PULAU PINANG 16 Mei – Jika berkunjung ke pasar-pasar awam, lazimnya bau busuk dan kotor adalah perkara biasa.
Namun, jika keadaan tersebut berterusan tanpa ada usaha oleh pihak berkaitan untuk mengatasinya, ia pasti sesuatu yang mengecewakan.
Tinjauan Utusan Malaysia ke beberapa pasar seperti di Chowrasta, Central, Bayan Baru, Ayer Itam, Pulau Tikus, Jelutong, Padang Tembak dan Taman Tun Sardon di sini, mendapati ia berada dalam keadaan menjijikkan.
Lantai becak dan bau hanyir yang menusuk hidung menanti setiap pengunjung.
Peniaga di Pasar Chowrasta, Syed Abdullah Abdul Jabbar, 46, berkata, keadaan pasar yang daif selain kemudahan tidak sempurna ternyata menjejaskan pendapatannya.
Jelasnya, dia kehilangan ramai pelanggan kerana mereka tidak selesa untuk datang ke pasar tersebut.
Apa yang dikesalkan katanya, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) didapati tidak menjalankan tugas dengan baik, khususnya daripada segi penjagaan kebersihan dan infrastruktur.
“
Dahulu MPPP meletakkan tujuh hingga lapan pekerja bagi membersihkan kawasan ini. Namun, sekarang hanya empat atau lima orang sahaja. Sejak parti DAP mengambil alih tampuk pemerintahan Pulau Pinang, saya tak nampak langsung usahanya mahu menaikkan taraf pasar awam di sekitar negeri ini.
“Dahulu (sebelum menang pilihan raya) macam-macam mereka (DAP) berjanji. Namun, sehingga kini tidak ditunaikan,” katanya ketika ditemui oleh Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Seorang lagi peniaga, Nassir Abdul Karim berasa malu dengan pelancong asing yang sering mengerut dahi apabila mengunjungi Pasar Chowrasta.
“Di sini adalah tempat tumpuan pelancong, tetapi apa yang menyedihkan keadaan pasar tidak diuruskan dengan baik.
“Tahap kebersihan yang tidak memuaskan, keadaan lantai, sampah dan bangunan usang perlu diambil perhatian serius oleh pihak berkaitan.
“Kalau ia tidak diberi perhatian sewajarnya, pasti satu hari nanti kesemua peniaga di sini akan ‘gulung tikar’,” ujarnya.
Bagi Rosman Abdul Rahim, 50, sebagai pelanggan, keadaan pasar yang kurang memuaskan dan dipenuhi dengan sampah boleh menghilangkan ‘mood’ mereka untuk membeli barangan keperluan.
Menurutnya, keadaan meja yang berlumut dan kotor membuatkan pengunjung curiga dengan tahap kebersihan barang jualan.
“
Sebelum sampai ke pasar, saya sudah rancang untuk membeli pelbagai barangan, tetapi apabila melihat keadaan yang kotor dan tidak terurus membuatkan saya bertukar fikiran.
“Sebagai pengunjung, kami mahukan keadaan pasar yang lebih bersih dan selesa untuk membeli.
“Selagi pasar-pasar awam masih berada di tahap seperti ini (tidak bersih), ia bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan, malah membahayakan keselamatan,” katanya.
Sementara itu seorang suri rumah, Saadiah Ariffin, 42, berkata, terdapat lantai yang rosak dan berlubang di pasar tersebut yang membahayakan orang ramai.
“Saya pernah nampak seorang lelaki berusia 50-an jatuh atas lantai yang dipenuhi dengan darah haiwan yang disembelih,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pernah mendesak pihak berwajib khususnya MPPP segera membersihkan dan menceriakan pasar-pasar di negeri ini, bagaimanapun ia masih berada di tahap yang kurang memuaskan.
Pengerusi CAP, S. M. Mohamed Idris berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan tikus-tikus berkeliaran, terutama di longkang tersumbat yang dipenuhi oleh sampah dan sisa bahan mentah.
“Akta Kerajaan Tempatan 1976 dengan jelas menyatakan, semua pasar hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersih dan sempurna serta semua sampah hendaklah dibuang secara tetap.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga harus menyediakan kemudahan pembuangan sisa yang sempurna dan mencukupi, bukan terus dibuang ke dalam longkang,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa PBT memastikan kesihatan awam sentiasa terjaga dengan sempurna, diawasi dan dikuatkuasakan dengan tegas selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Beliau menambah, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap PBT yang gagal bertindak sewajarnya.
Akibat kuat berpolitik taik penuh di mulut.
ReplyDelete