PERHATIAN

Kami mengalu-alukan sebarang informasi dan juga timbal balas daripada anda sekalian terutamanya mengenai isu-isu setempat di Pulau Pinang.

Mari kita sama-sama bongkar dan dedahkan pembohongan Lim Guan Eng dan DAP Pulau Pinang !!

Emelkan ke penang.umb@gmail.com

Terima kasih.

Thursday, November 4, 2010

Demo kebangkitan rakyat PP bantah kerajaan diktator






GEORGETOWN - Kira-kira 100 orang daripada pelbagai kumpulan berkumpul di luar pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) membantah tindakan Kerajaan Negeri yang dianggap menzalimi dan menindas rakyat kebelakangan ini.

Ia membabitkan ahli Dewan Perniagaan Komtar (KMA), Parti Cinta Malaysia, penduduk Kampung Genting, Balik Pulau dan penyokong menyelamatkan tanah perkuburan Islam Lot 21 dan 22 Jelutong yang mengadakan tunjuk perasaan selama kira-kira dua jam bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, terutama Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Ketika itu, Guan Eng sedang membentangkan Bajet 2011 di dalam persidangan DUN. Keadaan riuh rendah itu turut menarik perhatian beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Exco untuk keluar melihat apa yang berlaku.

Wakil penduduk Kampung Genting, Aziaan Arifin berkata, kedatangan mereka adalah untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Guan Eng berhubung pengambilan tanah penduduk hampir 40 hektar bagi mendirikan institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, semua pemilik bersepakat tidak mahu menyerahkan tanah masing-masing kerana menganggap tindakan Kerajaan Negeri tidak telus malah tidak pernah berbincang pun dengan mereka.

Beliau berpendapat, tindakan itu menunjukkan seolah-olah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan secara halus untuk menghalau penduduk terbabit, terutama golongan Melayu dari kampung halaman mereka.

“Rakyat langsung diketepikan dan warta dikeluarkan tanpa pengetahuan tuan tanah. Sepatutnya, kalau kerajaan PR berjiwa rakyat, mesti mengutamakan rakyat. Berbincang dahulu sebelum membuat pengambilan tanah tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Kesemua pemilik tanah di Kampung Genting membantah pengambilan tanah yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri. Kami menggesa supaya mereka menarik balik proses pengambilan tanah di Balik Pulau,” katanya kepada media ketika mengadakan bantahan itu semalam.

Aziaan berhasrat membawa kesemua pemilik tanah bersemuka dengan Ketua Menteri bagi membincangkan perkara itu namun tidak kesampaian apabila dihalang memasuki ke perkarangan bangunan itu setelah pintu utamanya dikunci.

Tidak berputus asa, Aziaan bersama dengan penduduk yang lain berusaha mendapatkan kebenaran untuk masuk ke dalam melalui pos kawalan namum usaha mereka sekali lagi gagal setelah dihalang pengawal keselamatan.

Setelah berbincang dengan wakil Kerajaan Negeri, pengawal keselamatan hanya membenarkan tiga wakil penduduk masuk untuk menyerahkan memorandum itu kepada Ketua Menteri.

Bagaimanapun, penduduk yang hadir kecewa kerana tidak dapat bersemuka dengan Guan Eng sebaliknya hanya diberi kebenaran untuk menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik.

Bantahan yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi itu berlangsung kira-kira dua jam sebelum disuraikan polis. Penduduk kampung yang hadir turut membawa kain rentang dan sepanduk yang tertulis dengan pelbagai kata-kata bagi menggambarkan perasaan mereka.

Beberapa penduduk juga bertindak agresif memanjat pagar bangunan itu dan menggoyangnya sebagai tanda protes manakala seorang daripada mereka mengunci badannya menggunakan rantai pada pagar lantaran kecewa tidak dibenarkan bertemu Ketua Menteri.

Seorang penyokong menyelamatkan tanah perkuburan Islam Lot 21/22, Arif Ibrahim turut ditahan polis kerana enggan mematuhi arahan supaya beredar dari kawasan itu.

Kerajaan Negeri sudah mewartakan tanah seluas 81 hektar di Pondok Upeh dan Kampung Genting mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah pada 15 Ogos lalu untuk pembinaan hab pendidikan.

Sementara itu, Naib Pengerusi KMA, Mohamed Ghani Abdul Jiman berkata, perhimpunan ini dibuat bagi menyuarakan rasa tidak berpuas hati peniaga berbilang bangsa di Komtar yang ditindas Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kerana tidak memberi peluang kepada mereka menyuarakan pandangan dan masalah sebelum keputusan diambil.

Ghani berkata, seramai 18 peniaga kecil di tingkat tiga Komtar diarah mengosongkan gerai masing-masing bagi membolehkan kerja pengubahsuaian bernilai RM15 juta dijalankan di ruang itu.

“Kami tidak berpuas hati dengan sikap ditaktor yang diamalkan Kerajaan Negeri dan nekad untuk meneruskan perniagaan di situ kerana itu saja sumber pendapatan kami,” katanya.

1 comment:

  1. nampak gayanya makin panaslah suhu politik kat penang ni .bilalah nak hujan agaknya ni...

    ReplyDelete