BALIK PULAU, 21 Dis (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengingatkan pihak tertentu agar tidak mempertikaikan taraf kewarganegaraan mana-mana rakyat negara ini tidak kira sama ada mereka adalah penyokong Barisan Nasional (BN) atau sebaliknya.
Beliau berkata semua rakyat dalam negara ini harus tahu menjaga sensitivti dan isu kewarganegaraan tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan permainan.
"Siapa kita untuk tentukan semua ini? Permainkan isu warganegara ini adalah tidak wajar sama sekali dan ini harus dihentikan," katanya ketika mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang melabelkan BN bukan rakyat Malaysia yang sebenar.Lim juga mendakwa BN hanya tahu memperalatkan 3R iaitu Race (Bangsa), Religion (Agama) dan Raja serta mempertikaikan kerakyatan mana-mana pihak yang "meraikan" tragedi 13 Mei.
Terdahulu, Jamil Khir menyaksikan majlis penyerahan kunci Kompleks Pendidikan Maahad Al-Mashoor Al-Islami di sini pada Selasa.
Kompleks yang mampu menempatkan sehingga 800 pelajar itu dibangunkan di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang mengandungi kemudahan dua blok asrama empat tingkat, blok pentadbiran tiga tingkat, blok akademik empat tingkat dan satu blok dewan makan serta kemudahan sukan.
Bangunan yang didirikan di atas tanah seluas 12 hektar merupakan projek terbesar yang dilaksanakan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dengan kos sebanyak RM38.4 juta.
Jamil Khir berkata ketika ini JAWHAR dengan kerjasama MAINPP sedang membangunkan 77 unit kediaman kos sederhana rendah di Sungai Nibong yang menelan belanja RM14.7 juta.
Katanya JAWHAR juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti tanah-tanah wakaf yang berdaya maju untuk dibangunkan bagi penjanaan ekonomi dan sekaligus dapat membantu golongan yang memerlukan.
"Tanah wakaf yang didirikan masjid dan ada persekitaran penduduk serta kegiatan ekonomi akan berdaya saing dan memberi manfaat kepada penghuninya," katanya.
No comments:
Post a Comment