SETIAP hari selepas pulang dari kerja, Zambri Abdul Rahman, 45, akan memeriksa peti surat rumahnya. Seperti biasa, pelbagai risalah dan surat memenuhi ruang peti itu yang terletak di tingkat bawah sebuah flat kos rendah di Tanjung Tokong.
Namun, dalam banyak-banyak risalah, ada satu agak berbeza daripada yang lain. Bersaiz kertas A4, ia dicetak di kedua-dua belah muka surat dengan dua isi kandungan berbeza.
Satu bertajuk
‘UMNO takut rakyat akan tanya mengapa dulu BN (Barisan Nasional) tak boleh bagi duit, kini PR (Pakatan Rakyat) boleh bagi duit? Dan, takut rakyat dapat jawapan kerajaan tak makan duit, rakyat dapat duit’.Ia berkaitan isu pemulangan wang ihsan RM100 oleh warga emas yang was-was dengan sumber dana daripada hasil judi.
Manakala satu lagi tajuk adalah
‘UMNO terus berbohong, kerajaan PR terus difitnah’, iaitu mengenai isu pengambilan tanah di Kampung Genting dan Pondok Upeh di Balik Pulau untuk pembinaan sebuah institusi pengajian tinggi.
Dua tajuk berbeza tetapi mempunyai motif sama, iaitu memperlihatkan bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang adalah ‘orang baik’ manakala BN khususnya UMNO sebagai ‘orang jahat’.
Menurut Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan, pengedaran risalah tersebut adalah strategi Ketua Menteri, Lim Guan Eng
untuk mempengaruhi pemikiran rakyat bahawa apa yang dibongkar dalam media massa selama ini adalah palsu.Katanya, Guan Eng cuba memperdayakan rakyat bahawa segala kelemahan atau kecacatan dalam pentadbiran kerajaan negeri khususnya melibatkan orang Melayu yang disiarkan itu merupakan kerja jahat BN.
“Dia (Guan Eng) buat begini untuk meyakinkan rakyat bahawa isu-isu yang berbangkit kebelakangan ini adalah satu pembohongan, cerita yang diada-adakan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.Bagaimanapun, Cheng Guan melihat strategi itu sebagai tindakan terdesak Guan Eng untuk menutup segala kepincangan dalam pentadbirannya.
Ini kerana, dalam tempoh dua tahun mentadbir, Setiausaha Agung DAP itu dilihat gagal untuk membawa perubahan kepada rakyat Pulau Pinang.
Namun, beliau percaya, rakyat tidak mudah untuk digula-gula dengan cara sedemikian.
“Lama-kelamaan rakyat akan bangkit kerana sudah bosan dengan putar-belit Ketua Menteri sekarang,” ujarnya.Beliau memberikan contoh demonstrasi oleh lebih 200 anak jati Pulau Pinang daripada pelbagai latar belakang di depan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu sebagai membantah dasar-dasar kerajaan negeri yang lebih bersifat menindas.
Dalam bantahan itu, bukan sahaja orang Melayu, ia turut disertai kaum lain.
Antaranya peniaga di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), pemilik tanah di Kampung Genting, ahli UMNO, Pas, PCM dan warga emas serta fakir miskin yang sebelum ini bertindak memulangkan semula wang ihsan pemberian kerajaan negeri.
Cheng Guan menambah, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada lebih banyak lagi demonstrasi dianjurkan selepas ini.
Ini kerana, jelasnya, dasar pentadbiran yang diamalkan Guan Eng seolah-olah tidak menghiraukan pandangan rakyat dan bersikap kuku besi.
Maka jalan terbaik adalah demonstrasi yang mungkin satu-satunya saluran untuk rakyat menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negeri.
Meskipun cara tersebut tidak sesuai untuk keharmonian negara, rakyat terpaksa melakukannya kerana tidak mahu lagi menunggu dan terus menunggu dengan harapan suara mereka didengari dan diberi perhatian.
Bagi mereka, cara rundingan dan penyerahan memorandum yang dibuat sebelum ini tidak mendatangkan kesan.
Mereka sudah jelak dengan alasan dan hujah pemimpin kerajaan negeri.
Kepada Guan Eng, Cheng Guan memberikan nasihat berikut,
“Janganlah berlagak sebagai raja di Pulau Pinang, jangan menganiaya rakyat lagi.“Ubah mentaliti pembangkang, bekerjalah untuk rakyat.”
No comments:
Post a Comment