KUALA LUMPUR 26 April – Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh Malaysia mengamalkan pemerintahan ala Hitler dianggap berbaur hasutan dan perkauman yang boleh menimbulkan suatu suasana tidak disenangi oleh rakyat berbilang kaum di negara ini.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan kenyataan itu sengaja ditimbulkan adalah untuk mengapi-apikan kemarahan serta kebencian rakyat kepada kepimpinan negara.
“Apa yang dilakukan itu membuktikan Guan Eng memang sengaja untuk membangkitkan suatu suasana supaya rakyat membenci kerajaan, dan perkara itu sudah lama dilakukan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang terutamanya DAP.
“Pemimpin-pemimpin DAP selalu menuduh UMNO mengamalkan perkauman di negara ini, sedangkan UMNO tidak pernah berbuat begitu, tetapi pemimpin DAP yang sering bercakap dan berceramah berbaur perkauman.
“Ketika kempen pilihan raya Sarawak lalu, DAP secara terang-terangan menuduh UMNO dan Barisan Nasional mengamalkan perkauman, mereka buat begitu untuk menakut-nakut bukan Melayu supaya menyokong mereka,” katanya kepada UMNO-online.
Beliau berkata demikian kertika diminta mengulas kenyataan Guan Eng yang menuduh negara ini diperintah secara ala Hitler serta tuduhan DAP bahawa orang Melayu mengamalkan sikap perkauman.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong berkata, orang Melayu di negara ini tidak pernah mengamalkan perkauman sebaliknya hanya memperjuangkan hak yang telah dipersetujui oleh semua kaum di negara ini seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara.
“Kebangkitan di kalangan orang Melayu kebelakangan ini berpunca daripada sikap pemimpin DAP yang sengaja membangkitkan isu perkauman dalam ceramah serta media yang berpihak kepada mereka.
“Kita tidak pernah bersifat perkauman, apa yang diperjuang atau dipertahankan adalah perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negera tetapi perkara itu telah diputar belitkan oleh pembangkang,” katanya.
Menurutnya, pembangkang sengaja memutar belit dan memanupulasikan apa yang berlaku dengan menuduh ada golongan tertentu mengamalkan perkauman di negara ini dengan harapan rakyat akan membenci kerajaan sedia ada.
Beliau berkata apa yang dilakukan pembangkang itu berpunca daripada timbulnya rasa tidak senang di kalangan mereka berikutan peningkatan sokongan rakyat terhadap BN sejak kebelakangan ini. -MediaUMNO
Tenang:Roket Di Junjung,Bulan Gerhana
13 years ago
No comments:
Post a Comment