"Mereka ini betul-betul haprak, tidak patut jadi wakil rakyat. Nasib rakyat yang dulu memilih mereka dipermain-mainkan sebegini."
Gelaran itu ditujukan oleh Bekas Ketua Wanita PKR P.Pinang , Aminah Abdullah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Abdul Malik Kassim dan ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin yang gagal memainkan peranan membantu nasib 18 peniaga Melayu di kawasan Pantai Queensbay di sini.
Tegas beliau, kedua-dua pemimpin Kerajaan DAP Pulau Pinang itu tidak patut menjadi wakil rakyat dan rakyat tidak patut lagi memanggil mereka "Yang Berhormat".
"Semalam, saya telefon Abdul Malik, minta bantu masalah peniaga Melayu di kawasan pantai Queensbay ini. Dia kata akan hubungi seseorang dan minta semua peniaga bagi maklumat serta hadir ke bahagian Perlesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) hari ini.
"Tze Tzin pun beritahu perkara yang sama. Tapi sekarang sudah dua jam mereka menunggu, seorang pegawai pun tidak mahu menguruskan masalah peniaga di situ. Kalau pengarah tidak boleh jumpa, hantarlah wakil supaya masalah yang berlanjutan ini dapat diselesaikan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hari ini, peniaga van bergerak terlibat yang diarahkan menutup peniagaan mereka oleh MMPP semalam, hampa apabila hasrat mereka untuk memohon lesen berniaga di kawasan itu tidak dilayan.
Walaupun menunggu hampir dua jam, tiada seorang pun wakil MPPP menemui mereka.
Semalam kira-kira 50 penguat kuasa dari MPPP dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) datang ke situ dan cuba merampas barang-barang milik 18 peniaga itu.
Namun nasib mereka agak baik, apabila beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Abdul Rahim Saibu berjaya berunding dan mereka dibenarkan terus berniaga.
Dua wakil rakyat kerajaan DAP Pulau Pinang yang dihubungi kemudiannya menjanjikan peniaga boleh berniaga di situ dengan syarat mereka perlu pergi ke Bahagian Perlesenan MPPP di Padang Kota Lama, hari ini.Kesemua maklumat peniaga tersebut juga telah diambil dengan alasan untuk memudahkan urusan tersebut.
Menurut Aminah, apa yang terjadi hari ini merupakan bukti kedua-dua pemimpin itu hanya pandai menaburkan janji manis untuk menyelesaikan masalah rakyat sedangkan hakikatnya rakyat dibiarkan terumbang-ambing mencari jalan penyelesaian sendiri.
No comments:
Post a Comment