PERHATIAN

Kami mengalu-alukan sebarang informasi dan juga timbal balas daripada anda sekalian terutamanya mengenai isu-isu setempat di Pulau Pinang.

Mari kita sama-sama bongkar dan dedahkan pembohongan Lim Guan Eng dan DAP Pulau Pinang !!

Emelkan ke penang.umb@gmail.com

Terima kasih.

Thursday, June 9, 2011

Pilihanraya masjid : UMNO akan mengadap YDP Agong



BUTTERWORTH 7 Jun - Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi merayu perkenan Seri Paduka supaya pilihan raya masjid di Pulau Pinang ditangguhkan dan dikaji semula demi menjaga keharmonian institusi Islam itu.

Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, atas kapasiti Tuanku Mizan sebagai Ketua Agama Islam di Pulau Pinang, pihaknya merayu supaya keputusan kerajaan negeri untuk melaksanakan pilihan raya itu dikaji sedalam-dalamnya kerana melibatkan kepentingan umat Islam.

"Sudah wujud kegelisahan dalam kalangan masyarakat Islam termasuk anak-anak kariah yang bimbang terhadap suasana masjid yang mahu dijadikan pentas mencari pengaruh politik partisan.

"Kita akan ajukan rayuan mengenai perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong dan kita serahkan kepada kebijaksanaan Seri Paduka untuk meneliti perkara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia Isnin lalu menyiarkan keputusan Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya bagi jawatan kuasa masjid mulai tahun ini iaitu perkembangan yang dilihat bakal menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian.

Keputusan itu mendapat bantahan ramai pihak yang menyifatkan ia agenda tersembunyi pihak tertentu yang mahu memporak-perandakan institusi masjid sebagai pusat perpaduan umat Islam khususnya di Pulau Pinang.

Zainal Abidin berkata, pilihan raya masjid itu bukan sahaja bermotifkan politik malah bakal mengheret jawatan kuasa kariah masjid dalam kancah perpecahan apabila wujud aktiviti berkempen, mengadu domba serta memburuk-burukkan antara satu sama lain.

Malah katanya, kaedah pelaksanaan pilihan raya itu juga sangat lemah dan longgar sehingga boleh menimbulkan rasa syak wasangka dalam kalangan kariah masjid sekali gus memungkinkan perseteruan serius berlaku.

"Lebih penting, masjid mahu dijadikan tempat membuang undi sedangkan ia tempat beribadat dan tempat untuk meluaskan syiar Islam. Pilihan raya ala politik ini hanya akan meniupkan api perpecahan dan perbalahan," tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kaedah pemilihan sebelum ini yang menekankan konsep musyawarah dalam kalangan anak kariah dari surau-surau setiap kampung mahu diubah secara tiba-tiba sedangkan ia terbukti berkesan menjaga keharmonian jawatankuasa masjid.

Katanya, sistem sedia ada yang diamalkan sejak lebih 50 tahun lalu membolehkan wakil dari setiap kampung menduduki jawatankuasa masjid supaya apa jua aktiviti dapat dilakukan dengan penglibatan menyeluruh masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

"Pada masa sekarang pun, ahli jawatankuasa masjid bukan dikuasai mana-mana parti politik, malah mereka boleh duduk bersama-sama atas semangat persaudaraan. Kenapa suasana harmoni ini mahu dirosakkan?

"Justeru, kita minta anak-anak kariah di Pulau Pinang supaya berfikir dengan kebijaksanaan, jangan biar pihak tertentu menjadikan kita alat untuk merosakkan perpaduan sesama umat Islam," jelasnya.

Monday, June 6, 2011

Kerajaan DAP adakan pilihan raya masjid


BUTTERWORTH 5 Jun – Kerajaan DAP Pulau Pinang memutuskan pemilihan jawatan kuasa masjid di seluruh negeri mulai tahun ini akan dijalankan melalui proses ‘pilihan raya’ - perkembangan yang dilihat bakal menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian.

Jika dilaksanakan sepenuhnya, ‘pilihan raya masjid’ itu yang dijangka bermula pertengahan bulan ini akan menjadikan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri yang pernah melaksanakan kaedah pemilihan seumpama itu.

Difahamkan, ketetapan baru itu dibuat dalam satu mesyuarat khas Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang dihadiri Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim baru-baru ini.

Bagaimanapun, persoalan timbul sama ada keputusan penting itu mendapat perkenan Yang di- Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini atau sebaliknya.

Perkembangan tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan banyak pihak yang melihat kaedah itu akan menyebabkan institusi masjid diresapi unsur-unsur kepartian sehingga mengundang perpecahan serius dalam kalangan kariah masjid.

Kaedah pemilihan itu terkandung dalam notis Tatacara Pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid Pulau Pinang 2012-2013 yang diedarkan kepada kira-kira 4,000 jawatankuasa masjid seluruh negeri ini, baru-baru ini.

Mengikut tatacara tersebut, jawatan kuasa masjid diarah menjalankan mesyuarat agung khas antara 1 hingga 7 Jun 2011 dan mengedarkan borang-borang pencalonan termasuk bagi jawatan Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Bendahari, Setiausaha serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita.

Bagaimanapun, setiap nama calon yang dikemukakan akan ditapis terlebih dahulu oleh sebuah Jawatan kuasa Khas MAIPP yang berhak menerima atau menolak mana-mana pencalonan yang dianggap tidak layak.

Setiap calon yang bertanding kemudiannya diberi tempoh seminggu untuk ‘berkempen’ iaitu antara 10 hingga 17 Jun sebelum hari pengundian bermula 18 Jun yang akan dihadiri wakil MAIPP.

Sumber MAIPP memberitahu, cadangan pelaksanaan kaedah baru itu yang dibangkitkan dalam mesyuarat sebelum ini mencetuskan percanggahan pendapat dalam MAIPP sendiri yang mahu ia dikaji kerana tidak mahu institusi masjid dicemar unsur kepartian.

Bagaimanapun, katanya, wujud tekanan daripada pihak tertentu yang mahu supaya kaedah baru dilaksanakan sepenuhnya tahun ini.

“Kaedah sedia ada mungkin boleh diperbaiki, tetapi pemilihan baru ini sebenarnya mengundang lebih banyak masalah malah akan menjadikan kariah lebih berpecah-belah. Lagi pula, kenapa mahu ia dibuat secara tergesa-gesa?

“Secara prinsipnya, memanglah ini adalah keputusan MAIPP, tetapi cadangan itu datang dari atas iaitu kerajaan negeri yang mahu ia dilaksanakan,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua MAIPP, Ellias Zakaria (gambar) yang dihubungi mengesahkan keputusan melaksanakan kaedah pemilihan baru tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

“Di peringkat ini, tidak perlulah saya komen. Lebih baik anda hubungi Yang Berhormat Exco Abdul Malik untuk mendapat butiran,” katanya.

Saturday, June 4, 2011

PKR & IRI (CIA) Mesyuarat Sulit Di Sunway Hotel




AIDCNews – 31/05/11 – “Minggu lepas, 24 Mei, International Republican Institute (IRI) buat mesyuarat dengan PKR di Sunway Hotel (Seberang Jaya).. IRI ini adalah agen CIA untuk menolong parti-parti di luar AS (Amerika Syarikat).
“Dua orang Yahudi daripada Bangkok turun. Kita ada bukti. Saya minta PKR jawab !”, kata Ir Shaik Hussin, di Pentas Pemuda, Kampung Baru Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
AIDCNews, sebelum ini mendedahkan IRI merupakan salah satu daripada empat komponen yang bernaung di bawah NED (National Endowment for Democracy), satu organisasi yang ditaja Yahudi berpengkalan di AS.
21 Mei lalu, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhamad Rahimi Osman, turut mendedahkan sepucuk surat yang ditulis oleh bekas majikannya, Anwar, untuk memohon dana kepada Presiden NED, seorang pengurus dana berbangsa Yahudi bernama Carl Gershman.
Surat bertarikh 18 Jun 2007 yang ditandatangani oleh Anwar Ibrahim menggunakan platform ibu pejabat Anwar di AS iaitu syarikat AIA di 585 Grove Street, Suite 135, Herndon, Virginia, 20170. Klik sini,sini sini, sini, dan sini
“Dakwaan Anwar sebagai agen CIA, pengkhianat negara dilihat oleh penyokong pakatan, orang kampung dan rakyat marhain sebagai satu tuduhan yang keterlaluan.
“Namun sanggupkah anda menerima kenyataan dan realiti sebenar sebahagian besar yang jumud telah terpengaruh dengan permainan politik Anwar dan kini sudah tergolong menjadi perkakas CIA dan Yahudi untuk memusnahkan negara ini ?”, kata blogger Pisau. net. Klik di sini dan sini
Pisau.net turut memetik kata-kata penggubal undang-undang NED, Allen Weinstein, yang mengesahkan peranan NED dan komponen-kompenennya adalah sama dengan peranan CIA.
“Apa yang telah dilakukan oleh NED hari ini adalah perkara sama yang pernah dilakukan oleh CIA, 25 tahun dahulu”, kata Allen Weinstein dalam Washington Post, 22 September 1991. Klik di sini
Manakala, Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Malaysia adalah salah seorang panel pemikir NED yang dilantik sejak dari tahun 2007 .
NED khususnya IRI telah terlibat secara langsung membantu karier politik Anwar di Malaysia khususnya dalam PRU 12. Klik sini dan sini.

Tuesday, May 31, 2011

Kerajaan Tidak Utamakan Soal Populariti Dalam Mengambil Keputusan - Muhyiddin




PUTRAJAYA: Kerajaan hanya mengambil kira kepentingan negara dan rakyat untuk jangka masa panjang sebelum mengambil sesuatu keputusan dan bukannya soal populariti, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau memberikan contoh bahawa jika kerajaan Barisan Nasional mengutamakan soal populariti dengan tidak menaikkan kadar tarif elektrik, maka rakyat dan negara akan menanggung implikasi yang buruk pada masa akan datang.

Beliau berkata rakyat sedar dan faham apa yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam fenomena ekonomi dunia yang tidak menentu.

"Kita bukan ambil kira soal populariti atau pun tidak. Kita buat keputusan berdasarkan kepada kenyataan yang perlu kita dihadapi. Saya percaya semua rakyat pun tahu dan ini bukan fenomena Malaysia tetapi fenomena global.

"Kos harga minyak yang sudah melambung naik dan banyak lagi faktor-faktor yang menyebabkan kos meningkat. Ini sudah menjadi fenomena global. Cuma di Malaysia ini, bila kerajaan nak putuskan sesuatu seperti memutuskan kadar tarif elektrif baru, kita teliti satu persatu," katanya kepada kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Berlian dan sambutan ulang tahun ke-10 Suruhanjaya Tenaga di sini Selasa.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata rakyat mungkin bergembira sekiranya diberikan subsidi penuh dengan tidak menaikkan sebarang kadar, namun pada jangka masa panjang ia hanya membebankan rakyat.

Katanya keadaan itu menunjukkan kerajaan tidak pandai mengurus belanjawan negara.

"Kita mungkin popular buat sementara sahaja kalau kita tidak buat apa-apa (naikkan harga) tetapi jangka panjangnya kesannya ialah buruk kepada negara kerana kita kena tanggung semua beban.


"Rakyat semua suka hati, akhirnya rakyatnya juga yang menanggung sengsara kerana kerajaan waktu itu sudah berhadapan dengan situasi ekonomi yang teruk dan ia tidak boleh menguruskan belanjawan yang baik," katanya.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan kerajaan sebenarnya begitu bertanggungjawab dan prihatin terhadap rakyat dan masa depannya kerana terdapat batasan untuk kerajaan menanggung subsidi.

Beliau memberi jaminan bahawa kadar baru tarif elektrik yang berkuatkuasa Rabu tidak akan memberi kesan kepada kadar inflasi sekarang iaitu 3.5 peratus.

Muhyiddin juga meminta semua pihak terutamanya pengguna domestik supaya menggunakan tenaga elektrik dengan lebih efisien. - BERNAMA

Jangan mudah melenting tarif elektrik naik



Selepas kecoh mengenai harga bahan bakar ron 97 yang dinaikkan, kini kecoh pula mengenai harga baru tariff eletrik yang bakal naik berkuatkuasa esok. Pembangkang mula mempolitikkan isu ini kononnya bakal membebankan rakyat. Mereka menuduh kerajaan tidak menjaga kebajikan rakyat bila menaikkan harga eletrik.

Tetapi tidakkah rakyat sedar bahawa kenaikan hanya melibatkan bil bulanan yang melebihi RM77 sebulan sedangkan kebanyakan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan sederhana, bil bulanan mereka tidak melebihi RM77 sebulan.

Ini jelas menunjukkan kerajaan sentiasa menjaga rakyat malah penggunaan di bawah RM20 sebulan adalah percuma. Dengan memberi kelonggaran ini, kerajaan terpaksa menanggung kos RM122 juta setahun. Kenaikan yang diumumkan kerajaan ini tidak membabitkan 4.4 juta daripada 5.94 pengguna domestik.

Pengguna yang di bawah penggunaan 300kWj, langsung tidak terlibat dengan kenaikan ini. Jadi mengapa harus melenting tidak tentu fasal. Semaklah bil eletrik bulanan anda. Jangan terlalu mudah mempercayai kata-kata pembangkang yang memang suka melihat Negara kita ini sentiasa ‘panas’ dan bergolak.

Rakyat harus sedar, kerajaan sentiasa mendahulukan rakyat walaupun terpaksa menanggung pelbagai kos subsidi demi keselesaan rakyat. Contohnya subsidi gula, kita hanya membayar RM2.30 sedangkan harga sebenar berjumlah RM2.40. Kerajaan terpaksa menanggung kos subsidi sebanyak RM789 juga untuk gula.

Minya masak pula kita hanya membayar RM2.50 sedangkan harga sebenar RM3.50. Subsidi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan adalah RM813 juga. Ini belum lagi membabitkan subsidi lain-lain.

Kita harus bersyukur kerana Malaysia adalah satu-satunya Negara yang mempunyai subsidi. Sekiranya kita ke Negara lain, kita terpaksa menanggung harga sebenar dan ini sudah pastinya menyusahkan kita.

Ambil contoh Singapura. Mengapa rakyat Singapura suka membeli belah di Johor Bahru? Ini adalah kerana mereka boleh membeli dengan harga yang jauh lebih murah.

Kesimpulannya, jangan terlalu manja dengan subsidi dan jangan hanya pandai menuding jari tanpa mengetahui dan memahami duduk perkara sebenar. Pembangkang hanya tahu menabur fitnah bagi mengelirukan rakyat sekaligus menimbulkan rasa benci rakyat terhadap kerajaan.

Kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk kita. Mengapa kita sering bertanya apa yang telah kerajaan lakukan untuk kita tetapi pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, apa yang telah kita lakukan untuk kerajaan dan Negara?

sumber : UMNO Online

Thursday, May 26, 2011

Pengedaran Video Seks : Kemungkinan Antara Dua Puak Dalam Pas Terlibat?




KUALA LUMPUR 26 Mei – Pengedaran video seks yang didakwa membabitkan pemimpin tertinggi pembangkang secara berleluasa seperti dilaporkan berkemungkinan dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepentingan.

Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata tuduhan pihak tertentu yang mengatakan UMNO melakukan perkara itu sebagai suatu yang tidak berasas.


Apa sahaja yang berlaku membabitkan Anwar Ibrahim, semua pihak akan menuding jari kepada UMNO, mereka kata semua itu adalah perancangan UMNO, konspirasi UMNO untuk jatuhkan Anwar.

“Sehingga kini, semua pihak masih tidak tahu siapa yang lakukannya termasuk pihak polis, mungkin juga mereka yang melakukan perkara ini mempunyai kepentingan tertentu untuk memburuk-burukkan Anwar.

“UMNO tidak akan melakukan kerja seperti ini, banyak perkara yang lebih berfaedah perlu dilakukan UMNO, bukannya perkara yang tidak berfaedah itu,” katanya kepada UMNO-online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berhubung pengedaran video seks itu secara berleluasa dan UMNO dituduh menjadi dalang kepada pengedaran video berkenaan oleh pembangkang.

Musa berkata, kemungkinan juga mereka yang mengedar video berkenaan mempunyai hubung kait dengan pemilihan pucuk pimpinan Pas bulan depan yang dikatakan pertembungan antara kumpulan pro Anwar (Endorgan) dengan pro ulama.

“Sekarang orang heboh bercakap mengenai pemilihan Pas, mereka kata ada ada pertembungan antara kumpulan pro Anwar dengan pro ulama. dan tidak mustahil perkara ini dilakukan oleh pihak tertantu yang menyokong salah satu kumpulan terbabit.

“Mereka ini lakukan untuk memalukan pihak tertentu, dalam hal ini mereka yang mempunyai kepentingan akan sanggup melakukan apa sahaja, lepas itu tuduh pihak lain yang lakukan,” katanya.

Menurutnya, beliau merasa sedih dengan apa yang berlaku itu kerana membabitkan aib seseorang, sepatutnya perkara itu biarlah pihak berkuasa menjalankan tugasnya untuk menyelesaikan kemelut dan bukannya kita sendiri yang membuat keputusan.

“Dalam kita ingin mencapai sesuatu, tidak perlu kita melakukan sesuatu sehingga boleh memberi keaiban kepada orang lain, dalam perkara ini UMNO tidak terbabit lansung,” katanya.

Musa berkata, sudah menjadi lumrah politik negara ini apa sahaja yang membabitkan Anwar dan pihak pembangkang, UMNO yang menjadi mangsa dengan tujuan supaya rakyat bendi kepada UMNO dan Barisan Nasional. -MediaUMNO.

Wednesday, May 25, 2011

Harga Ron 95, Diesel Dan LPG Kekal, Kerajaan Umum Tiada Kenaikan



PUTRAJAYA, 25 Mei – Harga petrol RON95, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG) kekal buat masa ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan LPG buat masa ini setelah rasionalisasi subsidi dibincangkan dengan mendalam dan teliti dalam mesyuarat mingguan Kabinet hari ini.

“Keputusan ini dibuat kerana kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat,” katanya pada sidang media di kementerian berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa sama kerajaan akan meneruskan kajian rasionalisasi subsidi secara menyeluruh berikutan peningkatan harga minyak dan gas di pasaran global.

Ditanya adakah Kabinet membincangkan tempoh masa harga berkenaan dikekalkan, Ismail berkata Kabinet tidak membincangkan tentang jangkamasa.

Harga petrol RON95 kini ialah RM1.90 seliter dan diesel RM1.80 seliter.

Harga LPG ialah RM1.90 sekilogram. Kali terakhir harga RON95, diesel dan LPG diselaraskan ialah pada Disember tahun lepas.

Ismail berkata pengekalan harga ketiga-tiga bahan api ini mengakibatkan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM18 bilion setakat ini.

Tahun lalu kerajaan menanggung kira-kira RM8.15 bilion subsidi bagi bahan api yang sama.