PERHATIAN

Kami mengalu-alukan sebarang informasi dan juga timbal balas daripada anda sekalian terutamanya mengenai isu-isu setempat di Pulau Pinang.

Mari kita sama-sama bongkar dan dedahkan pembohongan Lim Guan Eng dan DAP Pulau Pinang !!

Emelkan ke penang.umb@gmail.com

Terima kasih.

Wednesday, September 29, 2010

Siapa sebenarnya MUNAFIK ??


Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN

1. KETUA Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini memandang sinis cabaran Pemuda UMNO yang mendesaknya menjelaskan dakwaan bahawa kerajaan negeri menggunakan sumber perjudian untuk diagihkan kepada warga emas di Pulau Pinang.

2. Bukan sahaja memperlekehkan cabaran itu, Guan Eng bersungguh- sungguh mahu meyakinkan rakyat bahawa dana yang diperuntukkan bagi program kebajikan di negeri itu adalah hasil dasar berjimat-cermat yang diamalkan pentadbirannya. Malah, Setiausaha Agung DAP itu secara terbuka menyifatkan cabaran Pemuda UMNO berhubung dakwaan tersebut sebagai kerja orang munafik! Setiausaha politiknya, Ng Wai Aik pula berkobar-kobar mempertahankan bosnya dengan hujah dangkal menyatakan kerajaan negeri tidak mungkin menggunakan sesen pun dana perjudian kerana Pulau Pinang merupakan negeri pertama membantah pemberian lesen judi bola.

3. Bagaimanapun, pendedahan sepucuk surat mengenai penerimaan wang RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang baru-baru ini ternyata memberi tamparan cukup hebat kepada kepimpinan Guan Eng yang berulang kali menafikannya sebelum ini. Pendedahan itu menyebabkan Guan Eng tidak mempunyai pilihan selain membuat pengakuan pihaknya menerima wang daripada kelab berkenaan tetapi memberi alasan bahawa dana berkenaan sudah diasing-asingkan.

4. Persoalannya, kenapa kerajaan negeri sebelum ini sanggup berbohong mengatakan tidak pernah mendapat dana daripada mana-mana sumber perjudian? Kenapa fakta ini mahu disembunyikan dan hanya membuat pengakuan selepas bukti didedahkan? Jika sebelum ini Guan Eng bertegas menyatakan wang yang diagihkan bagi program kebajikan di negeri ini adalah hasil penjimatan poket kerajaan negeri, bagaimana pula timbul soal kerajaan negeri mendapat dana daripada pihak lain?

5. Wajar juga ditanya, kalau betul pun dana berkenaan sudah diasingkan, adakah rata-rata orang bukan Islam boleh menerima hakikat bahawa wang pemberian kerajaan negeri kepada mereka merupakan hasil perjudian? Peliknya, kerajaan negeri begitu 'mulia' apabila menjadi negeri pertama membantah cadangan pemberian lesen judi bola sebelum ini, tetapi seolah-olah menyokong pula aktiviti perjudian - malah mendapat manfaat kewangan setengah juta ringgit daripadanya. "Tindakan Guan Eng sering menuduh musuh politiknya dijangkiti sindrom penafian nampaknya semakin memakan diri sendiri apabila satu persatu penafian yang dibuatnya sebelum ini seolah-olah bertukar menjadi episod pembohongan.

6. "Rakyat mula bertanya inikah pemimpin yang begitu megah memperjuangkan prinsip ketelusan dalam pentadbirannya? Orang juga mempersoalkan kredibiliti Guan Eng di sebalik ungkapan-ungkapan amar makruf nahi mungkar yang sering dilaung-laungkan," kata seorang pemerhati politik ketika dihubungi. Guan Eng wajar menerima hakikat bahawa rakyat semakin menyedari bahawa perjuangan membela nasib mereka tidak lagi boleh dinilai berlandaskan slogan-slogan yang sekadar sedap didengar sebaliknya diukur berlandaskan amalan dan tindakan.

7. Ironinya, kepimpinan Guan Eng mempunyai pilihan untuk bersikap lebih telus dalam melaksanakan dasar pentadbirannya tetapi sikap suka menyalahkan orang lain dan menafikan fakta dan kebenaran menyebabkan satu persatu episod krisis kredibiliti kepimpinannya terbongkar. Rakyat Pulau Pinang tidak lupa bagaimana Guan Eng menafikan tentang wujudnya arahan oleh kerajaan negeri membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasul pada Februari lalu sehingga terdedahnya surat yang membuktikan pembatalan program itu.

8. Begitu juga isu peruntukan hal ehwal Islam yang kononnya meningkat sehingga RM24 juta dan dihebohkan jauh lebih tinggi berbanding ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) sedangkan jumlah itu didakwa termasuk peruntukan rutin tahunan bagi kos emolumen dan pentadbiran yang berjumlah RM13 juta. Kalau dihitung, peruntukan sebenar kerajaan negeri dalam hal ehwal agama Islam hanyalah RM11 juta iaitu lebih rendah berbanding era pentadbiran BN iaitu sebanyak RM12 juta.

9. Sama halnya dengan fakta kontraktor Melayu mendapat lebih 50 peratus tender yang ditawarkan kerajaan negeri kononnya dibuat secara telus tetapi sehingga hari ini nilai sebenar tender kepada kontraktor Melayu dan bukan Melayu tidak didedahkan walaupun didesak banyak pihak.

10. Rakyat Pulau Pinang juga tidak lupa bagaimana Guan Eng menafikan ada mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Pegawai Kemajuan Negeri, Nik Ali Mat Yunus sehinggalah perkara itu didedahkan secara meluas di Internet. Apa pun, perkembangan terbaru di Pulau Pinang sekali lagi menimbulkan keresahan umat Islam dan ini diakui Pengerusi Biro Agama UMNO Pulau Pinang, Shabudin Yahaya yang berpendapat, butiran terperinci bagaimana dana judi itu diagihkan perlu didedahkan.

11. "Kalau benar dana judi ini diasingkan, kita minta tunjuk statistik jumlah keseluruhan bagi program basmi kemiskinan, isytihar berapa dana daripada sumber judi dan dari mana pula sumber dana yang diagihkan untuk orang Islam. "Guan Eng begitu lantang sehingga sanggup menuduh orang lain sebagai munafik kerana membangkitkan isu ini, kita mahu tanya bagaimana pula surat pengesahan penerimaan duit judi itu boleh timbul? Siapa yang munafik sebenarnya?" tegasnya.

Tuesday, September 28, 2010

Dr Asri - Tindakan Lim Guan Eng DAP Guna Judi Untuk Basmi Kemiskinan Tidak Wajar.


KUALA LUMPUR 27 Sept. – Tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan di negeri itu sama ada untuk masyarakat bukan Islam dan Islam adalah tidak wajar.

Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (gambar) berkata, walaupun miskin, golongan tersebut mempunyai maruah dan seharusnya bantuan untuk membasmi kemiskinan itu diperoleh daripada sumber yang halal.

“Jangan kita menjadikan sumber kewangan daripada aktiviti judi sebagai amalan untuk membantu masyarakat miskin kerana dibimbangi ia menimbulkan suasana kebanggaan di kalangan syarikat judi kelak.

“Kita tidak mahu suatu hari nanti, masyarakat pun ‘terdidik’ dengan pandangan bahawa judi pun halal kerana sudah terbiasa mendapat bantuan daripada sumber judi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengenai kenyataannya dalam sebuah akhbar tabloid bahawa bantuan daripada sumber judi yang diterima rakyat miskin sebagai tidak haram, Mohd. Asri menjelaskan, beliau tidak mahu golongan berkenaan gusar.

Katanya, memang benar rakyat yang menerima bantuan tersebut tidak berdosa kerana yang menanggung dosa berkenaan adalah kerajaan negeri dan dalam konteks Pulau Pinang, exconya yang beragama Islam.

“Rakyat tidak mengetahui daripada sumber mana sumbangan itu diperoleh jadi mereka tidak berdosa, pihak yang berdosa adalah kerajaan negeri kerana mereka mengetahui daripada mana duit tersebut diperoleh,” jelasnya. (si Mansor Othman, Malik Kassim dll)


Ditanya dalam aspek manakah hasil judi boleh dimanfaatkan oleh kerajaan, beliau berkata, sumber daripada cukai judi boleh digunakan untuk tujuan pembangunan fizikal.

Menurutnya, bagi negara berbilang agama seperti Malaysia, aktiviti judi hanya boleh dibenarkan dalam jumlah kecil dan terkawal kerana aktiviti tersebut tidak berdosa ke atas penganut bukan Islam.

“Jangan pula kita terlalu ghairah untuk mendapat hasil daripada aktiviti judi.

“Judi tetap haram kepada umat Islam tetapi dalam sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia, ia dibolehkan secara bersyarat,” katanya.

Monday, September 27, 2010

Azhar Ibrahim bidas Guan Eng bohong kepada rakyat PP


Ketua pembangkang Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim mendakwa kerajaan negeri itu menipu berhubung sumber kewangannya bagi membiayai program membantu golongan miskin termasuk untuk masyarakat Islam.

Azhar berkata Ketua Menteri, Lim Guan Eng seringkali 'memutar-belitkan katan-kata' sehingga bukti dikemukakan. Katanya, apabila ketua penerangan Umno negeri itu, Datuk Reezal Merican Naina Merican memberikan bukti bahawa kerajaan negeri menggunakan wang dari sumber perjudian untuk program membasmi kemiskinan, Lim secara tergesa-gesa mengakuinya tetapi mendakwa wang berkenaan hanya disalurkan kepada penduduk bukan Melayu. ADUN Penaga itu merujuk kepada pendedahan oleh Reezal Merican di Kepala Batas di mana beliau mengemukakan surat yang dialamatkan kepada pengarah Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang berhubung baki sumbangan RM500,000. Menurut Reezal Merican, surat bertarikh 9 Julai itu ditandatangani oleh setiausaha sulit Lim, - Farida Hani M Yacob yang mengesahkan sumbangan itu telah diterima oleh kerajaan negeri.

Menurut Azhar, beliau menerima surat berkenaan daripada sumber yang tidak diketahui di Kuala Lumpur dan memilih mendedahkannya kerana isu berkenaan menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat Islam.

"Ini gaya dia (Lim); pada mulanya dia akan menafikannya, tetapi apabila kita tunjukkan bukti, dia kemudian akan mengakuinya,” kata Azhar kepada
Malaysiakini. "Ingat lagi, Lim juga membuat kecoh dia tidak diberikan kerusi VIP pada majlis di Penang Hill tahun lalu?" soalnya.


"Tetapi apabila gambar menunjukkan dia duduk di kerusi VIP, dia persalahkan media pula,” kata Azhar dengan sinis. Lim dibidas oleh Umno kerana baru-baru ini mengakui bahawa dana kerajaan yang diperolehi dari sumber perjudian ada digunakan bagi membantu golongan miskin di Pulau Pinang.

Tetapi beliau memberi jaminan wang itu hanya disalurkan kepada golongan bukan Islam yang miskin. "Kita tidak tahupun wang berkenaan datang dari perjudian lumba kuda. Saya tidak tahu kerana kerajaan negeri tidak pernah meluluskan sebarang lesen judi. "Hanya kerajaan persekutuan yang meluluskan lesen berkenaan, jadi mengapa tidak tanya mereka,” kata Lim pada ucapannya di karnival sukan di Pulau Pinang pada Sabtu lalu. Sebelum ini, seorang penulis blog memuat-naikkan sebuah artikel di Pisau.net mendakwa wang RM100 yang diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas sebagai penghargaan kepada golongan itu datangnya dari sumber judi.

Lim berkali-kali menafikan dakwaan itu, manakala setiausaha politiknya yang juga ADUN Komtar Ng Wei Aik membuat laporan ke atas penulis blog itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. "RM100 untuk warga emas adalah dividen anti-rasuah. Kerajaan negeri yang ini yang tidak mengamalkan rasuah mampu memberi wang kepada rakyatnya,” Lim dilaporkan berkata.

Guan Eng terus cakap berbelit lagi


KUALA LUMPUR 26 Sept. – Pengakuan Ketua Menteri DAP Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam bahawa pihaknya menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu telah mendedahkan pembohongan yang dibuatnya sebelum ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pengakuan berkenaan bertentangan dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP itu sebelum ini yang menafikan sama sekali wang judi digunakan untuk tujuan berkenaan.

”Sebelum ini Guan Eng menyifatkan kita sebagai munafik kerana membuat tuduhan tidak benar dan nampaknya beliau yang sebenarnya mempunyai sifat sedemikian,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas pengakuan Guan Eng dalam laman sosial Twitter semalam bahawa pihaknya menggunakan dana sumbangan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu.

Guan Eng bagaimanapun berkata, wang itu hanya digunakan untuk membantu penduduk miskin tegar bukan Islam.

Kelmarin, Reezal Merican mendedahkan surat bertarikh 9 Julai 2010 yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani M. Yacob yang dihantar kepada Pengurus Besar kelab itu, Leow Khin Ming bagi mengesahkan baki sumbangan RM500,000 sudah diterima oleh kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, beliau dimaklumkan bahawa Guan Eng telah membuat pengakuan terbaru hari ini bahawa keseluruhan sumbangan daripada kelab berkenaan adalah sebanyak RM2 juta.

Katanya, penduduk kaum Melayu negeri itu tidak lagi percaya dengan jaminan terbaru Guan Eng bahawa wang hasil judi hanya diberikan kepada bukan Islam dengan alasan wujud akaun berasingan untuk tujuan itu.

”Sejak awal lagi beliau telah berbohong dan tidak mustahil dia juga akan berbuat demikian berhubung dakwaan wujud dua akaun berasingan,” katanya.

”Sejak awal lagi beliau telah berbohong dan tidak mustahil dia juga akan berbuat demikian berhubung dakwaan wujud dua akaun berasingan,” katanya.

Tambah Reezal Merican, golongan bukan Islam di negeri itu juga sudah pasti akan merasa terhina apabila mendengar pengakuan Guan Eng bahawa wang yang diterima mereka adalah hasil perjudian.

Mengulas isu sama, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim meragui dakwaan Guan Eng bahawa wujud pengasingan dana bagi membantu miskin tegar orang Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa tidak wujud pengasingan akaun kewangan seperti yang didakwa itu sebaliknya ia hanya kenyataan terdesak Ketua Menteri itu bagi menutup kesilapan yang telah dilakukan.

”Saya ingin mengingatkan Guan Eng bahawa orang Melayu di Pulau Pinang sebenarnya sudah bijak berfikir dan tidak akan menerima bulat-bulat segala apa yang diperkatanya,” kata beliau.

Tambah beliau, kepimpinan Pas di negeri itu seharusnya menasihatkan Setiausaha Agung DAP berkenaan mengenai soal halal dan haram bagi mengelaknya meneruskan perbuatan yang menghiris hati umat Islam di negeri itu.

Sementara itu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus berdolak-dalik apabila mengelak untuk membuat sebarang ulasan mengenai tindakan DAP menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Nik Aziz yang ditemui di pejabatnya di sini hari ini hanya menjawab ‘tidak tahu’ mengenai tindakan DAP itu sebelum berlalu.

Nik Aziz yang ditemui di pejabatnya di sini hari ini hanya menjawab ‘tidak tahu’ mengenai tindakan DAP itu sebelum berlalu.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar pernah menyokong tindakan Ahli Parlimen Taiping daripada DAP, Nga Kor Ming membaca ayat al-Quran ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Perak, April tahun lalu.

Beliau turut mempertahankan Elizabeth Wong apabila gambar separuh bogel anggota Exco Selangor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tersebar pada umum, malah menyifatkannya sebagai pencerobohan peribadi.

Nik Abdul Aziz turut bersetuju dengan tindakan Ahli Parlimen Serdang daripada DAP, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan ‘tazkirah’ tanpa menutup aurat di ruang solat Surau Al-Huda pada bulan lepas.

Hari ini, akhbar melaporkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang daripada DAP, Lim Guan Eng yang mengakui bahawa pihaknya menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu.

Pengakuannya itu bertentangan dengan penafiannya sebelum ini iaitu peruntukan untuk membasmi kemiskinan diperoleh hasil penjimatan yang diamalkan oleh kerajaan negeri menerusi prinsip ketelusan dalam pentadbiran.

Bagaimanapun, Guan Eng masih menafikan dakwaan bahawa wang ihsan dan sumbangan kepada golongan miskin tegar untuk umat Islam di negeri itu juga diambil daripada dana yang diperolehi melalui kegiatan lumba kuda.

Guan Eng mengaku juga terima duit JUDI !!



KUALA LUMPUR 25 Sept. - Selepas pelbagai pendedahan dibuat, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akhirnya mengakui bahawa pihaknya menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu.

Pengakuannya itu bertentangan dengan penafiannya sebelum ini iaitu, kos untuk membasmi kemiskinan diperoleh hasil daripada penjimatan yang diamalkan oleh kerajaan negeri menerusi prinsip ketelusan dalam pentadbiran.

Bagaimanapun, Guan Eng masih menafikan dakwaan bahawa wang ihsan dan sumbangan kepada golongan miskin tegar untuk umat Islam di negeri itu juga diambil daripada dana yang diperolehi melalui kegiatan lumba kuda.

"Kerajaan negeri mengasingkan dana yang diterima daripada kelab lumba kuda, terdapat juga masyarakat bukan Islam yang miskin tetapi untuk umat Islam, ia tiada kaitan dengan sumber judi," katanya dalam laman sosial twitter, hari ini.

Beliau menjawab pendedahan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam mengenai sepucuk surat kerajaan negeri yang dihantar kepada Pengarah Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang berhubung baki sumbangan RM500,000.

Menurut Reezal Merican, surat bertarikh 9 Julai 2010 yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani M. Yacob itu mengesahkan bahawa sumbangan tersebut sudah diterima oleh kerajaan negeri walaupun sebelum ini dinafikan.

Sebelum ini, sebuah blog, Pisau.net turut mendakwa bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas termasuk masyarakat Islam di negeri itu adalah dari sumber perjudian.

Dalam pada itu, Guan Eng berang dengan pendedahan isu tersebut apabila mempersoalkan kenapa Pemuda UMNO dan beberapa blog sengaja buat 'bising' berhubung isu sumbangan kepada warga emas.

"RM100 kepada warga emas adalah dividen anti-rasuah. Kerajaan negeri tak makan duit itu sebab ia boleh diberi kepada rakyat. Dulu Barisan Nasional (BN) tidak bagi duit masa memerintah, jadi mengapa bising?," soalnya.

Saturday, September 25, 2010

Pemuda UMNO dedah bukti dana dari judi lumba kuda


KEPALA BATAS 24 Sept. – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mendedahkan sepucuk surat yang didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program berkenaan.

Bertarikh 9 Julai 2010, surat itu yang ditandatangani Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Farida Hani M. Yacob, mengesahkan bahawa sumbangan tersebut sudah diterima kerajaan negeri.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, surat itu dihantar oleh seseorang yang tidak dikenali ke rumahnya di ibu negara Rabu lalu, kira-kira seminggu selepas beliau membuat kenyataan berhubung isu berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, surat tersebut membuktikan bahawa kenyataan beberapa pemimpin kerajaan negeri sebelum ini bahawa pentadbiran mereka tidak pernah menerima dana bersumberkan hasil perjudian adalah satu pembohongan.

‘‘Kalau sebelum ini kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng bermati-matian menafikan pernah menerima duit hasil perjudian untuk membiayai program mereka, saya cabar kerajaan negeri untuk tampil memberi penjelasan berhubung surat ini.

‘‘Kalau beliau (Guan Eng) gagal menjelaskan pembohongan ini, maka beliau akan dikenang sebagai bapa segala pembohongan. Kalau tidak betul pun, sila tampil beri penjelasan kerana surat ini dikeluarkan oleh pejabat beliau sendiri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Reezal Merican baru-baru ini mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog, Pisau.net bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri ini adalah dari sumber hasil perjudian.

Guan Eng bagaimanapun menafikan dakwaan itu sebaliknya menjelaskan bahawa wang kerajaan negeri yang dinikmati adalah hasil penjimatan melalui prinsip ketelusan yang diamalkan pentadbirannya selama ini.

Reezal Merican bagaimanapun berkata, isi kandungan surat tersebut jelas bertentangan dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng dan pemimpin kerajaan negeri berhubung isu itu.

‘‘Kita tidak pernah membuat tuduhan melulu tetapi kita meminta penjelasan kerana kita percaya ia turut melibatkan dana untuk orang Islam. Malah, surat itu menyebut sumbangan (RM500,000) merupakan ‘baki’ dana yang disalurkan, bermakna kelab berkenaan sudah menyalurkan sejumlah dana lain sebelum ini.

‘‘Justeru, sekali lagi kita tuntut penjelasan. Anda (media) perlu bertanya kepada beliau (Guan Eng) sendiri atau tanya kepada kelab (lumba kuda) berkenaan. Kita harap ia akan memberi perspektif baru kepada rakyat yang inginkan kebenaran,” jelasnya.

Menjawab persoalan mengenai pendedahan blog pisau.net yang sebenarnya berkisar soal pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas, Reezal Merican berkata, ia tidak menjadi satu isu kerana program membasmi miskin tegar juga melibatkan masyarakat Islam.

‘‘Saya timbulkan perkara ini kerana ia menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam mengenai sumber pemberian wang oleh kerajaan negeri. Kalau untuk miskin tegar sekalipun, bukankah ada orang Islam di negeri ini yang mengalami miskin tegar dan perlu dibantu?

‘‘Bagi orang Islam, kalau ia (sumbangan) daripada sumber tidak halal, mereka lebih rela susah daripada menerima sumbangan daripada perjudian kerana ia adalah haram. Lumba kuda ini bukankah satu bentuk perjudian?,” tegasnya.

Wednesday, September 22, 2010

Lee Kuan Yew cetus persepsi kaum Cina




Oleh DR. NOVANDRI HASAN BASRI

PENULIS ingin merujuk kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang kenyataan Lee Kuan Yew di dalam akhbar The New York Times. Mahathir telah menjawab balik beberapa dakwaan Kuan Yew. Jawapan Mahathir mudah difahami oleh sesiapa sahaja dan boleh dibaca di dalam blog beliau.

Yang menimbulkan rasa tidak sedap hati penulis ialah artikel Kuan Yew dijadikan e-mel berangkai dan disebarkan dengan meluasnya terutamanya kepada orang bukan Melayu. Respons mereka tentunya tidak sedap dibaca lebih-lebih lagi apabila mereka mula mempersoalkan isu-isu yang menyentuh Perlembagaan Negara.

Kuan Yew dipuja sebagai mangkin utama kepada pencapaian negara dan rakyat yang 75 peratus terdiri daripada kaum Cina. Tidak boleh dinafikan kaum Cina Malaysia mungkin pernah membandingkan 'nasib' mereka dengan Cina Singapura yang kelihatan lebih hebat.

Persepsi inilah yang dibaca di dalam e-mel berangkai dan para pembacanya terdiri daripada mereka yang berpelajaran dan tidak pernah merasai susah senang generasi sebelum mereka.

Mereka tidak mahu tahu maksud jus soli, kontrak sosial atau quid pro quo melalui Perkara 14-18 berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang bukan Melayu dan juga Perkara 153 yang memberikan hak istimewa kepada kaum bumiputera. Maksudnya, sejarah pembentukan Malaysia mahu dilupakan dan negara ini mesti seperti Singapura.

Bagaimana pun, apakah mereka patut dipersalahkan atau pun sistem pendidikan dan kenegaraan yang tidak menitik beratkan kesedaran tulen tentang sejarah negara Malaysia ini?

Mahathir telah menjelaskan bahawa kaum Cina yang merangkumi 75 peratus penduduk Singapura menguasai 95 peratus ekonomi negara itu. Peratusan tersebut ternyata jauh berbeza jika dibandingkan dengan peratusan kaum-kaum di negara Malaysia yang dilihat sebagai negara berbilang kaum yang tulen.

Malah beberapa kajian yang dijalankan di Singapura telah mendedahkan konflik perkauman dari segi ketidaksamarataan tahap pelajaran dan ekonomi yang sangat signifikan di Singapura. Pokoknya, konflik etnik di Singapura tidak lari jauh daripada pemahaman kita tentang diskriminasi kaum di negara tersebut.

Di dalam The Economic Marginality Of Ethnic Minorities: An Analysis Of Ethnic Income Inequality In Singapore tulisan William Keng Mun Lee, beliau mendedahkan berlakunya diskriminasi kaum dalam perbezaan pendapatan di antara kaum-kaum di Singapura.

Di dalam artikel Assimilation As Multiracialism: The Case of Singapore's Malays tulisan Michael D. Barra & Jevon Low, mereka mendedahkan perlakuan asimilasi kaum yang mungkin menyebabkan berlakunya krisis menafikan identiti kaum Melayu di Singapura.

Lebih membimbangkan apabila Singapura hari ini dilihat terlalu liberal yang berkemungkinan mewujudkan konflik pluralisme dek kerana modenisasi dan globalisasi. Kebimbangan ini ditulis oleh Suzaina Kadira dalam artikel beliau yang bertajuk Islam, State And Society In Singapore.

Justeru, Singapura tidak boleh mendabik dada konon ia adalah negara pelbagai kaum, sebaliknya ia adalah negara kaum Cina di mana penduduk minoriti tidak mendapat layanan yang sama. Tidak ada kebebasan bersuara dan tidak ada erti demokratik yang sebenarnya di Singapura.

Penulis ialah Pengerusi Sekretariat Media Maya, Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang.