PERHATIAN

Kami mengalu-alukan sebarang informasi dan juga timbal balas daripada anda sekalian terutamanya mengenai isu-isu setempat di Pulau Pinang.

Mari kita sama-sama bongkar dan dedahkan pembohongan Lim Guan Eng dan DAP Pulau Pinang !!

Emelkan ke penang.umb@gmail.com

Terima kasih.

Tuesday, November 30, 2010

Guan Eng dicabar dedah nilai tender bumiputera




BUKIT MERTAJAM 29 Nov. - Ketua Menteri, Lim Guan Eng dicabar mendedahkan secara terperinci nilai tender yang dianugerahkan kepada kontraktor bumiputera dan bukan bumiputera bagi membuktikan kepimpinannya benar-benar telus dalam mengagihkan projek kerajaan negeri.

Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohamed Fadzill Hassan menegaskan, kenyataan Guan Eng bahawa 70 peratus bidaan kontrak kerajaan negeri dimenangi kontraktor bumiputera tidak mencerminkan realiti sebenar pengagihan projek secara adil.

Ini kerana, kata beliau, sebanyak mana pun kontrak yang diterima kontraktor bumiputera, nilainya mungkin jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan habuan kontrak yang diterima kontraktor bukan bumiputera.

''Kalau Guan Eng mahu membuktikan sesuatu dengan menyatakan peratusan besar projek yang diterima kontraktor bumiputera, sila nyatakan sekali nilai projek yang diperolehi supaya orang ramai mendapat gambaran sebenar pengagihan projek yang dibuat.

''Tiada guna mengutarakan peratusan kononnya orang Melayu dapat banyak projek sedangkan nilainya mungkin tidak sebesar mana, perlu juga didedahkan siapa kontraktor bumiputera yang mendapat projek-projek kerajaan negeri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Guan Eng dalam kenyataannya kepada portal berita propembangkang Malaysiakini hari ini menyatakan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang menjadi amalan kerajaan negeri terbukti apabila lebih 70 peratus bidaan kontrak di Pulau Pinang berjaya dimenangi oleh kontraktor Melayu.

Guan Eng dipetik sebagai berkata, UMNO melalui lidahnya, Utusan Malaysia sering menggambarkan beliau sebagai anti-Melayu sedangkan kerajaan negeri pimpinannya memartabatkan usahawan bumiputera dengan tawaran tender secara terbuka menerusi e-Perolehan.

Mohamed Fadzill yang juga Yang Dipertua PKMM Pulau Pinang berkata, tiada gunanya Guan Eng memberikan statistik dalam bentuk peratus jika ia hanya projek-projek mini kepada kontraktor kelas F yang hampir 100 peratus dimiliki bumiputera.

''Kita sudah nyatakan sebelum ini, kalau Guan Eng ikhlas, kita minta beliau dedahkan nilai serta siapa kontraktor bumiputera yang mendapat projek berkenaan tetapi sehingga hari ini kerajaan negeri tidak dedahkan.

''Kerajaan negeri menggambarkan kontraktor bukan bumiputera memperoleh tender yang sedikit tetapi ia benar dari segi peratusan tapi kita juga mahu tahu nilai projek yang mereka perolehi, barulah kita dapat gambaran sebenar," katanya.

Malah katanya, kontraktor bukan bumiputera juga mendapat faedah daripada projek yang ditawarkan kepada kontraktor Melayu memandangkan pasaran bahan-bahan binaan seperti simen, pasir dan besi didominasi oleh mereka.

Sunday, November 28, 2010

DAP Pulau Pinang Pilih 'Bulu' !!

Di sebalik tindakan agresif agensi penguat kuasa kerajaan negeri meroboh gerai penjaja sejak kebelakangan ini, banyak gerai lain yang melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti dibiarkan beroperasi tanpa diambil tindakan.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana kerajaan negeri bersikap adil memandangkan gerai-gerai berkenaan secara terang-terangan tidak mengikut peraturan termasuk didirikan melebihi bahu jalan sehingga sering menyebabkan kesesakan trafik.

Keadaan itu boleh dilihat di sekitar Taman Chai Leng dan berhampiran Kompleks Makanan Sin Tat di Jalan Raja Uda di sini yang sinonim dengan keadaan sesak ekoran kewujudan gerai-gerai yang didirikan di bahu-bahu jalan.

Setiausaha Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang, Saadin Kadir berkata, kerajaan negeri seolah-olah bersikap pilih bulu dalam mengambil tindakan dengan hanya memberi tumpuan terhadap sesetengah peniaga kecil sahaja.

''Sikap pilih bulu ini begitu ketara. Kalau betul kerajaan negeri mahu bersikap adil kenapa gerai lain yang terang-terang melanggar peraturan terlepas daripada tindakan," katanya di sini hari ini.

Kerajaan negeri kebelakangan ini bertindak merobohkan beberapa gerai milik peniaga kecil kerana didakwa beroperasi secara haram.

Terbaru, enam pengusaha gerai makanan dan minuman di Bandar Perda, dekat sini hilang mata pencarian selepas gerai mereka dirobohkan oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dalam satu operasi semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 9 pagi itu, pelbagai peralatan termasuk khemah dan payung gerai, dapur, meja serta kerusi milik peniaga terbabit dirampas.

Saadin berkata, tindakan tersebut adalah tidak wajar memandangkan kawasan tersebut boleh dijadikan lokasi tapak perniagaan sementara bagi memberi peluang kepada peniaga terbabit mencari rezeki.

Menurutnya, alasan yang diberikan kepada peniaga terbabit bahawa gerai mereka mengganggu lalu lintas juga tidak munasabah memandangkan mereka sudah berniaga sejak bertahun yang lalu tanpa sebarang masalah.

''Tetapi keadaan trafik yang sesak di Jalan Raja Uda misalnya tidak pula diberi perhatian sedangkan umum mengetahui kesesakan di situ berpunca daripada kewujudan gerai-gerai yang dibina berhampiran jalan," jelasnya.-Utusan Malaysia.

Friday, November 26, 2010

DAP bohong lagi, tak beri fakta sebenar isu Kg Genting

BUTTERWORTH 24 Nov. – Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa melakukan pembohongan apabila tidak memberi fakta sebenar berhubung isu pengambilan tanah penduduk di Kampung Genting, Balik Pulau bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah universiti asing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya mendakwa, ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, kerajaan negeri menyatakan bahawa pengambilan tanah berkenaan masih di peringkat cadangan dan kajian.

”Bila disiasat, tanah itu sebenarnya sudah pun digazetkan mengikut Seksyen 8 (Akta Pengambilan Tanah 1960) dan ini membuktikan bahawa proses pengambilan tanah sedang berlaku.

”Hanya tunggu perbicaraan dan bayar duit (pampasan penduduk) akan dibuat, seterusnya tanah menjadi hak kerajaan negeri. Jadi, bagi saya ini satu pembohongan oleh kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri, di sini semalam.

Mesyuarat itu dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

Kerajaan negeri bercadang mengambil sebahagian besar tanah milik penduduk di Kampung Genting untuk dijadikan sebagai Hab Kecemerlangan Pendidikan termasuk pembinaan universiti swasta dari luar negara.

Cadangan itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan penduduk yang mempersoalkan kewajaran tanah di perkampungan kecil itu mahu diambil sedangkan masih banyak tanah kosong di tempat lain yang lebih sesuai seperti di Kuala Sungai Pinang, Pulau Betong dan Air Putih.

Pada 18 Oktober lalu, lebih 100 penduduk Kampung Genting berhimpun bagi membantah cadangan tersebut dan bertekad akan mempertahankan tanah berkenaan daripada diambil.

Sementara itu, Hilmi turut mempersoalkan pembinaan universiti swasta di tapak berkenaan kerana ia tidak memenuhi syarat proses pengambilan tanah yang menetapkan pembangunan hendaklah membabitkan kepentingan awam.

”Setakat ini Kementerian Pengajian Tinggi tiada menerima permohonan daripada kerajaan negeri untuk membina universiti berstatus awam, sebaliknya kami difahamkan ia berstatus swasta.

”Lebih penting, kita bukan bercakap soal tanah orang Melayu tetapi melibatkan semua kaum memandangkan penduduk termasuk yang berketurunan Cina dan India sudah lama tinggal di situ dan masih ada tempat lain lebih sesuai,” jelasnya.



Thursday, November 25, 2010

Gerai makanan & minuman di Bandar Perda diroboh kerajaan DAP

BUKIT MERTAJAM 24 Nov. – Di sebalik protes serta bantahan pelbagai pihak berhubung isu penindasan terhadap peniaga Melayu di negeri ini, aktiviti agensi penguat kuasa kerajaan negeri meroboh gerai golongan itu seolah-olah tiada kesudahannya, malah semakin menjadi-jadi.

Jika sebelum ini tindakan meroboh gerai Melayu tertumpu di kawasan pulau, kini ia menular ke Seberang Perai. Terbaru enam pengusaha gerai makanan dan minuman berhampiran astaka medan selera Bandar Perda di sini pula menjadi mangsa.

Dalam operasi kira-kira pukul 9 pagi ini, kira-kira 30 anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) meroboh gerai peniaga kecil di kawasan itu kerana didakwa beroperasi secara haram.

Selain khemah dan payung gerai, pelbagai peralatan termasuk mesin atau dapur memasak, meja serta kerusi turut dirampas.


Paling dikesali, operasi atas arahan kerajaan negeri DAP itu tetap diteruskan walaupun seorang peniaga merayu supaya ia ditangguhkan memandangkan satu majlis kenduri meraikan 150 anak yatim dan ibu tunggal sempena Aidiladha akan diadakan di situ petang ini.

Seorang peniaga, Muhammad Zaini Masiam, 53, berkata, dia cuba merayu supaya operasi itu ditangguhkan memandangkan anak-anak yatim serta ibu tunggal sudah dijemput, malah persediaan memasak lauk-pauk sedang dijalankan.

“Tapi mereka tidak peduli langsung kerana memberi alasan arahan sudah dikeluarkan untuk roboh. Berilah muka sedikit, ini tujuan amal bukan untuk suka-suka,” katanya yang kerugian lebih RM15,000 selepas pelbagai peralatan dapur dan khemah gerainya dirampas .

Muhammad Zaini mendakwa, kerajaan negeri bersikap ‘pilih bulu’ apabila banyak gerai terutamanya di Taman Chai Leng serta di sekitar Pasar Awam Bukit Mertajam tidak dirobohkan walaupun secara terang-terangan mengganggu laluan trafik dan menyusahkan orang ramai.

“Kami bukan kaya, nak berniaga pun kumpul modal anak-beranak. Pendapatan pun bukan banyak, peniaga kaum lain dibiarkan bebas berniaga tetapi peniaga kecil macam kami diganggu,” katanya kesal.

Peniaga char kuetiau, Rosli Che Me, 32, pula memberitahu, dia menerima notis daripada MPSP minggu lalu yang mengarahkan dia mengosongkan kawasan tersebut kerana beroperasi secara haram, selain didakwa berniaga di tempat letak kereta.

“Kenapa kerajaan negeri tidak boleh bertolak ansur? Dulu ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), tidak pernah kami dilayan begini tapi keadaan sudah lain. Kerajaan negeri seolah-olah mahu menabur pasir dalam periuk nasi kami,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Suhaimi Musa, 56, berkata, dia pernah menyewa premis di astaka medan selera berkenaan tetapi sambutan pelanggan terlalu sedikit memandangkan saiznya yang kecil.

‘‘Sekurang-kurangnya berilah pilihan atau kenal pasti tempat yang lebih sesuai, janganlah hanya
menghukum kerana kami pun nak cari makan untuk menyara keluarga,” katanya.

Wednesday, November 24, 2010

Nelayan Sg Gelugor enggan pindah , desak kerajaan DAP bina jeti baru


PULAU PINANG 23 Nov. - Bimbang jeti dan bangsal dirobohkan pihak berkuasa tempatan, seramai 24 nelayan bersama keluarga masing-masing 'berkawal' di jeti mereka di Sungai Gelugor di sini hari ini.

Mereka bertekad untuk mempertahankan kawasan tersebut kerana tidak mahu berpindah ke jeti sementara di Kompleks Pendaratan Ikan Jelutong yang didakwa tidak sesuai berikutan ombak kuat yang boleh merosakkan bot.

Selain itu, jeti sementara berkenaan juga didakwa terlalu sesak dengan bot nelayan lain.

Menurut wakil kumpulan nelayan tersebut, Salleh Hashim, selain itu, mereka juga tidak pasti bila jeti baru bernilai RM400,000 yang dijanjikan pemaju akan dibina.

"Persoalannya sampai bila kami akan ditempatkan di jeti sementara dan bila pula jeti baru siap?" katanya ketika ditemui di jeti berkenaan di sini hari ini.

Para nelayan berkenaan merupakan antara yang terkena tempias projek pembinaan Lebuh Raya Jelutong dan pembangunan projek perumahan mewah.

Sebagai ganti, nelayan pantai itu diarah berpindah ke penempatan sementara iaitu di Kompleks Pendaratan Ikan Jelutong yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ yang disediakan kerajaan negeri melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Bagaimanapun, penempatan baru serba moden yang bernilai kira-kira RM3.5 juta itu dikatakan tidak sesuai kerana ia meningkatkan kos operasi nelayan selain kesesakan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Nelayan Selatan Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata, pihaknya berharap nasib nelayan terbabit tidak diabaikan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

Ini kerana jelasnya, golongan itu turut membantu sektor pelancongan berikutan kawasan berkenaan menjadi tumpuan orang ramai beriadah.

"Lagi pun, jeti sementara yang disediakan tidak sesuai kerana air laut di situ beralun kuat dan merosakkan bot nelayan," ujarnya.

Tuesday, November 23, 2010

Kenapa Tanah Melayu Mudah Tergadai ?

KEMELUT dan nasib penduduk Melayu di Pulau Pinang yang terpinggir telah lama kedengaran. Tetapi ia kini semakin lantang kedengaran disebabkan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mula mengambil satu demi satu tanah untuk tujuan pembangunan.

Ya...kita tidak boleh menolak pembangunan. Tetapi soalnya, pembangunan yang bagaimana perlu dilakukan agar keadilan sosial dapat dinikmati semua kaum di negeri itu.

Apa yang jelas adalah pembangunan ‘berat sebelah’ iaitu sekadar membina pangsapuri mewah yang tidak mampu dimiliki majoriti penduduk Melayu.

Menitip pantun lama yang berbunyi:

Pulau Pinang bandar baru,
Kapten Light menjadi raja;
Bila terkenang zaman dahulu,
Jatuh berlinang air mata.

Hakikatnya, nasib orang Melayu di Pulau Pinang mula dibangkitkan selepas pilihan raya 1969. Sejak kira-kira 40 tahun lalu iaitu sewaktu Perikatan, kemudiannya Barisan Nasional yang diterajui UMNO, Gerakan, MCA dan MIC memerintah, memang banyak hal ehwal berkaitan nasib Melayu Pulau Pinang diperkatakan termasuk dalam isu tanah.

Namun kita perlu faham bahawa masalah berkaitan tanah Melayu di Pulau Pinang memang rumit untuk diselesaikan kerana ia melibatkan banyak perkara terutama berkaitan status. Ini kerana sebanyak 60 perkampungan Melayu di Pulau Pinang merupakan tanah ceti atau tanah tumpang. Kesemua kampung itu kini mempunyai kira-kira 7,000 penduduk. Begitulah status tanah di Kampung Jalan Pokok Asam, Kampung Tengah, Kampung Permatang Tepi Laut dan Kampung Teluk Kumbar. Kesemua tanah itu kini telah dan akan menjadi milik pemaju.

Ia jadi begitu selepas tanah yang diwarisi daripada nenek moyang telah digadai kepada ceti. Ceti pula menjual tanah itu kepada pemaju.

Memang menyedihkan kerana rupa-rupanya selama ini, orang Melayu menumpang teduh di atas tanah yang asalnya milik mereka, tetapi terpaksa keluar dari kampung selepas mendapat perintah mahkamah.

Dalam kes Kampung Jalan Pokok Asam, ia akan dimajukan dengan projek kediaman bertingkat berharga RM800,000 seunit oleh pemaju dari Kuala Lumpur.

Ya...kita akui tanah telah tergadai dan penduduk tidak boleh berbuat apa-apa untuk kekal di kampung masing-masing. Namun, jika benar-benar kerajaan negeri yang dikuasai DAP prihatin terhadap nasib rakyat, tentu kerajaan negeri campur tangan dalam isu yang melibatkan nasib dan masa depan penduduk Melayu Pulau Pinang.

Setakat hari ini, apa yang kita nampak penduduk kampung terpaksa berjuang sendirian untuk mendapatkan keadilan terutama dalam soal pampasan. Malah, lebih teruk ada penduduk tidak mendapat apa-apa pampasan. Di mana tanggungjawab sosial yang sepatutnya dipikul kerajaan negeri?

Di sebalik itu, banyak pihak tertanya-tanya kenapa begitu mudah tanah Melayu Pulau Pinang tergadai? Adakah salah kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sehingga tahun 2008? Marilah kita berfikir jauh ke hadapan.

Banyak pihak menuduh UMNO yang menjaga kepentingan penduduk Melayu Pulau Pinang menjadi punca kenapa banyak tanah Melayu tergadai. Ia satu tuduhan tidak berasas kerana UMNO tidak memiliki tanah-tanah tersebut. Ia adalah hak milik penduduk yang mewarisinya daripada nenek moyang mereka.

Ketika mahu menjual tanah-tanah tersebut, mereka tidak merujuk perihal itu kepada pemimpin UMNO. Justeru, kenapa UMNO dipersalahkan? Penduduk menjual tanah atas kehendak sendiri selepas ‘kelabu mata’ melihat habuan lumayan yang bakal diterima. (seterusnya...)

Sunday, November 21, 2010

Penyokong ISA bantah forum Anti ISA



oleh : media permatang pauh


Bertempat di KOMTAR Walk, satu forum membantah ISA telah dianjurkan oleh DAP bagi menyebarkan dakyah buruk terhadap akta tersebut tengah hari tadi.

Forum ini yang dihadiri oleh bekas-bekas tahanan ISA seperti Mat Sabu dan Hishamudin Rais bagaimanapun kurang mendapat perhatian dari masyarakat sekitar P.Pinang. Hanya lebih kurang 40-50 orang sahaja yang kelihatan mundar mandir di tempat Forum tersebut.

Forum menjadi "panas" apabila sekumpulan warga P.Pinang menyerbu ke Forum berkenaan dengan membawa sepanduk "Kami Sokong ISA". Kekacauan hampir tercetus akibat dari penyokong DAP yang menghalang kemaraan kumpulan 50 orang pro ISA berkenaan.














p/s: Ng Wei Aik, Mat Sabu dan Hishamudin Rais pucat lesi bila diasak kumpulan pro ISA ni tadi... baru depa tauu bukan semua orang P.Pinang setuju dengan depa...