Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Ketua Menteri, Lim Guan Eng bersikap adil dalam melaksanakan polisi pentadbirannya bagi memastikan setiap lapisan rakyat tanpa mengira kaum di negeri ini dapat menikmati pembangunan serta kemakmuran ekonomi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri perlu bersama-sama menunjukkan komitmen memberi peluang kepada semua kaum untuk maju khususnya dalam bidang perniagaan.
Berucap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Barisan Nasional (BN) yang turut dihadiri pemimpin kerajaan negeri termasuk Guan Eng hari ini, Muhyiddin menegaskan, layanan saksama wajar diberi terutama kepada golongan peniaga yang memerlukan bantuan dan sokongan.
"Kepada Ketua Menteri, berlaku adillah kepada rakyat Pulau Pinang. Layanlah rakyat Pulau Pinang tidak kira Melayu, Cina atau India.
"(Jika) Melayu berniaga dan dia susah, bagilah dia peluang berniaga, begitu juga sesiapa yang mahu mencari nafkah atau mencari makan, bantulah mereka," katanya sambil diberi tepukan kira-kira 5,000 tetamu yang membanjiri Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang, di sini.
Turut hadir Pengerusi BN negeri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Pengerusi MCA negeri, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen; Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan dan Pengerusi MIC negeri, Datuk P.K Subaiyyah.
Muhyiddin berkata, beliau percaya kepimpinan kerajaan negeri menyedari keperluan memberi keadilan kepada setiap lapisan masyarakat melalui penyediaan peluang serta galakan, bukannya menghalang mereka.
"Kita tahu Pulau Pinang (ditadbir) bawah pakatan pembangkang tapi tidak mengapa kerana yang penting mesti ada komitmen dan sama seperti BN, kita mahu bangunkan rakyat tanpa melihat sebarang perbezaan," tambahnya.
Beliau menarik perhatian, dasar Kerajaan Pusat tidak pernah meminggirkan negeri yang dikuasai pakatan pembangkang daripada menerima manfaat hasil program pembangunan seperti Model Baru Ekonomi (MBE), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Sehubungan itu, beliau menepis dakwaan kononnya segala inisiatif program pembangunan yang digerakkan kerajaan BN tidak akan dirasai penduduk di negeri yang dikuasai pakatan pembangkang seperti di Pulau Pinang.
"Saya harap Ketua Menteri, Lim Guan Eng jangan kata memandangkan program pembangunan ini Kerajaan Pusat yang buat, (jadi) orang Pulau Pinang tidak akan dapat faedah, ini tidak betul. Orang Pulau Pinang sudah dapat faedah dari dulu lagi.
"Dan kita akan terus membangunkan Pulau Pinang bukan kerana Lim Guan Eng jadi Ketua Menteri saja tetapi kita buat untuk rakyat Pulau Pinang tanpa mengira kaum," katanya.
Dalam hubungan ini, Muhyiddin menekankan kepentingan wujudnya kerjasama baik antara kerajaan Pusat dan negeri bagi memastikan setiap program pembangunan yang dirancang dapat dijayakan seterusnya memberi impak kepada rakyat keseluruhannya.
Rakyat, kata beliau, tidak akan mudah termakan sekadar kata-kata politik tetapi mahu ia diterjemahkan dengan tindakan yang akhirnya memberi kebaikan kepada mereka.
"Kita percaya masih ada rakyat di bawah yang dahagakan pembangunan dan sebab itu, kerjasama antara Kerajaan Pusat dan negeri sangat penting dan saya fikir Ketua Menteri pun tahu mengenai perkara ini.
"Kita perlu tentukan apa juga langkah yang dibuat dapat memberi impak bukan hanya bercakap. Rakyat akan kata anda boleh bercakap mengenai banyak perkara tetapi tiada apa yang berlaku. Akhirnya mereka tidak akan percaya kepada kita," ujarnya.