PULAU PINANG 8 Nov. - Ketua Menteri, Lim Guan Eng diselar kerana tidak memberikan maklumat yang betul mengenai industri pelancongan di negeri itu.
Ketua Pemuda Gerakan negeri, Oh Teong Keong berkata, sebelum ini Guan Eng mendakwa industri pelancongan di Pulau Pinang 'tidur' selama 18 tahun, namun kini kerajaan DAP sendiri gagal memperkenalkan program baru dalam kalendar pelancongan negeri.
Menurutnya, semua program yang dibuat seperti Larian Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang, Pesta Pulau Pinang, Pesta Chingay, Festival Perahu Naga Antarabangsa dan banyak lagi adalah kesinambungan program yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lepas.
"Mana program baru yang diperkenalkan Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini?
"Malah, status sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO juga tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh kerajaan DAP kerana gagal mempromosikan Georgetown sebagai tapak warisan dunia," katanya pada sidang akhbar di lobi Dewan Undangan Negeri hari ini.
Jelas Teong Keong, Institut Penyelidikan Sosioekonomi dan Alam Sekitar (Seri) Pulau Pinang dalam laporan ekonomi suku ketiga tahun ini menjelaskan, purata penghuni hotel di negeri ini pada 2008 adalah 64.7 peratus namun menurun kepada 57.6 peratus tahun lalu.
Selain itu, katanya, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dalam satu kenyataannya berkata, jumlah pelancong ke Pulau Pinang juga menurun dengan mendadak pada tahun lalu berbanding 2008.
"Laporan Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Pinang juga menyebut bilangan pelancong merosot sebanyak lima peratus pada 2008 berbanding 2009.
"Jadi, Gerakan Pulau Pinang amat kecewa dengan prestasi itu dan melihat sektor pelancongan tidak membawa kesan kepada ekonomi Pulau Pinang sekarang," ujarnya.
No comments:
Post a Comment