GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed, hari ini menjelaskan bahawa UMNO tidak pernah menghalang pemberian wang sumbangan RM100 kepada warga emas.
ADUN daripada Barisan Nasional itu berkata, sebaliknya, apa dipertikaikan adalah sumber kewangan untuk Program Penghargaan Warga Emas itu yang didakwa diperoleh daripada hasil perjudian.
"Apa yang dipertikaikan adalah penggunaan wang judi," katanya ketika mencelah pada sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, berkata kerajaan negeri masih belum menerima sebarang pemulangan wang itu daripada golongan warga emas.
Katanya, setiap warga emas yang ingin memulangkan wang dan menarik diri daripada program itu perlu mengisi Borang Pemulangan Sumbangan Warga Emas RM100 (Borang 1).
"Sehingga 14 April tahun ini, kerajaan negeri masih belum menerima sebarang pemulangan atau permohonan untuk menarik diri daripada mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri," katanya menjawab soalan lisan Tan Cheong Heng (DAP-Padang Lalang).
Tan ingin tahu jumlah warga emas yang menarik diri daripada program itu seperti yang didakwa pembangkang dan jumlah yang menarik diri mengikut DUN.
Phee berkata, hanya pemulangan wang melalui saluran rasmi iaitu menggunakan Borang 1 akan diterima kerajaan negeri.
Beliau berkata, sehingga 1 September tahun lalu, jumlah pendaftaran warga emas yang direkodkan adalah 107,668 orang manakala daripada Januari hingga 7 April tahun ini, jumlah pendaftaran warga emas adalah 114,665 orang.
Sementara itu, ADUN Teluk Bahang, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, pada sidang media di luar dewan berkata, wang sebanyak RM23,700 yang dipulangkan oleh warga emas telah dikreditkan ke akaun Bendahari Kerajaan Negeri pada 22 Disember lalu.
"Kutipan itu adalah usaha daripada badan bukan kerajaan dan bukannya UMNO. NGO kemudiannya menyerahkan wang itu kepada UMNO untuk dipulangkan kepada kerajaan negeri," katanya.
Beliau turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang hanya memberikan sumbangan RM100 kepada warga emas yang berdaftar sebagai pengundi. - BERNAMA
Tenang:Roket Di Junjung,Bulan Gerhana
13 years ago
No comments:
Post a Comment