, 2011

Kerajaan Tidak Utamakan Soal Populariti Dalam Mengambil Keputusan - Muhyiddin




PUTRAJAYA: Kerajaan hanya mengambil kira kepentingan negara dan rakyat untuk jangka masa panjang sebelum mengambil sesuatu keputusan dan bukannya soal populariti, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau memberikan contoh bahawa jika kerajaan Barisan Nasional mengutamakan soal populariti dengan tidak menaikkan kadar tarif elektrik, maka rakyat dan negara akan menanggung implikasi yang buruk pada masa akan datang.

Beliau berkata rakyat sedar dan faham apa yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam fenomena ekonomi dunia yang tidak menentu.

"Kita bukan ambil kira soal populariti atau pun tidak. Kita buat keputusan berdasarkan kepada kenyataan yang perlu kita dihadapi. Saya percaya semua rakyat pun tahu dan ini bukan fenomena Malaysia tetapi fenomena global.

"Kos harga minyak yang sudah melambung naik dan banyak lagi faktor-faktor yang menyebabkan kos meningkat. Ini sudah menjadi fenomena global. Cuma di Malaysia ini, bila kerajaan nak putuskan sesuatu seperti memutuskan kadar tarif elektrif baru, kita teliti satu persatu," katanya kepada kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Berlian dan sambutan ulang tahun ke-10 Suruhanjaya Tenaga di sini Selasa.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata rakyat mungkin bergembira sekiranya diberikan subsidi penuh dengan tidak menaikkan sebarang kadar, namun pada jangka masa panjang ia hanya membebankan rakyat.

Katanya keadaan itu menunjukkan kerajaan tidak pandai mengurus belanjawan negara.

"Kita mungkin popular buat sementara sahaja kalau kita tidak buat apa-apa (naikkan harga) tetapi jangka panjangnya kesannya ialah buruk kepada negara kerana kita kena tanggung semua beban.


"Rakyat semua suka hati, akhirnya rakyatnya juga yang menanggung sengsara kerana kerajaan waktu itu sudah berhadapan dengan situasi ekonomi yang teruk dan ia tidak boleh menguruskan belanjawan yang baik," katanya.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan kerajaan sebenarnya begitu bertanggungjawab dan prihatin terhadap rakyat dan masa depannya kerana terdapat batasan untuk kerajaan menanggung subsidi.

Beliau memberi jaminan bahawa kadar baru tarif elektrik yang berkuatkuasa Rabu tidak akan memberi kesan kepada kadar inflasi sekarang iaitu 3.5 peratus.

Muhyiddin juga meminta semua pihak terutamanya pengguna domestik supaya menggunakan tenaga elektrik dengan lebih efisien. - BERNAMA

Jangan mudah melenting tarif elektrik naik



Selepas kecoh mengenai harga bahan bakar ron 97 yang dinaikkan, kini kecoh pula mengenai harga baru tariff eletrik yang bakal naik berkuatkuasa esok. Pembangkang mula mempolitikkan isu ini kononnya bakal membebankan rakyat. Mereka menuduh kerajaan tidak menjaga kebajikan rakyat bila menaikkan harga eletrik.

Tetapi tidakkah rakyat sedar bahawa kenaikan hanya melibatkan bil bulanan yang melebihi RM77 sebulan sedangkan kebanyakan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan sederhana, bil bulanan mereka tidak melebihi RM77 sebulan.

Ini jelas menunjukkan kerajaan sentiasa menjaga rakyat malah penggunaan di bawah RM20 sebulan adalah percuma. Dengan memberi kelonggaran ini, kerajaan terpaksa menanggung kos RM122 juta setahun. Kenaikan yang diumumkan kerajaan ini tidak membabitkan 4.4 juta daripada 5.94 pengguna domestik.

Pengguna yang di bawah penggunaan 300kWj, langsung tidak terlibat dengan kenaikan ini. Jadi mengapa harus melenting tidak tentu fasal. Semaklah bil eletrik bulanan anda. Jangan terlalu mudah mempercayai kata-kata pembangkang yang memang suka melihat Negara kita ini sentiasa ‘panas’ dan bergolak.

Rakyat harus sedar, kerajaan sentiasa mendahulukan rakyat walaupun terpaksa menanggung pelbagai kos subsidi demi keselesaan rakyat. Contohnya subsidi gula, kita hanya membayar RM2.30 sedangkan harga sebenar berjumlah RM2.40. Kerajaan terpaksa menanggung kos subsidi sebanyak RM789 juga untuk gula.

Minya masak pula kita hanya membayar RM2.50 sedangkan harga sebenar RM3.50. Subsidi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan adalah RM813 juga. Ini belum lagi membabitkan subsidi lain-lain.

Kita harus bersyukur kerana Malaysia adalah satu-satunya Negara yang mempunyai subsidi. Sekiranya kita ke Negara lain, kita terpaksa menanggung harga sebenar dan ini sudah pastinya menyusahkan kita.

Ambil contoh Singapura. Mengapa rakyat Singapura suka membeli belah di Johor Bahru? Ini adalah kerana mereka boleh membeli dengan harga yang jauh lebih murah.

Kesimpulannya, jangan terlalu manja dengan subsidi dan jangan hanya pandai menuding jari tanpa mengetahui dan memahami duduk perkara sebenar. Pembangkang hanya tahu menabur fitnah bagi mengelirukan rakyat sekaligus menimbulkan rasa benci rakyat terhadap kerajaan.

Kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk kita. Mengapa kita sering bertanya apa yang telah kerajaan lakukan untuk kita tetapi pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, apa yang telah kita lakukan untuk kerajaan dan Negara?

sumber : UMNO Online

Thursday, May 26, 2011

Pengedaran Video Seks : Kemungkinan Antara Dua Puak Dalam Pas Terlibat?




KUALA LUMPUR 26 Mei – Pengedaran video seks yang didakwa membabitkan pemimpin tertinggi pembangkang secara berleluasa seperti dilaporkan berkemungkinan dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepentingan.

Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata tuduhan pihak tertentu yang mengatakan UMNO melakukan perkara itu sebagai suatu yang tidak berasas.


Apa sahaja yang berlaku membabitkan Anwar Ibrahim, semua pihak akan menuding jari kepada UMNO, mereka kata semua itu adalah perancangan UMNO, konspirasi UMNO untuk jatuhkan Anwar.

“Sehingga kini, semua pihak masih tidak tahu siapa yang lakukannya termasuk pihak polis, mungkin juga mereka yang melakukan perkara ini mempunyai kepentingan tertentu untuk memburuk-burukkan Anwar.

“UMNO tidak akan melakukan kerja seperti ini, banyak perkara yang lebih berfaedah perlu dilakukan UMNO, bukannya perkara yang tidak berfaedah itu,” katanya kepada UMNO-online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berhubung pengedaran video seks itu secara berleluasa dan UMNO dituduh menjadi dalang kepada pengedaran video berkenaan oleh pembangkang.

Musa berkata, kemungkinan juga mereka yang mengedar video berkenaan mempunyai hubung kait dengan pemilihan pucuk pimpinan Pas bulan depan yang dikatakan pertembungan antara kumpulan pro Anwar (Endorgan) dengan pro ulama.

“Sekarang orang heboh bercakap mengenai pemilihan Pas, mereka kata ada ada pertembungan antara kumpulan pro Anwar dengan pro ulama. dan tidak mustahil perkara ini dilakukan oleh pihak tertantu yang menyokong salah satu kumpulan terbabit.

“Mereka ini lakukan untuk memalukan pihak tertentu, dalam hal ini mereka yang mempunyai kepentingan akan sanggup melakukan apa sahaja, lepas itu tuduh pihak lain yang lakukan,” katanya.

Menurutnya, beliau merasa sedih dengan apa yang berlaku itu kerana membabitkan aib seseorang, sepatutnya perkara itu biarlah pihak berkuasa menjalankan tugasnya untuk menyelesaikan kemelut dan bukannya kita sendiri yang membuat keputusan.

“Dalam kita ingin mencapai sesuatu, tidak perlu kita melakukan sesuatu sehingga boleh memberi keaiban kepada orang lain, dalam perkara ini UMNO tidak terbabit lansung,” katanya.

Musa berkata, sudah menjadi lumrah politik negara ini apa sahaja yang membabitkan Anwar dan pihak pembangkang, UMNO yang menjadi mangsa dengan tujuan supaya rakyat bendi kepada UMNO dan Barisan Nasional. -MediaUMNO.

Wednesday, May 25, 2011

Harga Ron 95, Diesel Dan LPG Kekal, Kerajaan Umum Tiada Kenaikan



PUTRAJAYA, 25 Mei – Harga petrol RON95, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG) kekal buat masa ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan LPG buat masa ini setelah rasionalisasi subsidi dibincangkan dengan mendalam dan teliti dalam mesyuarat mingguan Kabinet hari ini.

“Keputusan ini dibuat kerana kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat,” katanya pada sidang media di kementerian berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa sama kerajaan akan meneruskan kajian rasionalisasi subsidi secara menyeluruh berikutan peningkatan harga minyak dan gas di pasaran global.

Ditanya adakah Kabinet membincangkan tempoh masa harga berkenaan dikekalkan, Ismail berkata Kabinet tidak membincangkan tentang jangkamasa.

Harga petrol RON95 kini ialah RM1.90 seliter dan diesel RM1.80 seliter.

Harga LPG ialah RM1.90 sekilogram. Kali terakhir harga RON95, diesel dan LPG diselaraskan ialah pada Disember tahun lepas.

Ismail berkata pengekalan harga ketiga-tiga bahan api ini mengakibatkan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM18 bilion setakat ini.

Tahun lalu kerajaan menanggung kira-kira RM8.15 bilion subsidi bagi bahan api yang sama.

Jeff Ooi Bukti DAP Sememangnya Anti Islam





Sebelum ini di dalam isu yang kononnya Kristian hendak dijadikan agama rasmi menggantikan Islam, pemimpin DAP menyatakan bahawa mereka mengakui Islam sebagai agama rasmi negara. DAP juga akur dengan perlembagaan yang menetapkan Islam wajar dihormati selain dari Raja-Raja Melayu.




Jika benar seperti apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin DAP tersebut, mereka perlu memecat dan mengenakan tindakan yang paling tegas terhadap Jeff Oii yang didapati bersalah kerana memfitnah seorang ahli pertubuhan Islam.


Ini adalah untuk membuktikan yang DAP hormat kepada Islam yang menjadi agama anutan majoriti rakyat Malaysia.


Jeff Oii didapati bersalah dalam satu kes saman fitnah dan diarahkan membayar sebanyak RM150,000 kepada bekas Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Mohd Razali Abdullah yang dituduhnya “EKSTREMIS ISLAM”.


Sebelum ini Jeff Oii amat lantang menghentam Utusan yang disifatkannya memainkan sentimen agama serta diperkudakan oleh UMNO. Tapi apa yang dilakukan oleh Jeff Oii itu sendiri adalah satu perbuatan yang amat melampau. Jeff Oii bukan saja menghina orang Islam tetapi dia secara langsung menghina sebuah Pertubuhan Islam.


Sekarang ini jelas terbukti, DAP mengamalkan politik yang menyebarkan kebencian terhadap agama Islam di dalam negara. Lihat saja bagaimana pemimpin-pemimpin DAP seperti Jeff Oii ini secara sesuka hati menggelarkan orang Islam lain sebagai pelampau Islam ataupun pengganas.


Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP dan juga Ketua Menteri P.Pinang juga patut bertanggung jawab didalam isu fitnah Jeff Oii ini.


Jika benar Lim Guan Eng mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi dan juga hormat terhadap perlembagaan Malaysia, dia perlu buktikan dengan mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Jelutong tersebut.


Jika Lim Guan Eng berdiam diri dan tak mengambil apa-apa tindakan terhadap Jeff Oii, ini bermakna Lim Guan Eng juga bersetuju dan merestui Ahli Parlimen Jelutong tersebut menghina Islam dan memfitnah orang Islam lain.


Dan jika Jeff Oii masih lagi dikekalkan didalam struktur pentadbiran kerajaan DAP negeri P.Pinang yang dikepalai Lim Guan Eng, ini menunjukkan yang DAP itu sebenarnya parti yang memang ANTI Islam didalam negara.


Jeff Oii juga seharusnya didesak supaya meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Jelutong. Rakyat Jelutong yang berbilang kaum pastinya tak akan mahu menerima seorang ahli Parlimen yang kaki fitnah dan tak tahu hormat pada agama lain.


Tindakan Jeff Oii yang seolah-olah memusuhi Islam ini tak harus dipandang ringan oleh semua muslim di Malaysia. Sikap pemimpin DAP ini jelas membuktikan bahawa mentaliti mereka masih menganggap Islam itu sebagai sebuah agama yang kasar dan ganas.


Pak_Long

Lagi gerai Melayu P.Pinang kena roboh

.

Kak Rahayu Abd Murad menangis kerana akan hilang punca pencarian akibat kekejaman DAP mengarahkan pihak MPPP merobohkan kedai yang diusahakan turun temurun dari emaknya hinggalah beliau mengambil alih perniagaan tersebut.Selama berniaga dari kecil hingga kini hampir lebih 40 tahun.tiada siapa menggangu perniagaan beliau.Untuk makluman Rahayu mempunyai seorang anak kurang upaya.





Bermula dari kehadiran Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam upacara memecah tanah bagi membina Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pai Chai di lot tanah 62 batu Feringghi.Bangunan baru yang dibina setinggi 4tingkat.

Beliau mengarahkan gerai yang berada dihadapan sekolah patut dirobohkan walaupun kawasan tersebut berada di luar Lot 62 kerana ia akan mengcacat pemandangan apabila beliau  akan kembali merasmikan bangunan tersebut apabila siap kelak.

MPPP mengambil tindakan menyaman Rahayu pada 6april 2011. Notis 24 jam bagi mengosongkan kedai pada 20 April 2011.Tindakan merobohkan kedai sepatutnya pada hari ini 24 May 2011 tetapi  tiada kelihatan lori atau penguatkuasa datang pada hari ini.

Monday, May 23, 2011

PRU 13 harus diberi keutamaan ahli parti



GEORGETOWN – Ahli UMNO digesa untuk menolak kepentingan pemilihan dalam parti kerana hidup mati UMNO bergantung pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, keutamaan pada masa ini bukan soal pemilihan parti sebaliknya PRU-13.

Menurutnya, jika UMNO tersungkur pada pilihan raya akan datang, beliau sendiri tidak tahu bagaimana parti itu akan bangkit semula daripada kekalahan kedua selepas kalah dalam PRU-12.

“Majlis Tertinggi UMNO menangguhkan pemilihan parti kepada 18 bulan, bagi memastikan kita dapat memberi tumpuan pada PRU-13. Tak guna rebut jawatan dalam parti, kita lawan sesama sendiri malah ada yang anggap ‘perang’ dalam UMNO lebih dahsyat berbanding pilihan raya sebenar.

“Jangan sibuk hendak langgar semua dalam parti,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjung di sini, semalam.

Saturday, May 21, 2011

Umno Pulau Pinang Harap Kejutan Pada PRU Ke-13



PEKAN: Umno Pulau Pinang mengakui bakal menghadapi cabaran getir pada pilihan raya umum akan datang, namun mengharapkan 'kejutan' daripada rakyat untuk menguasai kembali negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) kini bukan hanya melawan parti politik, sebaliknya turut berdepan jentera kerajaan negeri.

"Kalau dulu, BN bertarung bagi mengekalkan pemerintahan di Pulau Pinang, begitu juga di Selangor dan Kedah...kini, kita bukan sahaja melawan parti tetapi jentera kerajaan negeri, orang yang sedang berkuasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri Umno Bahagian Pekan di sini, Sabtu.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan Datuk Ishak Muhammad dan Ketua Puteri Umno Pekan Nor Azita Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang sebagai paling sengit dalam sejarah politik tanah air.

Zainal Abidin yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno bagaimanapun berkata, beliau mengharapkan kejutan daripada rakyat untuk menumbangkan kerajaan negeri pimpinan DAP yang dilihat mengamalkan politik tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata Pakatan Rakyat mengharapkan keburukan pada negara dan kesusahan rakyat demi untuk berkuasa.

"Mereka mahu ekonomi negara merudum dan harap harga barang serta minyak naik supaya rakyat akan marah kerajaan (BN)," katanya.

Beliau berkata Umno di negeri itu kini sedang berusaha keras bagi mengembalikan sokongan rakyat termasuk mengadakan program tinjauan mesra setiap minggu.

"Malah parti-parti komponen BN juga telah bangkit dan mula mengorak langkah dan saya yakin sedikit masa lagi rakyat akan kembali kepada BN," katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin memohon kerajaan persekutuan agar mengkaji mekanisme terbaik bagi mengatasi kenaikan harga barangan dan minyak yang kini menjadi kegusaran rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah. - BERNAMA

Pemuda UMNO bidas kerajaan DAP abaikan nelayan Pulau Pinang



KEPALA BATAS 19 Mei - Pemuda UMNO membidas Kerajaan DAP Pulau Pinang kerana mengabaikan nasib lebih 4,500 nelayan di negeri ini yang tidak diberi sebarang peruntukan khusus dalam Bajet 2011 Pulau Pinang seperti yang diumumkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (gambar) berkata, bajet itu sekadar menggariskan pengecualian 50 peratus bayaran pembaharuan lesen yang hanya menyebabkan kerajaan negeri kehilangan pendapatan RM65,000 setahun.

Ini bermakna, katanya, tanpa sebarang dana dari poket kerajaan negeri, setiap daripada 4,500 nelayan di negeri ini hanya memperoleh RM1.20 sebulan dalam bentuk manfaat hasil daripada pengecualian tersebut.

"Inikah nilai nelayan di mata kerajaan negeri yang kononnya pejuang kebajikan rakyat? Tiada guna mendabik dada mahu menjadi jaguh pelaburan asing, tetapi meminggirkan kelompok kecil masyarakat yang amat dahagakan pembelaan.

"Adakah kerana nelayan menjadi golongan terpencil dan tidak mampu memberi keuntungan politik kepada kerajaan negeri, maka mereka tidak diberi pembelaan? Janganlah bersikap memilih dalam membantu rakyat," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas berkata demikian selepas menyampaikan bantuan sara hidup RM200 kepada lebih 4,500 nelayan dari seluruh Pulau Pinang, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Pulau Pinang, Raja Khalid Raja Ariffin dan Pengerusi Persatuan Nelayan Seberang Perai, Mahathir Md. Rozi.

Reezal Merican berkata, Kerajaan Pusat membuktikan komitmen dengan menyediakan lebih RM90,000 sebulan dalam bentuk wang saraan hidup kepada nelayan berdaftar di Pulau Pinang dan jumlah itu tidak termasuk subsidi petrol bulanan bernilai antara RM700 hingga RM1,000 setiap seorang.

Menurut beliau, dengan bajet mencecah RM900 juta yang diumumkan oleh kerajaan negeri bagi tahun ini, adalah wajar jika sedikit daripadanya disalurkan untuk membantu golongan nelayan.

"Sebab itu, kita menyokong hasrat persatuan nelayan untuk menghantar memorandum kepada kerajaan negeri supaya mereka diberi peruntukan sekurang-kurangnya RM100 sebulan dalam bentuk wang sara hidup.

"Kita percaya dengan kemampuan kewangan yang dimiliki oleh kerajaan negeri, jumlah itu tidak akan mendatangkan implikasi besar dalam perbelanjaan, kerana keutamaan sepatutnya diberi untuk membantu golongan yang memerlukannya," ujar beliau

Wednesday, May 18, 2011

Market di Pulau Pinang teruk , di mana kerajaan berjiwa rakyat PR ?



PULAU PINANG 16 Mei – Jika berkunjung ke pasar-pasar awam, lazimnya bau busuk dan kotor adalah perkara biasa.

Namun, jika keadaan tersebut berterusan tanpa ada usaha oleh pihak berkaitan untuk mengatasinya, ia pasti sesuatu yang mengecewakan.

Tinjauan Utusan Malaysia ke beberapa pasar seperti di Chowrasta, Central, Bayan Baru, Ayer Itam, Pulau Tikus, Jelutong, Padang Tembak dan Taman Tun Sardon di sini, mendapati ia berada dalam keadaan menjijikkan.

Lantai becak dan bau hanyir yang menusuk hidung menanti setiap pengunjung.

Peniaga di Pasar Chowrasta, Syed Abdullah Abdul Jabbar, 46, berkata, keadaan pasar yang daif selain kemudahan tidak sempurna ternyata menjejaskan pendapatannya.

Jelasnya, dia kehilangan ramai pelanggan kerana mereka tidak selesa untuk datang ke pasar tersebut.

Apa yang dikesalkan katanya, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) didapati tidak menjalankan tugas dengan baik, khususnya daripada segi penjagaan kebersihan dan infrastruktur.

Dahulu MPPP meletakkan tujuh hingga lapan pekerja bagi membersihkan kawasan ini. Namun, sekarang hanya empat atau lima orang sahaja. Sejak parti DAP mengambil alih tampuk pemerintahan Pulau Pinang, saya tak nampak langsung usahanya mahu menaikkan taraf pasar awam di sekitar negeri ini.


“Dahulu (sebelum menang pilihan raya) macam-macam mereka (DAP) berjanji. Namun, sehingga kini tidak ditunaikan,” katanya ketika ditemui oleh Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Seorang lagi peniaga, Nassir Abdul Karim berasa malu dengan pelancong asing yang sering mengerut dahi apabila mengunjungi Pasar Chowrasta.

“Di sini adalah tempat tumpuan pelancong, tetapi apa yang menyedihkan keadaan pasar tidak diuruskan dengan baik.


“Tahap kebersihan yang tidak memuaskan, keadaan lantai, sampah dan bangunan usang perlu diambil perhatian serius oleh pihak berkaitan.


“Kalau ia tidak diberi perhatian sewajarnya, pasti satu hari nanti kesemua peniaga di sini akan ‘gulung tikar’,” ujarnya.

Bagi Rosman Abdul Rahim, 50, sebagai pelanggan, keadaan pasar yang kurang memuaskan dan dipenuhi dengan sampah boleh menghilangkan ‘mood’ mereka untuk membeli barangan keperluan.

Menurutnya, keadaan meja yang berlumut dan kotor membuatkan pengunjung curiga dengan tahap kebersihan barang jualan.

Sebelum sampai ke pasar, saya sudah rancang untuk membeli pelbagai barangan, tetapi apabila melihat keadaan yang kotor dan tidak terurus membuatkan saya bertukar fikiran.


“Sebagai pengunjung, kami mahukan keadaan pasar yang lebih bersih dan selesa untuk membeli.


“Selagi pasar-pasar awam masih berada di tahap seperti ini (tidak bersih), ia bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan, malah membahayakan keselamatan,” katanya.

Sementara itu seorang suri rumah, Saadiah Ariffin, 42, berkata, terdapat lantai yang rosak dan berlubang di pasar tersebut yang membahayakan orang ramai.

“Saya pernah nampak seorang lelaki berusia 50-an jatuh atas lantai yang dipenuhi dengan darah haiwan yang disembelih,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pernah mendesak pihak berwajib khususnya MPPP segera membersihkan dan menceriakan pasar-pasar di negeri ini, bagaimanapun ia masih berada di tahap yang kurang memuaskan.

Pengerusi CAP, S. M. Mohamed Idris berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan tikus-tikus berkeliaran, terutama di longkang tersumbat yang dipenuhi oleh sampah dan sisa bahan mentah.

“Akta Kerajaan Tempatan 1976 dengan jelas menyatakan, semua pasar hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersih dan sempurna serta semua sampah hendaklah dibuang secara tetap.


“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga harus menyediakan kemudahan pembuangan sisa yang sempurna dan mencukupi, bukan terus dibuang ke dalam longkang,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa PBT memastikan kesihatan awam sentiasa terjaga dengan sempurna, diawasi dan dikuatkuasakan dengan tegas selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Beliau menambah, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap PBT yang gagal bertindak sewajarnya.

Tuesday, May 17, 2011

Jalan Rakyat DAP merbahaya kepada rakyat !

 oleh  Blog MIM

Artikel MiM ini sangat ringkas tetapi merupakan satu mesej yang sangat penting kepada Lim Guan Eng dan kerajaan DAP Pulau Pinang.

Semasa MiM meninjau 'jalan rakyat' yang diagung-agungkan oleh Setiausaha Agung DAP itu, MiM dapati beberapa kepincangan yang masih tidak di endahkan oleh Lim Guan Eng.

Yang paling jelas ialah jalan awam tersebut sangat berdekatan dengan barisan rumah teres. Selain daripada itu, jalan tersebut terletak di sebelah taman permainan kanak-kanak.

Malangnya, tiada pagar yang mengelilingi taman permainan tersebut dan keprihatinan Lim Guan Eng itu mungkin akan membahayakan kanak-kanak yang bermain di taman tersebut.

Kita tidak mahu sebarang kecelakaan yang menimpa mereka. Apakah Lim Guan Eng tidak mengendahkan keselamatan rakyat Malaysia?

Apakah terdapat perancangan untuk membina pagar keselamatan di sekeliling taman permainan tersebut?


Seperkara lagi, seperti yang kita ketahui, tuduhan Lim Guan Eng yang menuduh kerajaan BN sebelum ini tidak menyediakan jalan alternatif untuk jalan tol Sungai Nyior adalah tidak berasas sama sekali.

Kerajaan BN sebelum ini bukan sahaja telah menyediakan satu jalan alternatif tetapi sedang merancang untuk menyediakan 3 lagi jalan alternatif untuk rakyat Pulau Pinang tetapi pertukaran kerajaan menyebabkan usaha tersebut tidak dapat dilaksanakan.

Pakatan Rakyat = Price Rise

Sunday, May 15, 2011

BN akan beri tentangan kepada Kerajaan DAP pada PRU 13


Umum menyedari untuk BN kembali berkuasa bukan tugas mudah. Malah, ramai kurang yakin BN berupaya menggugat pakatan pembangkang diketuai DAP yang seakan-akan semakin mendapat sokongan terutama Ketua Menteri, Lim Guan Eng, yang dilihat sebagai hero oleh masyarakat Cina. Tetapi, itu bukan alasan BN menyerah kalah.


Ketika ini, daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kerajaan pembangkang menguasai 29 kerusi dengan DAP ada 19 wakil rakyat, Parti Keadilan Rakyat (PKR) (9) dan PAS (1), manakala BN hanya diwakili UMNO di 11 kerusi.

Mengikut daftar pemilih yang diwartakan pada 27 Disember 2010, Pulau Pinang mempunyai 747,490 pengundi iaitu 251,413 Melayu (33.63 peratus), 411,507 Cina (55.05 peratus), 81,136 India (10.85 peratus) dan selebihnya bangsa lain.

Berdasarkan statistik itu, mampukah BN meraih semula sokongan masyarakat bandar yang majoritinya pengundi Cina yang memberikan sokongan padu kepada pakatan DAP-PKR-PAS pada pilihan raya umum lalu?

Pada masa sama, sokongan pengundi Melayu kepada kerusi BN yang diwakili UMNO pada PRU 2008 di pinggir bandar dan luar bandar juga tidak sehebat mana kerana rata-rata calon menang dengan majoriti yang kecil.

Walaupun ramai tidak yakin termasuk Tun Daim Zainuddin yang berpandangan Pulau Mutiara mungkin kekal di tangan pembangkang, BN perlu yakin memberi tentangan.

“Kalau kita nak masuk medan peperangan dengan rasa akan kalah, maka separuh perjuangan sudah hilang. Maknanya, kalau kita pergi berperang dengan tiada keyakinan, kita sudah separuh kalah.

“Tetapi kalau kita pergi dengan keyakinan, sebahagian daripada kemenangan sudah kita miliki, cuma tinggal sebahagian lagi (untuk capai kemenangan),” kata Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman.

GERAKAN Pulau Pinang pula tidak begitu berani untuk menyatakan secara terbuka kerana mahu menyesuaikannya dengan selera masyarakat Cina dan tidak mahu dilihat terlalu gelojoh kerana pengundi Cina masih fobia dengan UMNO. Tambahan lagi, dengan asakan pakatan pembangkang ke atas BN khususnya UMNO yang boleh melunturkan sokongan pengundi Cina terhadap BN. Tetapi, mereka bersedia untuk mentadbir negeri.

“Jika rakyat nak kepada kita, kita (BN) bersedia kerana kita ada kemampuan dan pengalaman. Kalau rakyat fikir BN lebih bijak untuk mentadbir, kalau mereka mahukan BN, kita sedia,” kata Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan.

Keyakinan Zainal dan kesediaan GERAKAN untuk menggalas tanggungjawab itu ada benarnya kerana rekod 11 pilihan raya umum sebelum PRU 2008 berpihak kepada BN. Yakni, rakyat sokong BN. Malah, pada PRU 1995,1999 dan 2004, DAP hanya ada satu kerusi dalam DUN Pulau Pinang. Hanya pada PRU 1986 dan 1990, DAP mampu memperoleh 10 dan 14 kerusi DUN tetapi BN tetap menang dua pertiga.

Sepanjang memerintah Pulau Pinang sebelum tumbang pada Mac 2008, BN membawa kemakmuran kepada rakyat dengan pembangunan dan transformasi sehingga menjadi destinasi pelaburan syarikat multinasional.

Kejayaan itu menyebabkan rakyat terus menyokong BN, cuma mereka ‘beralih angin’ pada 2008 selepas terpedaya dengan janji manis pakatan DAP-PKR-PAS yang menjanjikan ‘bulan dan bintang’. Tetapi, selepas lebih tiga tahun berlalu, rakyat sudah dapat menilai apabila banyak janji tidak dikotakan. Janji tinggal janji.

Apa juga pendekatan digunakan parti komponen BN, terserah kepada kebijaksanaan pemimpin masing-masing kerana matlamat sama dan kata-kata Zainal wajar menjadi pegangan ahli dan pemimpin BN Pulau Pinang.

“Kekalahan adalah sementara. Hanya kerana satu kekalahan, tidak bererti kita kalah selama-lamanya. Ia menjadi kekal apabila kita putus asa. Jika kita tidak putus asa, kekalahan adalah sementara,” katanya.

Saturday, May 14, 2011

Rakyat bantah Kerajaan DAP pertikai Klinik 1 Malaysia



BUTTERWORTH - Lebih 200 penduduk sekitar daerah ini termasuk anggota pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi secara aman membantah kenyataan Exco Kebajikan, Kesihatan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang mempertikaikan kewujudan Klinik 1Malaysia.

Bantahan diadakan di hadapan Klinik 1Malaysia Bagan Ajam selama 30 minit selepas solat Asar, kelmarin dan dijalankan secara aman tanpa melibatkan apa-apa kejadian yang tidak diingini.

Antara NGO terlibat adalah Penawar, Gerakan Belia 4B cawangan Bagan Ajam, Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Awang dan Persatuan Pemuda Pencinta Damai Butterworth.

Mereka bersama penduduk yang turut disertai kanak-kanak bukan sahaja mempamerkan berbagai sepanduk meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu itu menarik balik kenyataannya malah menuduhnya tidak faham dengan kewujudan sebenar klinik berkenaan.

Penganjur demonstrasi yang juga Penyelaras Parlimen Bagan, David Chua Teik Siang berkata, mereka berkumpul untuk menyuarakan bantahan terhadap kenyataan Boon Poh mempersoalkan ketiadaan doktor bertugas di klinik itu selama ini.

“Klinik 1Malaysia diwujudkan sebagai alternatif kepada pesakit untuk menerima rawatan awal sebelum mereka dirujuk ke hospital jika penyakit mereka melarat.

“Sebagainya wakil rakyat, beliau sepatutnya lebih memahami klinik berkenaan dan tidak mempertikaikannya,” katanya.

Seorang pesakit, M Parowady, 56, penduduk flat Taman Tun Dr Awang berkata, dia rasa bertuah dengan kewujudan klinik itu di kawasan perumahan selama ini kerana memudahkannya mendapatkan rawatan.

“Kami yang terdiri dari penduduk miskin sudah semestinya memilih klinik ini daripada klinik swasta untuk mengelak bayaran tinggi.

“Tambahan lagi ubat yang dibekalkan sama mutu dengan klinik lain membuatkan kami berasa selamat menggunakannya,” katanya.

Pesakit kencing manis, Emilia Saidin, 30, yang menjadikan Klinik 1Malaysia di situ sebagai tempat tetap mencuci kakinya berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco berkenaan seperti merendahkan taraf klinik berkenaan.

“Rawatan yang diberikan di klinik ini sama dengan rawatan di tempat lain dan kedudukannya di lokasi berdekatan perumahan memudahkan kami mendapat perkhidmatan kesihatan.

“Jika nak ke klinik swasta di pekan, kami terpaksa mengeluarkan wang lebih dan merugikan masa serta mengalami masalah pengangkutan terutamanya bagi penduduk miskin seperti saya,” katanya.

Menurut Ahli Jawatankuasa Penawar, Hamid Dalilah, 50, tindakan Boon Poh mempertikaikan ketiadaan doktor di klinik itu menunjukkan beliau tidak memahami konsep perkhidmatan kesihatan yang menjadi amalan dalam dunia perubatan selama ini.

Demonstrasi aman itu bagaimanapun berakhir sejurus selepas mereka diarah bersurai oleh anggota polis yang bertugas kerana tidak mempunyai permit.

Thursday, May 12, 2011

Terima hakikat Islam adalah agama rasmi negara ini



PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua pihak harus menerima hakikat mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan ia tidak boleh diubah dalam apa jua keadaan.

“Realitinya kita mempunyai Perlembagaan Negara dan peruntukannya amat jelas tentang kedudukan Islam dan agama lain,” kata Najib selepas mengadakan pertemuan dengan 22 orang pemimpin dan cendekiawan Islam di sini, semalam.

Katanya, Perlembagaan Negara tidak boleh dipinda semua pihak tidak seharusnya merasa bimbang di dalam hal ini,.

Antara pemimpin dan cendekiawan Islam yang hadir Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor; dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

Najib berkata, dalam pertemuan sejam itu, beberapa isu semasa dibincangkan, termasuk isu menukar agama lain sebagai agama rasmi negara yang dilaporkan sebelum ini.

“Saya sememangnya berjumpa dengan pemimpin Islam dari semasa ke semasa. Tetapi dalam sekarang amat penting saya berjumpa dengan kumpulan ini dan sekali lagi kita bincang atas isu ini dan juga perkara lain,” katanya.

Menurutnya, pemimpin dan cendekiawan Islam itu juga bersependapat bahawa adalah penting untuk memelihara keharmonian, keamanan dan kesejahteraan negara.

Beliau berkata, semua pihak mesti membendung perasaan emosi untuk tidak membuat apa jua perkara yang menggugat keamanan, keharmonian dan kesejahteraan negara ini.

“Mereka juga sependapat mahukan rakyat diberi jaminan menyerahkan perkara ini kepada kerajaan untuk menanganinya dengan penuh kebijaksanaan merosakkan apa yang telah kita bina dalam negara terutama keharmonian antara agama,” katanya.

Ditanya bentuk tindakan terhadap pihak yang terus mengeksploitasikan isu itu, Najib berkata, apa jua mereka lakukan, ia tidak akan dapat mengubah hakikat Islam sebagai agama rasmi negara dan realiti itu tak boleh diubah.

Katanya, pihak berkuasa juga tentunya boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba mengeksploitasi isu ini sehingga boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Kita tidak mahu sebarang tindakan dilakukan oleh mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang negara, sebab yang paling penting adalah keamanan dan keharmonian negara kita,” katanya. - Bernama

Wednesday, May 11, 2011

Kerajaan DAP P.Pinang bohong isu 1,500 rumah dalam projek Spice !



GEORGETOWN - Ketua Biro Kerajaan Tempatan Parti Gerakan Pulau Pinang, Teh Leong Meng berkata, siapa yang bercakap bohong dalam isu 1,500 rumah yang diminta oleh Eco Meridian Sdn Bhd sebelum bersetuju membina Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (Spice). 

Katanya, langkah itu perlu kerana timbul kenyataan yang berbeza beberapa pihak yang terlibat dalam isu berkenaan. 

Beliau berkata, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik dalam kenyataannya menjelaskan tiada klausa seumpama itu yang disebut dalam cadangan pemajuan projek berkenaan yang dikemukakan oleh Eco Meridian. 

Menurutnya, Wei Aik juga menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh Gerakan sebelum ini sebagai ‘sampah’ kerana tuduhan itu tidak benar sama sekali. 

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar (Wei Aik) itu juga ada menyebut bahawa semakannya dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengenainya dan dimaklumkan bahawa tidak timbul klausa seumpama itu,” katanya pada sidang media di Bilik Ketua Pembangkang, semalam. 

Sehubungan itu, beliau meminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengadakan satu siasatan menyeluruh mengenai Spice untuk mencari kebenaran sama ada Eco Meridian diberi konsesi untuk membina 1,500 rumah tambahan dalam kawasan projeknya yang melebih had kepadatan dibenarkan. 

Ini berbeza dengan kenyataan seorang aktiviti dan blogger, anilnetto.com, yang menghadiri perbincangan diadakan pada 14 Februari lalu di Dewan Bandaraya yang menyebut dalam blognya bahawa ia dipengerusikan oleh Guan Eng dan menyerahkan kepada Yang Dipertua MPPP, Patahiyah Ismail sebelum meninggalkan majlis. 

Leong Meng berkata, penulis blog itu menyebut, ‘apa yang didedahkan dalam sesi itu ialah perjanjian untuk membenarkan SP Setia (syarikat induk Eco Meridian) membina tambahan 1,500 rumah dalam projeknya yang sedia ada di Pulau Pinang.’ 

Saya cuba mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini beberapa kali kerana ia tidak begitu jelas kepada saya mengenai konsesi itu. 


“Ini adalah persetujuan sebenar untuk SP Setia dan pengurusnya sendiri mengakui dalam sesi itu,” katanya. 

Beliau berkata, perkara sama turut dimuatkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang turut menyebut pihak media tidak dibenarkan membuat liputan perbincangan itu.

Monday, May 9, 2011

Pemuda UMNO Pulau Pinang buat 6 laporan polis



GEORGETOWN- Pemuda UMNO negeri menggesa polis melakukan siasatan terhadap sebuah laman blog yang didakwa mengandungi laporan penganjuran pertemuan paderi dari seluruh negara yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian agama rasmi Persekutuan serta melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Selain itu, polis juga diminta untuk melakukan siasatan terhadap pembabitan Ahli Parlimen (DAP) Jelutong, Ooi Chuan Aun atau lebih dikenali sebagai Jeff Ooi dalam majlis pertemuan paderi itu yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO Negeri, Shaik Hussein Mydin berkata, perkara yang berlaku itu jelas mampu menimbulkan permasalahan antara kaum dan bertentangan dengan undang-undang.

“Sekiranya dakwaan terbabit benar, kami meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap Kerajaan Negeri serta sesiapa yang terbabit manakala jika ia hanya satu fitnah, penyebar fitnah terbabit perlu dihukum,” katanya ketika ditemui media di pekarangan Balai Polis Jalan Pattani.

Menurutnya, enam laporan polis itu dibuat oleh Pemuda UMNO Jelutong, Tanjung, Bukit Gelugor, Balik Pulau, Bayan Baru dan Bukit Mertajam.

Shaik Hussein berkata, KDN bukan sahaja perlu memantau dan memberi amaran tetapi bertindak tegas demi keselamatan serta keharmonian negara.

Beliau turut memberi amaran kepada DAP supaya tidak mengaitkan UMNO dalam isu ini kerana parti ini tidak pernah terlibat mencetuskan ketegangan kaum.




Saturday, May 7, 2011

Peruntukan Sekolah Serlahkan Konsep “Hitlerisme” DAP

GEORGE TOWN, 4 Mei – Bagaikan sudah terang lagi bersuluh, ternyata kerajaan DAP Pulau Pinang sekali lagi terbukti mengamalkan pentadbiran menjurus kepada konsep “Hitlerisme”.

Ini berikutan pendedahan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed yang mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang tidak adil dalam pembahagian peruntukan untuk sekolah-sekolah di negeri ini.

Dedah beliau sekolah agama rakyat hanya menerima peruntukan sebanyak RM1.8 juta tahun lepas berbanding Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina menerima peruntukan sebanyak RM3.8 juta, SJK Tamil (RM1.7 juta) dan Sekolah Mubaligh (RM850,000)

“Saya lihat peruntukan yang disediakan tidak adil,”  katanya ketika membahaskan usul ucapan terima kasih di atas ucapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri hanya menambah RM50 sebulan dalam pemberian elaun untuk guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).
“Sebaliknya kerajaan pusat memberikan sebanyak RM800 sebulan,” katanya.
Jasmin juga membangkitkan isu 60 lawatan ke luar negara yang melibatkan kos hampir RM560 ribu oleh kerajaan negeri tahun lepas.
“Daripada jumlah itu, sembilan lawatan dilakukan oleh Ketua Menteri dengan kos kira-kira RM58,000 dan Ketua Menteri 1 mengadakan lawatan sebanyak tujuh kali dengan kos sebanyak kira-kira RM56,000 manakala Ketua Menteri II melawat keluar negara sebanyak sekali tetapi lawatan itu ditaja oleh Invest Penang,” katanya.
Beliau berkata antara negara yang dilawati ialah Thailand, Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong, Macau, Pakistan, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Friday, May 6, 2011

DAP lebih rasis dengan politik perkauman , hanya tanding kawasan Cina

DAP perlu bercermin diri terlebih dahulu sebelum menuduh MCA tidak menghormati amalan demokrasi negara serta kebebasan masyarakat Cina membuat pilihan pada pilihan raya.

Ini kerana kata Naib Presiden MCA, Datuk Chor Chee Heung (gambar), DAP sendiri sejak sekian lama mengamalkan semangat politik perkauman meskipun sering mendakwa sebagai parti untuk semua kaum.

"Hakikatnya keahlian di dalam DAP itu majoritinya adalah masyarakat Cina dan parti itu pada kebanyakan pilihan raya juga bertanding di kawasan yang majoritinya ialah pengundi Cina.

"Malah, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Penasihat parti itu, Lim Kit Siang juga tidak pernah bertanding di kerusi yang pelbagai kaum," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada dakwaan Gua Eng bahawa MCA tidak menghormati amalan demokrasi negara serta kebebasan bersuara masyarakat Cina apabila tidak mahu menerima jawatan dalam kerajaan sekiranya ditolak kaum itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Chee Heung berkata, MCA tidak akan mempunyai legitimasi kuasa untuk mewakili kaum itu dalam kerajaan sekiranya tidak mendapat sokongan pada PRU akan datang.

Ia juga kata beliau, sesuai dengan amalan politik, secara jujur parti itu yang tidak pernah membelakangkan keperluan masyarakat Cina di negara ini tetapi dalam masa sama tidak menafikan hak kaum lain.

"Malangnya, DAP menjadikan pendirian MCA ini sebagai satu sentimen perkauman yang jelas menunjukkan amalan dan budaya politik mereka yang sebenar," katanya.

Chee Heung menambah, membangkitkan kebencian terhadap Barisan Nasional (BN) dengan membakar emosi masyarakat Cina adalah amalan berbahaya dan boleh melebarkan jurang perkauman.

Thursday, May 5, 2011

UMNO P.Pinang enggan terima wang RM23,700 dari Guan Eng !



PULAU PINANG 4 Mei - UMNO tidak akan menerima kembali wang ihsan berjumlah RM23,700 sekiranya Kerajaan negeri DAP Pulau Pinang mahu memulangkan semula yang diserahkan oleh fakir miskin kerana meragui sumber wang itu.

Pemangku Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, wang berkenaan bukan hak UMNO dan adalah menjadi tanggungjawab parti untuk memulangkan semula kepada pemilik asalnya.

Menurut beliau, pihaknya hanya membantu mengutip wang berkenaan dan memulangkan semula kepada kerajaan DAP Pulau Pinang pada 22 Disember lalu melalui cara deposit ke akaun Maybank milik Bendahari Negeri Pulau Pinang.

"Kita hanya bertindak membantu memungut wang tersebut daripada mereka yang enggan menerimanya dan memulangkan semula kepada kerajaan DAP Pulau Pinang.

"Buat apa kita terima. Wang itu bukan milik UMNO. Kita pun tidak menyimpan sebarang rekod mereka yang memulangkan semula wang tersebut," katanya pada sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebelum itu memaklumkan kerajaan DAP Pulau Pinang enggan menerima wang yang dikreditkan tersebut kerana ia dilakukan dengan cara tidak betul selain meragui sumber wang berkenaan.

Wednesday, May 4, 2011

Kerajaan P. Pinang didakwa tak adil beri peruntukan sekolah



GEORGETOWN 4 Mei – Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional hari ini mendakwa kerajaan negeri tidak adil dalam pembahagian peruntukan untuk sekolah-sekolah di negeri ini.

Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) mendakwa sekolah agama rakyat hanya menerima peruntukan sebanyak RM1.8 juta tahun lepas.

Beliau berkata, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina menerima peruntukan sebanyak RM3.8 juta, SJK Tamil (RM1.7 juta) dan Sekolah Mubaligh (RM850,000).

“Saya lihat peruntukan yang disediakan tidak adil,” katanya ketika membahaskan usul ucapan terima kasih di atas ucapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri hanya menambah RM50 sebulan dalam pemberian elaun untuk guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

“Sebaliknya kerajaan pusat memberikan sebanyak RM800 sebulan,” katanya. – Bernama

Sidang DUN PP : Exco Kerajaan DAP kantoi , cuba tipu dalam dewan




GEORGETOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah kesal dengan Exco Perumahan, Wong Hon Wai yang memberi jawapan yang tidak jujur di dalam dewan.

Beliau berkata, pada persidangan lalu, Hong Wai dalam jawapan kepada soalannya memaklumkan kepada Dewan bahawa tiada dana Kerajaan Negeri digunakan untuk pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah.

Bagaimanapun, pada sidang kali ini, Hong Wai berkata dengan nada lain pula iaitu menyebut agensi Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) ada membina rumah bagi kedua-dua kategori itu.

“Saya hanya ingin mendapat kepastian daripadanya sama ada setuju bahawa tiada dana daripada Kerajaan Negeri digunakan untuk membina rumah kos rendah dan sederhana rendah.

“Apabila Exco itu cuba mengelak menjawab pertanyaan saya, saya mengemukakan jawapannya pada persidangan lalu. Dia nampak panik apabila saya menyebut jawapan yang lalu itu. Akhirnya dia kantoi dengan jawapannya sendiri,” katanya ketika ditemui media di luar dewan semalam.

Menurutnya, Ahli Exco tidak wajar memutarbelitkan fakta ketika memberi jawapan di dalam dewan kerana ia adalah tempat yang mulia dan paling dihormati sebagai institusi penggubal undang-undang peringkat negeri.

“Dia tidak boleh pinda fakta sesuka hati sahaja. Dah lah buat silap tetapi tidak mahu mengaku kesilapannya. Sepatutnya Hong Wai meminta maaf atas kesilapan itu,” katanya.

Arif Shah berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sebenarnya tidak pernah membina walaupun seunit rumah kos rendah selama mengambil alih pentadbiran Pulau Pinang.

“Mungkin ada rumah yang dibina pada waktu ini tetapi perancangan atau kelulusannya dilakukan pada masa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya

Tuesday, May 3, 2011

Sumber kewangan bantu warga emas yang dipertikaikan - Adun BN P.Pinang

GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed, hari ini menjelaskan bahawa UMNO tidak pernah menghalang pemberian wang sumbangan RM100 kepada warga emas.

ADUN daripada Barisan Nasional itu berkata, sebaliknya, apa dipertikaikan adalah sumber kewangan untuk Program Penghargaan Warga Emas itu yang didakwa diperoleh daripada hasil perjudian.

"Apa yang dipertikaikan adalah penggunaan wang judi," katanya ketika mencelah pada sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, berkata kerajaan negeri masih belum menerima sebarang pemulangan wang itu daripada golongan warga emas.

Katanya, setiap warga emas yang ingin memulangkan wang dan menarik diri daripada program itu perlu mengisi Borang Pemulangan Sumbangan Warga Emas RM100 (Borang 1).

"Sehingga 14 April tahun ini, kerajaan negeri masih belum menerima sebarang pemulangan atau permohonan untuk menarik diri daripada mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri," katanya menjawab soalan lisan Tan Cheong Heng (DAP-Padang Lalang).

Tan ingin tahu jumlah warga emas yang menarik diri daripada program itu seperti yang didakwa pembangkang dan jumlah yang menarik diri mengikut DUN.
Phee berkata, hanya pemulangan wang melalui saluran rasmi iaitu menggunakan Borang 1 akan diterima kerajaan negeri.

Beliau berkata, sehingga 1 September tahun lalu, jumlah pendaftaran warga emas yang direkodkan adalah 107,668 orang manakala daripada Januari hingga 7 April tahun ini, jumlah pendaftaran warga emas adalah 114,665 orang.

Sementara itu, ADUN Teluk Bahang, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, pada sidang media di luar dewan berkata, wang sebanyak RM23,700 yang dipulangkan oleh warga emas telah dikreditkan ke akaun Bendahari Kerajaan Negeri pada 22 Disember lalu.

"Kutipan itu adalah usaha daripada badan bukan kerajaan dan bukannya UMNO. NGO kemudiannya menyerahkan wang itu kepada UMNO untuk dipulangkan kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang hanya memberikan sumbangan RM100 kepada warga emas yang berdaftar sebagai pengundi. - BERNAMA

Wifi Percuma : Guan Eng dan kerajaan DAP adalah penipu !



Kemudahan internet tanpa wayar (Wifi) yang disediakan kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan DAP adalah satu penipuan dan pembaziran kerana ia tidak dapat digunakan sepenuhnya dan dipasang di kawasan yang tidak strategik, kata Ketua Pemuda parti Gerakan Oh Tong Keong.

Beliau berkata pemantauan oleh sayap parti itu di beberapa lokasi mendapati kemudahan yang disediakan itu langsung tidak boleh digunakan.

"Ketua Menteri (Lim Guan Eng) mengumumkan talian itu dapat digunakan biarpun dalam lingkungan 100 meter, tetapi (kini) dalam lingkungan 20 meter pun ia tidak dapat digunakan, kebanyakan tempat tumpuan orang ramai dan perumahan yang dikatakan mempunyai kemudahan Wifi juga tidak dapat digunakan, ini merugikan semua," katanya dalam persidangan media di sini Isnin.

Terdahulu Oh bersama Naib Ketuanya H'ng Khoon Leng meninjau kemudahan Wifi di Lorong Argyll di sini, dan mendapati kemudahan itu langsung tidak dapat digunakan.

Beliau berkata kerajaan negeri sepatutnya memperbaiki kemudahan Wifi yang dipasang pada fasa pertama sebelum melaksanakan fasa kedua yang menelan kos kira-kira RM8.49 juta membabitkan pemasangan 750 wifi router.- BERNAMA

Monday, May 2, 2011

Pentas Pemuda " Bongkar " berjaya bongkarkan Anwar Omega dan kerajaan regim DAP !













Kehadiran ramai rakyat sekitar Permatang Pauh  ke ceramah Pentas Pemuda  memberi isyarat penolakan terhadap kerajaan regim DAP diketuai Guan Eng .


Syabas Pemuda UMNO  Permatang Pauh di atas penganjuran ceramah ini !


Kita BONGKAR !!!