PERHATIAN

Kami mengalu-alukan sebarang informasi dan juga timbal balas daripada anda sekalian terutamanya mengenai isu-isu setempat di Pulau Pinang.

Mari kita sama-sama bongkar dan dedahkan pembohongan Lim Guan Eng dan DAP Pulau Pinang !!

Emelkan ke penang.umb@gmail.com

Terima kasih.

Monday, September 27, 2010

Azhar Ibrahim bidas Guan Eng bohong kepada rakyat PP


Ketua pembangkang Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim mendakwa kerajaan negeri itu menipu berhubung sumber kewangannya bagi membiayai program membantu golongan miskin termasuk untuk masyarakat Islam.

Azhar berkata Ketua Menteri, Lim Guan Eng seringkali 'memutar-belitkan katan-kata' sehingga bukti dikemukakan. Katanya, apabila ketua penerangan Umno negeri itu, Datuk Reezal Merican Naina Merican memberikan bukti bahawa kerajaan negeri menggunakan wang dari sumber perjudian untuk program membasmi kemiskinan, Lim secara tergesa-gesa mengakuinya tetapi mendakwa wang berkenaan hanya disalurkan kepada penduduk bukan Melayu. ADUN Penaga itu merujuk kepada pendedahan oleh Reezal Merican di Kepala Batas di mana beliau mengemukakan surat yang dialamatkan kepada pengarah Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang berhubung baki sumbangan RM500,000. Menurut Reezal Merican, surat bertarikh 9 Julai itu ditandatangani oleh setiausaha sulit Lim, - Farida Hani M Yacob yang mengesahkan sumbangan itu telah diterima oleh kerajaan negeri.

Menurut Azhar, beliau menerima surat berkenaan daripada sumber yang tidak diketahui di Kuala Lumpur dan memilih mendedahkannya kerana isu berkenaan menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat Islam.

"Ini gaya dia (Lim); pada mulanya dia akan menafikannya, tetapi apabila kita tunjukkan bukti, dia kemudian akan mengakuinya,” kata Azhar kepada
Malaysiakini. "Ingat lagi, Lim juga membuat kecoh dia tidak diberikan kerusi VIP pada majlis di Penang Hill tahun lalu?" soalnya.


"Tetapi apabila gambar menunjukkan dia duduk di kerusi VIP, dia persalahkan media pula,” kata Azhar dengan sinis. Lim dibidas oleh Umno kerana baru-baru ini mengakui bahawa dana kerajaan yang diperolehi dari sumber perjudian ada digunakan bagi membantu golongan miskin di Pulau Pinang.

Tetapi beliau memberi jaminan wang itu hanya disalurkan kepada golongan bukan Islam yang miskin. "Kita tidak tahupun wang berkenaan datang dari perjudian lumba kuda. Saya tidak tahu kerana kerajaan negeri tidak pernah meluluskan sebarang lesen judi. "Hanya kerajaan persekutuan yang meluluskan lesen berkenaan, jadi mengapa tidak tanya mereka,” kata Lim pada ucapannya di karnival sukan di Pulau Pinang pada Sabtu lalu. Sebelum ini, seorang penulis blog memuat-naikkan sebuah artikel di Pisau.net mendakwa wang RM100 yang diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas sebagai penghargaan kepada golongan itu datangnya dari sumber judi.

Lim berkali-kali menafikan dakwaan itu, manakala setiausaha politiknya yang juga ADUN Komtar Ng Wei Aik membuat laporan ke atas penulis blog itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. "RM100 untuk warga emas adalah dividen anti-rasuah. Kerajaan negeri yang ini yang tidak mengamalkan rasuah mampu memberi wang kepada rakyatnya,” Lim dilaporkan berkata.

Guan Eng terus cakap berbelit lagi


KUALA LUMPUR 26 Sept. – Pengakuan Ketua Menteri DAP Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam bahawa pihaknya menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu telah mendedahkan pembohongan yang dibuatnya sebelum ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pengakuan berkenaan bertentangan dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP itu sebelum ini yang menafikan sama sekali wang judi digunakan untuk tujuan berkenaan.

”Sebelum ini Guan Eng menyifatkan kita sebagai munafik kerana membuat tuduhan tidak benar dan nampaknya beliau yang sebenarnya mempunyai sifat sedemikian,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas pengakuan Guan Eng dalam laman sosial Twitter semalam bahawa pihaknya menggunakan dana sumbangan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu.

Guan Eng bagaimanapun berkata, wang itu hanya digunakan untuk membantu penduduk miskin tegar bukan Islam.

Kelmarin, Reezal Merican mendedahkan surat bertarikh 9 Julai 2010 yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani M. Yacob yang dihantar kepada Pengurus Besar kelab itu, Leow Khin Ming bagi mengesahkan baki sumbangan RM500,000 sudah diterima oleh kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, beliau dimaklumkan bahawa Guan Eng telah membuat pengakuan terbaru hari ini bahawa keseluruhan sumbangan daripada kelab berkenaan adalah sebanyak RM2 juta.

Katanya, penduduk kaum Melayu negeri itu tidak lagi percaya dengan jaminan terbaru Guan Eng bahawa wang hasil judi hanya diberikan kepada bukan Islam dengan alasan wujud akaun berasingan untuk tujuan itu.

”Sejak awal lagi beliau telah berbohong dan tidak mustahil dia juga akan berbuat demikian berhubung dakwaan wujud dua akaun berasingan,” katanya.

”Sejak awal lagi beliau telah berbohong dan tidak mustahil dia juga akan berbuat demikian berhubung dakwaan wujud dua akaun berasingan,” katanya.

Tambah Reezal Merican, golongan bukan Islam di negeri itu juga sudah pasti akan merasa terhina apabila mendengar pengakuan Guan Eng bahawa wang yang diterima mereka adalah hasil perjudian.

Mengulas isu sama, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim meragui dakwaan Guan Eng bahawa wujud pengasingan dana bagi membantu miskin tegar orang Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa tidak wujud pengasingan akaun kewangan seperti yang didakwa itu sebaliknya ia hanya kenyataan terdesak Ketua Menteri itu bagi menutup kesilapan yang telah dilakukan.

”Saya ingin mengingatkan Guan Eng bahawa orang Melayu di Pulau Pinang sebenarnya sudah bijak berfikir dan tidak akan menerima bulat-bulat segala apa yang diperkatanya,” kata beliau.

Tambah beliau, kepimpinan Pas di negeri itu seharusnya menasihatkan Setiausaha Agung DAP berkenaan mengenai soal halal dan haram bagi mengelaknya meneruskan perbuatan yang menghiris hati umat Islam di negeri itu.

Sementara itu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus berdolak-dalik apabila mengelak untuk membuat sebarang ulasan mengenai tindakan DAP menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Nik Aziz yang ditemui di pejabatnya di sini hari ini hanya menjawab ‘tidak tahu’ mengenai tindakan DAP itu sebelum berlalu.

Nik Aziz yang ditemui di pejabatnya di sini hari ini hanya menjawab ‘tidak tahu’ mengenai tindakan DAP itu sebelum berlalu.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar pernah menyokong tindakan Ahli Parlimen Taiping daripada DAP, Nga Kor Ming membaca ayat al-Quran ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Perak, April tahun lalu.

Beliau turut mempertahankan Elizabeth Wong apabila gambar separuh bogel anggota Exco Selangor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tersebar pada umum, malah menyifatkannya sebagai pencerobohan peribadi.

Nik Abdul Aziz turut bersetuju dengan tindakan Ahli Parlimen Serdang daripada DAP, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan ‘tazkirah’ tanpa menutup aurat di ruang solat Surau Al-Huda pada bulan lepas.

Hari ini, akhbar melaporkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang daripada DAP, Lim Guan Eng yang mengakui bahawa pihaknya menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu.

Pengakuannya itu bertentangan dengan penafiannya sebelum ini iaitu peruntukan untuk membasmi kemiskinan diperoleh hasil penjimatan yang diamalkan oleh kerajaan negeri menerusi prinsip ketelusan dalam pentadbiran.

Bagaimanapun, Guan Eng masih menafikan dakwaan bahawa wang ihsan dan sumbangan kepada golongan miskin tegar untuk umat Islam di negeri itu juga diambil daripada dana yang diperolehi melalui kegiatan lumba kuda.

Guan Eng mengaku juga terima duit JUDI !!



KUALA LUMPUR 25 Sept. - Selepas pelbagai pendedahan dibuat, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akhirnya mengakui bahawa pihaknya menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu.

Pengakuannya itu bertentangan dengan penafiannya sebelum ini iaitu, kos untuk membasmi kemiskinan diperoleh hasil daripada penjimatan yang diamalkan oleh kerajaan negeri menerusi prinsip ketelusan dalam pentadbiran.

Bagaimanapun, Guan Eng masih menafikan dakwaan bahawa wang ihsan dan sumbangan kepada golongan miskin tegar untuk umat Islam di negeri itu juga diambil daripada dana yang diperolehi melalui kegiatan lumba kuda.

"Kerajaan negeri mengasingkan dana yang diterima daripada kelab lumba kuda, terdapat juga masyarakat bukan Islam yang miskin tetapi untuk umat Islam, ia tiada kaitan dengan sumber judi," katanya dalam laman sosial twitter, hari ini.

Beliau menjawab pendedahan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam mengenai sepucuk surat kerajaan negeri yang dihantar kepada Pengarah Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang berhubung baki sumbangan RM500,000.

Menurut Reezal Merican, surat bertarikh 9 Julai 2010 yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani M. Yacob itu mengesahkan bahawa sumbangan tersebut sudah diterima oleh kerajaan negeri walaupun sebelum ini dinafikan.

Sebelum ini, sebuah blog, Pisau.net turut mendakwa bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas termasuk masyarakat Islam di negeri itu adalah dari sumber perjudian.

Dalam pada itu, Guan Eng berang dengan pendedahan isu tersebut apabila mempersoalkan kenapa Pemuda UMNO dan beberapa blog sengaja buat 'bising' berhubung isu sumbangan kepada warga emas.

"RM100 kepada warga emas adalah dividen anti-rasuah. Kerajaan negeri tak makan duit itu sebab ia boleh diberi kepada rakyat. Dulu Barisan Nasional (BN) tidak bagi duit masa memerintah, jadi mengapa bising?," soalnya.

Saturday, September 25, 2010

Pemuda UMNO dedah bukti dana dari judi lumba kuda


KEPALA BATAS 24 Sept. – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mendedahkan sepucuk surat yang didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program berkenaan.

Bertarikh 9 Julai 2010, surat itu yang ditandatangani Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Farida Hani M. Yacob, mengesahkan bahawa sumbangan tersebut sudah diterima kerajaan negeri.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, surat itu dihantar oleh seseorang yang tidak dikenali ke rumahnya di ibu negara Rabu lalu, kira-kira seminggu selepas beliau membuat kenyataan berhubung isu berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, surat tersebut membuktikan bahawa kenyataan beberapa pemimpin kerajaan negeri sebelum ini bahawa pentadbiran mereka tidak pernah menerima dana bersumberkan hasil perjudian adalah satu pembohongan.

‘‘Kalau sebelum ini kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng bermati-matian menafikan pernah menerima duit hasil perjudian untuk membiayai program mereka, saya cabar kerajaan negeri untuk tampil memberi penjelasan berhubung surat ini.

‘‘Kalau beliau (Guan Eng) gagal menjelaskan pembohongan ini, maka beliau akan dikenang sebagai bapa segala pembohongan. Kalau tidak betul pun, sila tampil beri penjelasan kerana surat ini dikeluarkan oleh pejabat beliau sendiri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Reezal Merican baru-baru ini mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog, Pisau.net bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri ini adalah dari sumber hasil perjudian.

Guan Eng bagaimanapun menafikan dakwaan itu sebaliknya menjelaskan bahawa wang kerajaan negeri yang dinikmati adalah hasil penjimatan melalui prinsip ketelusan yang diamalkan pentadbirannya selama ini.

Reezal Merican bagaimanapun berkata, isi kandungan surat tersebut jelas bertentangan dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng dan pemimpin kerajaan negeri berhubung isu itu.

‘‘Kita tidak pernah membuat tuduhan melulu tetapi kita meminta penjelasan kerana kita percaya ia turut melibatkan dana untuk orang Islam. Malah, surat itu menyebut sumbangan (RM500,000) merupakan ‘baki’ dana yang disalurkan, bermakna kelab berkenaan sudah menyalurkan sejumlah dana lain sebelum ini.

‘‘Justeru, sekali lagi kita tuntut penjelasan. Anda (media) perlu bertanya kepada beliau (Guan Eng) sendiri atau tanya kepada kelab (lumba kuda) berkenaan. Kita harap ia akan memberi perspektif baru kepada rakyat yang inginkan kebenaran,” jelasnya.

Menjawab persoalan mengenai pendedahan blog pisau.net yang sebenarnya berkisar soal pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas, Reezal Merican berkata, ia tidak menjadi satu isu kerana program membasmi miskin tegar juga melibatkan masyarakat Islam.

‘‘Saya timbulkan perkara ini kerana ia menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam mengenai sumber pemberian wang oleh kerajaan negeri. Kalau untuk miskin tegar sekalipun, bukankah ada orang Islam di negeri ini yang mengalami miskin tegar dan perlu dibantu?

‘‘Bagi orang Islam, kalau ia (sumbangan) daripada sumber tidak halal, mereka lebih rela susah daripada menerima sumbangan daripada perjudian kerana ia adalah haram. Lumba kuda ini bukankah satu bentuk perjudian?,” tegasnya.

Wednesday, September 22, 2010

Lee Kuan Yew cetus persepsi kaum Cina




Oleh DR. NOVANDRI HASAN BASRI

PENULIS ingin merujuk kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang kenyataan Lee Kuan Yew di dalam akhbar The New York Times. Mahathir telah menjawab balik beberapa dakwaan Kuan Yew. Jawapan Mahathir mudah difahami oleh sesiapa sahaja dan boleh dibaca di dalam blog beliau.

Yang menimbulkan rasa tidak sedap hati penulis ialah artikel Kuan Yew dijadikan e-mel berangkai dan disebarkan dengan meluasnya terutamanya kepada orang bukan Melayu. Respons mereka tentunya tidak sedap dibaca lebih-lebih lagi apabila mereka mula mempersoalkan isu-isu yang menyentuh Perlembagaan Negara.

Kuan Yew dipuja sebagai mangkin utama kepada pencapaian negara dan rakyat yang 75 peratus terdiri daripada kaum Cina. Tidak boleh dinafikan kaum Cina Malaysia mungkin pernah membandingkan 'nasib' mereka dengan Cina Singapura yang kelihatan lebih hebat.

Persepsi inilah yang dibaca di dalam e-mel berangkai dan para pembacanya terdiri daripada mereka yang berpelajaran dan tidak pernah merasai susah senang generasi sebelum mereka.

Mereka tidak mahu tahu maksud jus soli, kontrak sosial atau quid pro quo melalui Perkara 14-18 berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang bukan Melayu dan juga Perkara 153 yang memberikan hak istimewa kepada kaum bumiputera. Maksudnya, sejarah pembentukan Malaysia mahu dilupakan dan negara ini mesti seperti Singapura.

Bagaimana pun, apakah mereka patut dipersalahkan atau pun sistem pendidikan dan kenegaraan yang tidak menitik beratkan kesedaran tulen tentang sejarah negara Malaysia ini?

Mahathir telah menjelaskan bahawa kaum Cina yang merangkumi 75 peratus penduduk Singapura menguasai 95 peratus ekonomi negara itu. Peratusan tersebut ternyata jauh berbeza jika dibandingkan dengan peratusan kaum-kaum di negara Malaysia yang dilihat sebagai negara berbilang kaum yang tulen.

Malah beberapa kajian yang dijalankan di Singapura telah mendedahkan konflik perkauman dari segi ketidaksamarataan tahap pelajaran dan ekonomi yang sangat signifikan di Singapura. Pokoknya, konflik etnik di Singapura tidak lari jauh daripada pemahaman kita tentang diskriminasi kaum di negara tersebut.

Di dalam The Economic Marginality Of Ethnic Minorities: An Analysis Of Ethnic Income Inequality In Singapore tulisan William Keng Mun Lee, beliau mendedahkan berlakunya diskriminasi kaum dalam perbezaan pendapatan di antara kaum-kaum di Singapura.

Di dalam artikel Assimilation As Multiracialism: The Case of Singapore's Malays tulisan Michael D. Barra & Jevon Low, mereka mendedahkan perlakuan asimilasi kaum yang mungkin menyebabkan berlakunya krisis menafikan identiti kaum Melayu di Singapura.

Lebih membimbangkan apabila Singapura hari ini dilihat terlalu liberal yang berkemungkinan mewujudkan konflik pluralisme dek kerana modenisasi dan globalisasi. Kebimbangan ini ditulis oleh Suzaina Kadira dalam artikel beliau yang bertajuk Islam, State And Society In Singapore.

Justeru, Singapura tidak boleh mendabik dada konon ia adalah negara pelbagai kaum, sebaliknya ia adalah negara kaum Cina di mana penduduk minoriti tidak mendapat layanan yang sama. Tidak ada kebebasan bersuara dan tidak ada erti demokratik yang sebenarnya di Singapura.

Penulis ialah Pengerusi Sekretariat Media Maya, Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang.

Monday, September 20, 2010

Wang Ehsan Sumber Judi : Guan Eng Mula Putar Belit



KUALA LUMPUR 20 Sep – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini diminta agar tidak memutarbelit isu dan cuba lari dari tanggungjawab berhubung dakwaan sebuah blog kononnya pemberian wang ehsan untuk warga emas di negeri itu menggunakan wang daripada sumber judi.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata tindakan Guan Eng yang enggan memberi penjelasan berhubung perkara itu menjadi tanda tanya.

“Kita bukan fitnah cuma kita minta penjelasan kerana perkara ini menimbulkan kegelisahan dan rasa kurang senang segelintir penerima wang ehsan itu, terutama yang beragama Islam.

“Kenapa takut dan cuba lari dari persoalan sebenar. Kalau ini fitnah dari blog tersebut (pisau.net), Guan Eng patut ambil tindakan bukan putar belit isu. Apa yang kita lihat Guan Eng cuba lari dari tanggungjawab, tak telus…usah cakap hari mulia, bulan mulia tak baik fitnah kalau dia sendiri takut bercakap benar”, katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online sebagai mengulas tindakan Lim Guan Eng yang enggan memberi penjelasan berhubung dakawaan sebuah blog kononnya pemberian wang ehsan untuk warga emas di negeri itu menggunakan wang daripada sumber judi.

Reezal yang juga Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas seterusnya berkata sikap Guan Eng enggan memberi penjelasan serta mengambil tindakan terhadap blog tersebut memperlihatkan seolah-olah ada kebenaran berkenaan dakwaan tersebut.

“Perkara ini penting diberi penjelasan. Saya ada banyak mendengar keluhan dan kegelisahan penerima wang ehsan ini yang mahu kepastian adakah benar ia datang dari sumber judi.

“Mereka (penerima) sanggup hidup susah dari terima duit haram. Guan Eng tak perlu takut…bukan susah beri penjelasan atau saman saja blog tersebut kerana buat fitnah”, ujarnya. – MediaUMNO

Saturday, September 18, 2010

Pemuda UMNO desak kerajaan PP beri penjelasan wang ehsan RM 100






Pergerakan Pemuda Umno mahu kerajaan negeri Pulau Pinang memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog kononnya pemberian wang ehsan iaitu RM100 setahun kepada warga emas dan RM1,000 kepada waris keluarga warga emas meninggal dunia menerusi program penghargaan warga emas adalah menggunakan wang daripada sumber judi.

Ketua Penerangannya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng perlu segera memberi penjelasan kerana dakwaan dalam blog "Pisau.Net" itu telah menimbulkan kegelisahan dan rasa kurang senang segelintir penerima wang ehsan itu, terutama yang beragama Islam.

"Saya terima banyak panggilan daripada warga emas yang bertanyakan mengenai perkara itu dan mereka bimbang serta gelisah kerana sudah menerima wang RM100 dan RM1,000 terbabit sejak kerajaan negeri melaksanakan program penghargaan warga emas.

"Mereka sangat bimbang dengan dakwaan wang berkenaan dari sumber duit judi yang haram bagi umat Islam...penjelasan berkenaan bagi menghilangkan keraguan orang ramai di mana sehingga kini masih belum ada sebarang penjelasan walaupun sudah beberapa hari blog berkenaan membuat dakwaan terbabit," katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya bukan menuduh kerajaan negeri menggunakan wang judi untuk melaksanakan program penghargaan warga emas sebaliknya hanya mahu penjelasan berhubung dakwaan itu bagi menghilangkan keraguan.

"Kami tidak buat menuduh mereka (kerajaan negeri ) berbuat demikian...cuma mahu penjelasan selepas blog berkenaan (Pisau.Net) membuat dakwaan baru-baru ini kerana ia membabitkan orang ramai terutama warga emas beragama Islam yang turut sama menerima wang berkenaan.

"Ambil tindakan terhadap blog berkenaan sekiranya dakwaan dibuat tidak benar, jangan hanya berdiam diri seperti dilakukan mereka sekarang sehingga menyebabkan rakyat merasa gelisah," katanya.

Reezal yang juga Ketua Pemuda Umno Kepala Batas berkata sebagai sebuah kerajaan negeri yang mengaku mengamalkan CAT (Kompeten, Akauntabiliti dan Telus), kerajaan negeri harus telus dan menyatakan sumber kewangan bagi program pemberian wang ehsan berkenaan.

--Bernama