GEORGETOWN - UMNO yakin dapat meraih sokongan pengundi di kawasan majoriti Melayu dengan memperoleh sekurang-kurangnya 15 kerusi dewan undangan negeri (DUN) dalam pilihan raya umum akan datang.
Setiausaha Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan petunjuk yang dilihat dan diterima melalui pelbagai pendekatan yang diambil setakat ini.
Beliau berkata rakyat mulai menyedari bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) sahaja yang mampu melaksanakan projek pembangunan dan kemudahan asas yang diperlukan oleh mereka.
“Dahulu mungkin mereka percaya kepada janji parti pembangkang kononnya dapat melakukan segala-galanya atau lebih baik daripada BN.“Tetapi apabila diberi kuasa, baru rakyat dapat menilai kemampuan sebenar pembangkang yang banyak bercakap daripada melaksanakan apa yang pernah dijanjikan dahulu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.Menurutnya, Kerajaan Negeri yang ditadbir pembangkang memang tidak dapat melakukan apa-apa pembaharuan seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini dan rakyat kini sudah mula membuat penilaian terhadap prestasi mereka.
Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, berkata krisis dalaman yang berlaku dalam PKR jelas menunjukkan bahawa mereka tidak mampu menjadi parti yang kuat kerana gagal menyelesaikan hatta masalah kecil.
“Kalau masalah dalam parti pun tidak boleh nak selesai, macam mana nak tadbir Putrajaya dan menyelesaikan macam-macam masalah rakyat dan negara.
“Sekarang dapat lihat macam mana pemilihan pemimpin dalam PKR. Sistem yang digunakan menjadi kelam kabut. Mula-mula pemimpin ini dapat undi banyak, esok boleh bertukar dan pemimpin lain pula yang menang. Dalam parti dah jadi serabut, susahlah kalau nak tadbir sebuah negara,” katanya.Beliau berkata parti DAP juga menghadapi masalah dalaman di Pulau Pinang tetapi masih dibendung oleh pemimpinnya agar tidak meletup.
“Bukan semua orang suka dengan gaya kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Dia orang luar dan datang nak berkuasa di Pulau Pinang. Ramai pemimpin tempatan yang berkecil hati. Tunggulah dan kita lihat ledakan yang mungkin meletup dalam DAP Pulau Pinang sedikit masa lagi,” katanya.Sehubungan itu, Azhar yakin dengan kesepakatan parti komponen BN seperti Gerakan, MCA, MIC dan PPP, landskap politik di Pulau Pinang boleh berubah dalam pilihan raya umum akan datang.
“Masalah dalaman Gerakan dan MCA di Pulau Pinang pun dah mula reda dan masing-masing boleh memberi tumpuan mengukuhkan parti serta mengembalikan kepercayaan rakyat kepada BN.“Rakyat mula kembali kepada BN dan saya percaya perubahan itu akan dapat dilihat tidak lama lagi. Oleh itu, semua komponen BN perlu bekerja kuat untuk mencapai kejayaan yang dihasratkan itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment