BUKIT MERTAJAM – UMNO yakin mampu meraih semula sokongan masyarakat Cina terhadap BN terutama di Pulau Pinang, seterusnya menawan semula negeri ini daripada pembangkang.
Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, perkara itu tidak mustahil dapat dicapai berdasarkan kemenangan pada pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan di beberapa kawasan, selain menang besar di Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak, baru-baru ini.
Menurutnya, pihaknya sedia maklum masyarakat Cina adalah masyarakat yang menghargai jasa yang dibuat Kerajaan Pusat, dan mereka adalah antara yang mendapat pelbagai kemudahan kelas pertama di tengah bandar.
“Selain itu, mereka menerima pelbagai kemudahan kelas pertama di tengah bandar utama jika dibandingkan dengan orang Melayu dan India.
“Oleh itu, saya yakin bahawa sokongan daripada masyarakat Cina akan diperoleh sepertimana pada 1999 kerana pandangan dan pemikiran mereka akan berubah, terutama mereka yang tinggal di bandar.
“Begitu pun, ia tidak bermakna kita meminggirkan orang Melayu dan India kerana bantuan sama rata sentiasa diberikan kepada semua kaum tanpa prejudis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jamuan Mesra 1 Malaysia anjuran UMNO Bahagian Batu Kawan, di Juru Concept Hall, di sini, malam kelmarin.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Mohd Noordin Mohd Kassim dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Ahmad berkata, BN kini sedang merangka beberapa strategi untuk menawan semula negeri yang diperintah pembangkang, terutama Pulau Pinang pada PRU akan datang, namun enggan mendedahkannya kepada umum.
Apa pun, katanya, kerja keras dan usaha itu penting bagi membolehkan BN menang semula.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya tidak terlalu bermegah dengan pemberian wang ihsan RM100 yang diberikan kepada warga emas di negeri ini.