PULAU PINANG 4 Mei - Kerajaan negeri diselar kerana gagal membawa masuk pelabur sehingga menyebabkan jumlah pelaburan merosot kepada hanya RM2.2 bilion tahun lepas berbanding RM10.2 bilion pada tahun sebelumnya.
Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya (BN-Teluk Bahang) berkata, walaupun pelaburan sebanyak RM10.2 bilion diperoleh pada 2008, iaitu ketika pakatan pembangkang memerintah negeri, pelaburan berkenaan sebenarnya telah dibawa masuk oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri sering mengelirukan rakyat dengan mencanangkan jumlah tersebut sebagai kejayaan yang dibawa oleh mereka.
''Macam-macam yang mereka (kerajaan negeri) kata dapat capai, bermegah macam-macam sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya, iaitu pelaburan menurun.
''Mereka juga kata akan bawa masuk pelaburan berjuta ringgit ke negeri ini melalui beberapa perjanjian yang telah dimeterai dengan beberapa negara.
"Betulkah pelaburan itu dapat dibawa masuk atau semata-mata perjanjian atas kertas kerana dari segi pengalaman saya, tidak semua perjanjian itu mampu membawa pelaburan, ada yang gagal," katanya.
Hilmi berkata demikian ketika membahaskan Usul Terima Kasih Ucapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Terdahulu, semasa mencelah ucapan perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga), Hilmi berkata, pelaburan negeri menurun sehingga 80 peratus tahun lalu.
Menurutnya, jumlah yang dicatatkan itu lebih rendah berbanding dua negeri lain yang berada di bawah pemerintahan pembangkang iaitu Kedah yang mencatatkan penurunan pelaburan sebanyak 50 peratus dan Selangor 42 peratus tahun sama.
''Kita sedar bahawa kemelesetan ekonomi yang berlaku tahun lalu dialami oleh semua negara, namun, apa usaha yang dilakukan kerajaan negeri untuk memujuk syarikat-syarikat yang ingin keluar dari negeri ini supaya mereka tidak berbuat demikian?
''Mereka perlu pergi berjumpa kilang-kilang ini, ambil tahu masalah mereka dan cuba beri insentif yang lebih baik supaya kilang-kilang ini terus berada di Pulau Pinang. Inilah yang perlu diambil berat dan bukannya berlumba-lumba pergi ke luar negara cari pelaburan yang belum tentu ada hasil.
''Lagipun, buat apa pergi jauh-jauh untuk tarik pelaburan. Negara ASEAN sendiri sudah cukup. Tidak kena cukai. Kalau kita tidak buat sesuatu, pelaburan yang ada akan terus berkurangan," katanya.
No comments:
Post a Comment